Rasa dua hala

8 0 0
                                    

             Semalam aku berulang alik dari Johor ke Singapura menaiki bas. Bas biasa yang sering bertukar tukar stesen mengikut tempat. Bukan bas perintis atau ekspress ye. Jadi, semasa aku menaiki bas itu, aku dapat meneliti apa yang terjadi. Dari pagi hingga ke malam , pelbagai fenomena yang aku dapat simpulkan.

        Kebanyakkan penumpang bas itu merupakan orang yang tidak berkemampuan tidak kira bangsa. Ada Melayu, Cina dan India. Termasuk bangsa lain lain dan warga asing. Aku duduk di tempat hadapan dan aku mula memerhatikan. Aku bisa baca wajah mereka bagaimana kehidupan mereka. Aku baca tetapi aku tidak bisa berkata.

          Semasa bas berhenti di perhentian bas menuju ke Stulang, ada dua anak beranak India, seorang ibu dan seorang anak lelakinya. Mereka duduk di hadapan aku. Si ibu yang kelihatan berusia 50-an memakai baju punjabi yang lusuh , berlian- berlian palsu tercabut cabut dan seluar yang mempunyai koyakan di lutut manakala anaknya , seperti berusia 30-an , memakai pakaian buruh dan membawa beg kuning. Mereka diam. Aku dapat melihat matanya penuh dengan kesedihan. Hanya meneruskan kehidupan dengan bantuan anak lelakinya. Mungkin aku tidak tahu apa kisah silam wanita itu, tapi dari segi pendapatku, mungkin wanita ini mangsa perkahwinan paksa dan muda. Dalam masyarakat kita dahulu, perkahwinan paksa/muda ialah perkara biasa. Aku bukannya menolak tetapi seharusnya hak wanita dipertimbangkan. Lihat sahaja apabila si suami tidak melaksanakan tanggungjawab dan wanita tidak berpendidikan, apa jadi? Wanita menjadi mangsa . Itu apa yang aku dapat simpulkan. Mereka kemudiannya turun di JB Sentral sama dengan aku.

            Bas berhenti di flat lama di tengah tengah Bandaraya JB. Seorang wanita berusia 30-an menaiki bas sambil berkira kira duit seringgit seringgitnya. Bersama dia, ada seorang anak kecil yang menghidapi Down Syndrome. " Assalamualaikum dan Selamat Pagi semua! ", satu ucapan yang sangat comel dia berikan, kemudian dia menyalami tangan aku dan penumpang bas yang lain. SubhanAllah. Mulia sungguh peribadi anak ini. Ibunya yang kelihatan seperti orang Jawa meminta maaf kepadaku sekiranya aksi anaknya keterlaluan. Aku hanya bisa tersenyum dan melihat mereka berangkat kebelakang bas. Ketika ini, aku berasa bersyukur sangat kerana Allah telah mengurniakan aku tubuh badan yang sempurna dan akal yang sihat. Alhamdulillah.

           Pada waktu sebelah malam, dalam jam 7;30 malam, aku menaiki bas yang sama tetapi kedudukanku berubah pada sebelah tingkap. Aku dapat melihat kota sebenar Johor Bahru pada waktu malam setelah sekian lama , lepas arwah ayah pergi. Cantik kerana kota ini tidak pernah tidur dengan lena setiap malam. Setiap lorong-lorong sunyi terang benderang dengan timbunan manusia. Sebenarnya aku tidak galakkan untuk para wanita menaiki bas seperti ini pada waktu malam, tetapi aku tiada pilihan. Perjalanan dari Pusat Bandar Larkin sehingga ke Masai mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Semasa di perhentian bas berdekatan kawasan Tampoi, ada seorang pakcik tua yang bergundah gandah dengan beg yang berat, sarat dengan barang jualan. Aku tidak melihat jelas apa barangnya tetapi seperti makanan. Badannya yang kurus dan kering gigih mengangkat 3 buah beg berat itu dan berdiri di pintu bas. Kemudian dia menapak ke sebuah tempat duduk dan terus duduk. Dia penat. Tetapi , apa yang aku nampak di matanya yang layu itu, hanyalah keredhaan dan keseronokan yang tersembunyi di sebalik bayang kepenatan.

          Dan akhirnya aku sampai ke rumah aku pukul 8;30 malam. Memang aku jumpa macam macam kalau jalan naik bas ni. Best, aku suka. Yang songsang pun berlambak. Mungkin apa aku tulis ni, orang ramai dah terokai dahulu sebelum aku. Tapi, aku tetap nak beritahu pengalaman ini sebab aku rasa berharga. Dan dengan ini aku akhiri catatan aku.

AnxietyWhere stories live. Discover now