Prolog

560 22 8
                                    

Prolog

MALAM semakin larut. Hujan yang baru sahaja berhenti daripada menyimbah bumi seketika tadi buat kedinginan terserak ke serata arah. Di hadapan pintu pagar banglo yang tersergam megah itu, seorang lelaki bertubuh tinggi, bert-shirt putih lengan pendek dan berseluar jeans biru gelap tetap menunggu dengan penuh sabar. Sesekali dia akan menoleh ke arah jam yang tersangkut di lengan kanannya dan berharap agar orang yang ditunggunya segera pulang.

Memang betul kata orang, penantian adalah satu penyeksaan!

Tetapi, dia nekad untuk tidak berganjak dari situ. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mandi biar basah. Hatinya berbisik.

Sudah tabiatnya begitu. Jika keluar rumah untuk melunaskan sesuatu misi, dia tidak akan pulang tanpa melaksanakan misinya. Baginya masa itu emas. Setiap detik berharga.

Sekarang sudah hampir setengah jam dia membazir masanya yang berharga di depan banglo itu. Misinya kali ini sama sekali tidak boleh gagal.

Baiklah, aku bagi kau masa 15 minit lagi. Jika kau tak muncul juga, terpaksalah aku cari mangsa lain. Pelan B sentiasa ada, terakam kemas di kepala.

Pap! Dia menepuk seekor nyamuk yang gilakan darahnya. Kadangkala untuk melaksanakan sesuatu misi itu, dia terpaksa berdepan dengan situasi yang kurang menyenangkan. Contohnya, malam itu yang menyaksikan dia terpaksa menadah batang tubuhnya daripada kedinginan dan serangan nyamuk. Tetapi apalah sangat dengan dingin malam dan gigitan nyamuk-nyamuk itu dibandingkan kenikmatan yang akan dikecapinya seketika nanti, iaitu sewaktu sedang melaksanakan misinya kelak?

Dia menjilat bibirnya. Terbayang di fikirannya, figura mangsanya sedang menggeliang-geliut menahan kesakitan. Segala tangisan dan rayuan 'meminta nyawa' yang terlontar dari mulut mangsanya seolah-olah irama merdu yang hinggap di telinganya.

"Rayu... rayulah lagi! Mungkin aku akan bebaskan kau!" jerkahnya. Dan, dia akan menambah seksaan ke tubuh mangsanya bermula daripada tusukan jarum ke kulit lengan kepada torehan kecil di pipi.

Sudah tentulah mangsanya yang tidak berdaya itu akan berusaha menagih simpatinya. Tetapi apakah dia akan termakan dengan rayuan-rayuan itu? Atau, apakah dia akan bersimpati melihat air mata mangsanya? Sudah tentulah tidak.

Tiada apa yang lebih seronok baginya selain melihat mangsanya merayu, menangis, mengerang, menjerit dan meraung.

Dia akan menambah seksaan ke tubuh mangsanya sehinggalah sampai ke tahap maksimum yang menyaksikan mangsanya tidak mampu menahan segala azab itu lagi.

Dia seumpama Malaikat Maut yang sedang menggenggam nyawa mangsanya. Dia rasa dirinya kuat, hebat!

Manalah kau ni tak sampai-sampai lagi, gerutunya dalam hati. Geram! Malaikat Maut juga pandai berasa bosan.

Tiba-tiba dia terlonjak gembira tatkala telinganya menangkap bunyi enjin kereta sedang menghampiri perkarangan banglo itu. Dia menunggu dengan dada yang berdebar-debar. Matanya fokus ke arah sebuah Honda Accord yang berhenti betul-betul di depan pintu pagar.

Yang muncul itu bukanlah orang yang sedang dinanti-nantikannya. Wajahnya mengucam dek rasa kecewa yang mencengkam.

Tingkap di bahagian pemandu diturunkan. Dari bawah limpahan cahaya neon itu, dia dapat lihat seorang perempuan muda merenungnya tajam, meluat. Penuh kebencian.

"Apa yang kau buat depan rumah aku ni, hah?" sergah perempuan muda itu dengan egonya.

Halkumnya bergerak-gerak ketika dia menelan liurnya.

"Errr..." dia tergagap. Tidak dapat menjawab.

"Hari tu aku dah warning kau agar jangan ganggu mama, jangan ganggu keluarga aku lagi. Kau tak faham bahasa ke? Cukup-cukuplah dengan dosa yang dah kau orang lakukan tu. Tak takut dengan balasan TUHAN ke?" Kata-kata perempuan muda itu meluncur bagaikan peluru berpandu yang menyerangnya sebelum sempat dia bersedia.

Dia mematung diri dan menadah telinganya mendengar segala sumpah seranah dan penghinaan yang dilontarkan ke arahnya. Hatinya berdenyut, sakit. Selama ini dia yang mengawal situasi tetapi lewat malam itu lain pula halnya.

Inilah kali pertama misinya bertemu kegagalan!

DIA menghempas badannya ke katil. Berkeriut bunyi katil itu menampung berat badannya. Matanya terkebil-kebil merenung siling bercat putih. Matanya fokus ke arah seekor anak cicak yang merayap-rayap di situ.

Seolah-olah sedang melakukan post-mortem, dia mengimbau kembali kegagalan misinya lewat malam tadi.

"Sayang, you tunggu I balik. Dalam 20 minit lagi I sampai. You jangan risau, malam ni banglo tu akan jadi milik kita berdua. Orang tua tu dah terbang ke UK petang tadi. I miss you, sayang. Mmuuahh..."

SMS yang diterimanya daripada Datin Sukma itulah yang membawa dia ke depan banglo tersebut. Selama hampir dua bulan dia menjadi manusia hipokrit, berpura-pura mencintai perempuan itu separuh mati. Malam ini, dia bercadang untuk menamatkan sandiwara yang diciptanya selama ini dengan mendedahkan siapakah dirinya yang sebenar di depan Datin Sukma. Dia bukanlah seperti yang disangkakan Datin Sukma. Dia sebenarnya adalah Malaikat Maut yang sedang mengintai-intai mangsanya.

Pasti Datin Sukma akan terkejut melihat siapakah dirinya sebenar nanti. Pasti!

Tetapi malangnya, yang muncul di depan matanya bukanlah Datin Sukma sebaliknya Nikki Ardiela, anak gadis Datin Sukma. Orang lain yang ditunggu, orang lain pula yang sampai. Sudah tentulah dia sakit hati. Lebih-lebih lagi telinganya terpaksa menadah segala cemuhan Nikki Ardiela. Maruahnya seolah-olah terlondeh di depan gadis itu. Sial betullah nasib aku malam ni, gerutu hatinya.

Dia membayangkan bibir ranum Nikki Ardiela yang rakus mencemuhnya itu. Kemudian, dia terbayangkan pula cangkuk besi, segala wayar dan dawai yang berada dalam storage boxnya.

"Kau tak kenal lagi siapa aku, perempuan. Kalau aku mahu, aku boleh buat kau berhenti bercakap sampai bila-bila," getus hatinya penuh geram.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Segera dipekapkan ke telinga.

"Maaflah, sayang. I lewat sikit tadi. Nikki cakap you tunggu I balik. Kenapa you tak ikut dia masuk?" Suara Datin Sukma singgah ke telinganya.

Senyap. Tidak menjawab.

"Sayang, you marah ke? Okey, pagi nanti you datang ya ke rumah I. Temankan I swimming. Boleh ya, sayang." Belum apa-apa lagi Datin Sukma sudah merayu-rayu.

Dia menekan butang merah pada telefon bimbitnya. Kemudian, telefon kecil itu terus dimatikan. Dia malas hendak mendengar segala rayuan perempuan itu lagi. Juga sudah malas hendak ketemu Datin Sukma. Misinya yang gagal seketika tadi menghentam perasaannya. Dia tidak pernah gagal sebelum ini.

Dia harus menghilangkan diri dari kejiranan itu. Dia tidak boleh bertemu dengan perempuan itu lagi kerana identitinya sudah terdedah di depan anak gadis Datin Sukma.

Dia harus lebih berhati-hati. Dia tidak mahu ada saksi yang boleh mengaitkannya dengan jenayah yang bakal dilakukannya kelak!

Wajah Nikki Ardiela yang bermulut becok dan perasan bagus itu tertayang semula di kotak fikirnya.

Cantik juga anak gadis kau tu, Sukma. Dia menjilat bibirnya, geram!

Gb3JM}0V�0~�

FOBIAWhere stories live. Discover now