Aku mengesat peluh yang mengalir menuruni dahiku. Sungguh aku lemas dalam kerisauan yang melanda. Angin sejuk pendingin hawa langsung tidak memudahkan keadaan. Entah bagaimana, semuanya terasa begitu merimaskan. Aku tidak boleh berdiam diri di dalam kereta ini. Tidak apabila Nabilah bertarung nyawa di dalam rumah. Aku perlu berada di sampingnya.
Tanpa membuang masa, pantas aku meninggalkan kereta lalu menerjah masuk ke dalam rumah Tok Tam. Persetankan arahan Tok Tam yang menyuruhku kekal berada di dalam kereta. Menjauhi upacara. Persetankan juga enjin kereta yang masih terpasang. Apatah lagi lagu dangdut yang kuat bermain di radio. Aku tahu aku perlu berada di samping Nabilah.
I have to.
Pamm!
Tanpa sengaja, pintu rumah dihempas. Apa yang aku lihat sungguh tidak diduga. Lututku lemah lalu jatuh menyentuh lantai. Aku melihat wajah Nabilah yang mula berkedut seribu itu mengalirkan air mata. Lebih teruk daripada wajahnya yang sebelum ini. Segala jerawat kelihatan membengkak dan mengeluarkan cairan nanah. Entah kenapa, hatiku diserbu perasaan kasihan. Sedangkan wajahnya yang hodoh itu layak diberi simpati menurut kelaziman masyarakat masa ini. Namun apabila difikirkan semula, mana mungkin aku akan bergembira melihat kekasih hati menangis. Apatah lagi setelah apa yang pernah dia lalui. Nabilah mula menoleh ke arah tempat aku berlutut. Pandangan mata kami bertembung. Sungguh pandangan itu meruntun hati.
Tok Tam yang berada di sebelah kiri Nabilah duduk bersila menghadap ke arahku. Sambil mulut terkumat-kamit, Tok Tam mencapai segenggam lintah dari dalam bekas di seblahnya. Dilemparkan lintah-lintah itu ke wajah Nabilah yang dipenuhi letusan nanah. Rakus lintah-lintah itu menghisap kering setiap titik nanah yang ada. Dan apabila lintah-lintah itu penuh perutnya, lintah-lintah itu terbakar dan meninggalkan kesan ke atas wajah Nabilah. Aku yang melihat turut terasa perit."Ashbil... Tolong kita Bil... Sakit Bil... Tolong... "rayu Nabilah dengan suara sayunya yang agak serak.
Kini, air mataku pula tumpah.
Aku suakan tanganku ke arahnya. Jelas sekali dia cuba menggapainya. Air mataku semakin deras mengalir. Oh, kalaulah aku boleh bantu dia."Haish! "wajah Tok Tam kelihatan bengang melihat jarum-jarum susuk jampinya tidak berhasil.
Jarum-jarum emas itu terlihat timbul bersama cebisan daging berdarah. Membawa bersama aroma yang sungguh meloyakan tekak.
Lebih teruk, jarum-jarum itu turut terbakar. Lalu mencair seperti lilin yang panas!
"Sakit! Sakit! "
Gulp!
Aku sendiri tidak mampu menahan rasa sakit seperti itu. Aku memandang Tok Tam. Tok Tam juga memandang aku dengan wajah tidak puas hatinya. Aku melihat dia mula mengawang-awangkan tangannya di atas wajah satu mayat di sampingnya. Mulut Tok Tam terkumat-kamit dengan bacaan jampinya. Aku meneliti wajah pucat mayat tersebut. Terselah sedikit kecantikan pada wajah kaku tiada darah itu.
Nampaknya, aku tidak membuat sebarang kesilapan memilihnya.
"Seng! "
Mayat itu membeliakkan matanya! Suatu gas berwarna biru mula merebak keluar daripada mulut mayat tersebut. Aku menelan liur ke dalam kerongkong. Tak pernah aku lihat kejadian yang sebegini. Tok Tam tekun dengan jampinya sehingga memutup kedua-dua kelopak matanya. Angin berpusar kasar di sekeliling ruangan ini.
Gas biru itu mula membentuk jasad. Jasad arwah Adila!
Seluruh badanku mula menggigil. Resah. Aku mulai risau akan jasad yang dipercayai roh Adila itu akan mengapa-apakan aku. Risau sekiranya roh itu bangkit untuk membalas dendam.
Roh Adila menekur pandang ke arahku. Kawasan yang sepatutnya berada bola mata itu kelihatan gelap dan kosong. Cukup untuk menghadirkan getar yang kuat ke dalam diriku. Aku mula mengundur diri ke belakang.
YOU ARE READING
GELAP
Short StoryGELAP merupakan sebuah antologi cerpen inspirasi daripada buku BAYANG. BAYANG merupakan sebuah antologi cerpen terbitan KTR Press yang bernaung di bawah tiga genre utama. Psiko, Seram dan Misteri. Sebuah cerpen saya bertajuk KHIANAT telah dimuatkan...