Bab 7

153 6 0
                                    

WALAUPUN pendingin hawa terpasang, Salina tetap rasa berbahang berada di dalam bilik itu. Dia meninggalkan suaminya lalu melangkah menuju anjung. Angin petang yang bertiup kencang, galak menampar-nampar sekujur tubuhnya.

Dia melempar renungannya melewati halaman rumah lalu hinggap ke arah kawasan perbukitan berhampiran. Sekurang-kurangnya warna hijau daripada pokok-pokok dan dedaunan yang hinggap ke matanya itu mampu meredakan sedikit bahang di jiwanya.

Rumah agam yang didiaminya kini terletak agak jauh daripada rumah jiran tetangga lainnya. Bagus juga begitu. Selain bebas berbuat apa sahaja yang disukainya, tiada jiran tetangga yang asyik hendak menyibuk.

Dia melabuhkan punggungnya ke kerusi rotan yang tersedia di anjung itu. Dari tempat dia duduk, dia dapat melihat hamparan langit yang membiru. Musim kemarau nampaknya lebih panjang daripada jangkaan. Entah bilalah hujan hendak turun ke daerah itu agaknya.

Salina masih ingat lagi panorama yang hinggap di matanya sepanjang laluan yang dilewatinya untuk pulang dari pekan ke rumah agamnya tengah hari tadi. Hamparan bendang terbiar tidak diusahakan kerana batas-batas padi merekah dipanah terik mentari.

Sebagaimana gersangnya bumi, begitulah juga dengan Salina – bukan sahaja sekujur tubuh malah jiwanya juga kegersangan. Yang beraja di jiwanya hanyalah rasa tidak puas hati terhadap harta dunia yang dirasakan tidak diagihkan dengan sempurna.

Dia membayangkan wajah suaminya yang terlantar di bilik tidur. Lelaki yang dirasakan sudah tidak lagi mampu berfungsi sebagai seorang suami. Kemudian, dia membayangkan pula wajah seekor 'tikus kecil' yang menjadi penghuni kolong di rumah agam itu. Kalau diikutkan karat di hatinya mahu sahaja dia menamatkan riwayat kedua-duanya, suaminya dan juga tikus kecil itu. Barulah puas hatinya! Tetapi sanggupkah dia bergelar seorang pembunuh? Bukan dia tidak tahu kehandalan pihak berkuasa di Malaysia ini dalam menyelesaikan kes-kes jenayah. Tidak! Dia tidak mahu menghabiskan usia mudanya dengan merengkok di dalam penjara.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Ditolehnya skrin telefon bimbit. Intailah dulu siapa yang menelefon, jangan main angkat sahaja. Tatkala matanya melihat nama yang terpapar di skrin, seulas senyum tersungging di bibirnya. Dia segera memekapkan telefon kecil itu ke telinga.

"Hello..." sapanya. Lembut.

"Hello, tengah buat apa tu?" Suara Awaludin kedengaran di hujung talian.

"Duduk-duduk aje sambil tengok langit." Salina menjawab.

Kedengaran Awaludin ketawa, mesra. Seimbas kenangan di musim percintaan mereka yang lalu menyapa semula ke ruang memori Salina.

"Ada kau nampak wajah aku di sebalik awan yang kau pandang tu?" soal Awaludin. Sengaja mempermainkan emosi Salina.

"Malangnya tak ada awan petang ni. Aku nampak langit aje, membiru."

"Alahai... apalah nasibku. Yelah, siapalah aku ni di mata kau kan, Lin? Aku ni bukannya lelaki berharta macam suami kau tu. Aku tak dapat berikan kesenangan hidup pada kau macam yang dia berikan. Tu sebabnya kau pilih dia kan?"

"Isy, kenapa kau cakap macam tu?" sergah Salina.

"Errr... maafkan aku, Lin. Ala, aku nipun satu, hal yang dah lepas tu sepatutnya aku lupakan aje, betul tak?" Awaludin segera mengubah nada bicaranya. Sudah tentulah dia tidak mahu pertemuan semulanya dengan Salina tercemar dek kata-kata yang diluahkannya. Hakikatnya, Awaludin tidak pernah lupa akan hal yang telah berlalu itu. Penumbuk orang suruhan Tuan Bahrin seolah-olah baru semalam hinggap ke mukanya.

Namun, dia seolah-olah dapat membaca ada yang tidak kena melalui cara Salina bercakap serta gerak tubuh yang ditonjolkan perempuan itu ketika pertemuan mereka tengah hari tadi. Apakah rumah tangga Salina kini sedang berantakan?

"Kenapa kau telefon aku ni?" soal Salina.

"Aku ingat nak belanja kau makan malam. Itupun kalau kau sudi." Awaludin terus menyampaikan maksudnya.

"Hmmm... kau belanja?"

"Ala, kalau setakat belanja makan... apa salahnya. Kau sudi ke?"

"Dah tentulah aku sudi. Lagipun aku tak puas berbual dengan kau tadi." Salina bersuara, gembira.

"Baguslah kalau macam tu. Kita jumpa kat restoran tadi ya."

"Okey."

"Jam 8.00 malam?"

"Baiklah."

"Yesss!!!" Awaludian terjerit gembira.

Salina hanya ketawa.

"Aku rindukan kau, Lin." Awaludin meluahkan perasaannya sebelum mengakhiri perbualan mereka.

Salina terpaku seketika sebaik sahaja perbualannya dengan Awaludin tamat. Kata-kata yang diucapkan jejaka itu ke telinganya sebentar tadi benar-benar mengusik emosinya. Dia menghabiskan masa beberapa minit lagi di anjung sebelum melangkah masuk semula ke bilik tidur Tuan Bahrin.

"Abang, you tahu tak siapa yang baru call I tadi? Awaludin, bang. Malam ni I nak keluar makan dengan dia. Nampaknya I tak dapatlah suapkan you makan ya, malam ni. Tapi tak apa, kan Mak Bidah ada." Salina sengaja membakar hati suaminya sendiri.

"You tak kisahkan I keluar dengan dia?"

Kalau di awal perkahwinannya dahulu, dia amat menjaga tutur bicara dan tingkah lakunya di hadapan Tuan Bahrin, tetapi kini dia tidak peduli lagi. Walaupun Tuan Bahrin sering ucap sayang dan cinta padanya, apakah buktinya? Namanya langsung tidak tercatat walau untuk sebidang tanah mahupun sebuah rumah. Semua harta diletakkan atas nama Luth. Dia dinamakan sebagai pemegang amanah sahaja. Aduhai, apalah malang nasibnya.

Bahang di hati Salina membuak lagi. Dia mencapai tuala labuh rona biru lalu disangkutkan ke bahunya.

"Panas-panas begini memang nikmat kalau dapat berendam," bisik hatinya sambil mengatur langkah menuju bilik mandi. Dia mahu merendamkan tubuhnya sambil mengangankan bekas kekasih yang kini tiba-tiba muncul kembali dalam hidupnya.


FOBIAWhere stories live. Discover now