"LUTH, ayah Luth tengah tidur tu," kata Mak Bidah sebaik-baik sahaja mereka sampai di bilik tidur Tuan Bahrin.
"Tak apalah, Mak Dah. Luth cuma nak tengok ayah aje. Luth rindu ayah," kata Luth sambil duduk di tepi katil ayahnya.
"Duduklah, temankan ayah Luth dulu ya. Tapi tak boleh lama-lama tau, Luth. Mak Dah takut terserempak pulak dengan si Ravi tu. Nanti diadukannya lagi pada mak tiri Luth tu. Kejap ya, Luth. Mak Dah nak ke bilik air." Tingkah Mak Bidah lalu tergesa-gesa keluar dari bilik tidur majikannya itu.
Luth hanya menganggukkan kepalanya, tanda faham. Matanya melekap ke wajah Tuan Bahrin. Lelaki yang dahulunya berwajah kacak, bertubuh kekar serta sihat walafiat itu kini seumpama mayat hidup. Mukanya cengkung. Tubuhnya pula kurus kering.
Luth menarik sebuah kerusi lalu diletakkan di tepi katil Tuan Bahrin. Dia kemudiannya melabuhkan punggung di atas kerusi itu. Wajah ayahnya yang cengkung direnung mata sayunya. Selepas itu, dia mencapai pula tangan kanan Tuan Bahrin lalu digenggamnya erat. Tangan itu rasa sejuk dalam genggamannya. Untuk seketika terlintas di ruang ingatan Luth akan kenangan gembira yang pernah dikongsi dengan ayahnya. Dia terbayang betapa kuat genggaman Tuan Bahrin di tangannya ketika memimpinnya melintas jalanraya untuk menuju ke sekolah. Tangan itu jugalah yang pernah mendukung dan mengelus wajahnya. Kini, tangan itu hanya kaku dan sejuk dalam genggaman Luth.
"Ayah..." Panggil Luth, perlahan.
Tuan Bahrin tidak berkutik walau sedikitpun. Dia kelihatan tenang dalam tidurnya.
"Ayah tak sayangkan Luth ke? Kalau ayah sayangkan Luth kenapa ayah kahwin dengan Mak Cik Lin tu? Dia jahat, ayah. Jahat!" Luth meluahkan perasaannya kepada Tuan Bahrin. Dia seolah-olah sedang bercakap seorang diri di hadapan batang tubuh ayahnya yang sedang tidur dengan nyenyak itu.
Walaupun dia ingat akan pesanan Mak Bidah agar tidak mengganggu Tuan Bahrin yang sedang tidur tetapi muncul keinginan di hatinya untuk menggerakkan ayahnya agar bangun.
"Hey, apa kau buat tu? Kan ayah kau tengah tidur tu? Kesianlah dia. Kan dia tak sihat. Bagilah dia berehat."
Suara asing yang menegurnya itu membuatkan Luth terkejut besar. Dia menoleh ke arah dari mana datangnya suara itu. Luth merenung hairan ke arah seorang budak lelaki sebaya dirinya yang sedang berdiri betul-betul di sebelah almari pakaian. Dia tidak pernah berjumpa atau melihat budak itu sebelum ini.
Budak lelaki itu juga memandang tajam ke arahnya. Untuk beberapa ketika mereka saling renung-merenung, pandang memandang.
"Kenapa? Kau pelik tengok aku ke?" soal budak lelaki asing itu.
"Kau siapa?" soal Luth, masih dihurung kehairanan.
"Aku anak Mak Dah. Nama aku Ayad." Budak lelaki itu memperkenalkan dirinya.
"Nama kau Luth, kan?"
Luth mengangguk. Walaupun Mak Bidah tidak pernah menceritakan bahawa dia mempunyai seorang anak sebaya Luth tetapi kehadiran budak lelaki itu membuatkan Luth rasa teruja. Sekurang-kurangnya, kini dia sudah ada kawan. Tidak perlulah dia bersendirian lagi di rumah agam itu.
"Aku nak kawan dengan kau, Luth," kata budak lelaki itu.
"Aku pun nak berkawan dengan kau jugak. Tapi sekarang ni aku tinggal terkurung kat bawah kolong rumah ni." Cerita Luth dengan suara yang sayu.
"Aku tahu semua tentang kau, Luth. Emak aku selalu cerita kat aku tentang kau. Aku kesiankan kau. Tak patut mak tiri kau layan kau macam tu." Teman baru Luth itu menyuarakan rasa simpatinya.
YOU ARE READING
FOBIA
Mystery / Thriller"RAYU... rayulah lagi!" Semakin mangsanya menangis dan merayu agar dia berhenti menyeksa mereka, semakin dia seronok. Rayuan mereka seolah-olah nyanyian merdu di telinganya. Dia ketagih melihat darah. Lagi banyak darah, lagi dia seronok. Melihat...