#My Version#
Aku meneruskan langkah menelusuri semak dan belukar. Peluh di dahi dikesat perlahan. Sinaran mentari terasa begitu kuat membahang tubuh badan. Habis berlengas tubuhku dilencuni peluh. Sudah 20 minit lamanya aku meninggalkan kereta Myvi yang kusewa daripada jiranku di pinggir jalan sana. Hanya kerana aku terpaksa melalui denai hutan untuk tiba ke destinasi tujuanku. Satu pengorbanan yang terpaksa aku pikul. Agar aku dapat mengubat luka di hati. Menempel rasa penuh bahagia di bahagian yang luka. Menutup lubang penuh celaka yang datangnya daripada kitaran bernama kehidupan.
Bertemankan bulan mengambang penuh di dada langit dan raungan mendayu-dayu sang serigala yang entahkan berada di mana, entahkan wujud atau sekadar bayangan perasaan, aku tetap kental meneruskan langkah. Oleh itu, aku membenamkan semangat yang kental pada diri. Agar sepasang kaki ini dapat terus melangkah. Sesekali mataku memerhati semak belukar di sekeliling di samping meneliti peta di tangan. Aku perlu kekal dalam keadaan berjaga-jaga. Aku sangat yakin keberadaanku di hutan sudah dihidu oleh penghuni hutan ini. 'Mereka' pastinya sedang berada dalam posisi bersedia menanti masa untuk menerkam batang tubuhku. Aku percaya 'mereka' wujud walaupun ramai manusia tidak mempercayai kewujudan mereka. Ini kerana aku tahu, darahku sangat didambakan oleh 'mereka'.
Setiap saat yang aku ambil di sini, buatkan hatiku diserbu rasa seriau. Perasaan takut itu semakin lama semakin jauh menjalar ke seluruh urat tubuhku. Ditambah lagi dengan perasaan seakan-akan ada mata-mata liar yang memerhati di sehalik bayangan malam, menguatkan rasa yang kukuh menyatakan bahawa aku bukannya berada dalam zon selamat. Ini kawasan 'mereka'. Zon 'mereka'. Jajahan 'mereka'. Meskipun hutan ini tidaklah besar mana. Namun aku tahu, di sini bukanlah sebuah tempat selamat yang boleh dilawati ikut kemahuan hati. Hanya yang kental, berani dan cukup kukuh tekad di dada yang boleh terselamat. Tanpa terperosok jatuh ke dalam perangkap makhluk yang bukan sahaja inginkan manusia berada di bawah telunjuk mereka, mendambakan darah manusia sebagai manisan.
Namun, tidak akan aku endahkan setiap pandangan bernafsu oleh mata-mata buas mereka. Cukup buas untuk menjadikan diri mereka raja malam di hutan lalu menyebabkan hutan ini seolah-olah tiada ancaman binatang buas. Seolah-olah hanya mereka yang berkuasa. Aku tolehkan pandangan ke kanan setelah merasakan satu tikaman pandangan yang tajam melekat pada batang tubuhku. Seekor harimau belang yang berwarna putih tetapi bermata merah seakan biji saga jelas terlihat di paparan mataku. Melihat harimau itu hanya diam membontoti langkahku membuatkan aku cuba bertenang. Aku tahu bukannya mudah untuk berdepan dengan makhluk sebegini. Permainan ini memerlukan kekuatan mental dan emosi yang jitu. Aku takkan kalah padanya. Langkahan kaki tetap diteruskan dalam tempo yang perlahan.
Aku tersenyum bangga setelah akhirnya harimau itu berhenti melangkah sebaliknya hanya diam kaku tidak berkutik. Matanya masih lagi tepat menikam ke arah tubuhku namun tidak aku pedulikan. Harimau itu jauh ditinggalkan di belakang sebelum berubah menjadi abu yang terbang ditiup semilir malam. Meninggalkan sepasang mata merah yang merenung tajam sebelum msnghilang perlahan-lahan ke dalam kegelapan.
Bulu roma di seluruh tubuhku mula merinding menyaksikan kejadian itu. Rasa takut mula hadir mengucup tangkai hati. Kakiku mula terasa bagai dipasung. Secara tiba-tiba suasana di sekitar berubah menjadi lebih suram dan menakutkan. Tubuhku mula menggeletar. Aku mula menyedari situasi sekarang dan aku mula menguatkan lagi semangat dalam diri. Setelah beberapa ketika, aku dapat berjalan semula. Nasib baik.
Setelah mengambil masa hampir 30 minit berjalan kaki meredah belukar hutan, akhirnya tiba jua aku ke destinasiku. Aku meneliti rumah kayu usang yang terletak di hadapanku. Terletak di tengah-tengah hutan tebal. Jauh daripada manusia yang lain. Tetapi dekat dengan sesuatu yang lain.
YOU ARE READING
GELAP
KurzgeschichtenGELAP merupakan sebuah antologi cerpen inspirasi daripada buku BAYANG. BAYANG merupakan sebuah antologi cerpen terbitan KTR Press yang bernaung di bawah tiga genre utama. Psiko, Seram dan Misteri. Sebuah cerpen saya bertajuk KHIANAT telah dimuatkan...