Aisyah memandu tenang. Radionya sedang mengumandangkan azan Isyak. Masih awal rupanya. Belum pun 8.40 malam.
Aisyah beristighfar. Dia sedang memerah otaknya bagaimana mahu memberitahu umi dan abah. Tentu mereka sedih. Umi tentu akan bertanya macam-macam soalan. Abah. Aisyah takkan dapat memandang mata abah yang sayu. Abah tak pernah menyalahkannya.
"Ya Allah..." ujarnya. Hendak diberitahu Herman membatalkan pernikahan mereka kerana sebab dia tiada dara? Apa pula fikirnya umi dan abah nanti. Anak mereka ditinggalkan kerana dia tak suci. Cis! tak guna Rifqi! Binatang!!
Hatinya menyeranah.
Hatinya pedih. Dia sayangkan Herman. Tak sangka Herman akan membuatnya begini. Sangkanya Herman ikhlas dengannya. Sangkanya Herman sayangkan dia seadanya. Tanpa usul periksa, lelaki itu sanggup menuduhnya melakukan perbuatan terkutuk itu. Aduhai...
Dalam berfikir-fikir, Aisyah membelok ke dalam perkarangan rumahnya yang tampak meriah sungguh. Dengan lampu yang berwarna-warni, berkelip-kelip terlilit santai di pokok-pokok renek di halaman rumahnya. Hatinya ingin menangis apabila ternampak kelibat umi sedang menatang dulang berisi entah apa. Jalannya kalut sahaja, hendak mengejar masa. Umi selalu mahukan segalanya sempurna. Umi, tak tahu dia akan membawa satu berita buruk, terburuk di dalam keluarga apabila majlis nikah anak perempuannya telah dibatalkan oleh pihak lelaki kerana dia dituduh berzina!
Allah..Allah..namun Aisyah bukan sembarangan perempuan. Dia seorang yang kuat. Aisyah mematikan enjin kereta lalu melangkah keluar.
Umi kembali membawa plastik pula di tangan, lalu ternampak Aisyah.
"Assalamualaikum umi." sapa Aisyah menyalami tangan umi.
"Waalaikumussalam. Kenapa Aisyah tak bawa teman? Tak elok jumpa Herman sorang-sorang malam-malam macam ni. Kenapa tak bawa adik?" umi mula membebel. Tadi dia agak terkejut kerana adik Aisyah, Aina ada di rumah. Kata Aina, Aisyah mahu keluar seorang diri.
Aisyah tersenyum. "Takpe umi, sekejap je nak jumpa dia." nama Herman tak ingin disebut. Hatinya luka. Tadi petang apabila Herman mengajaknya berjumpa, Aisyah sudah dapat mengagak apa yang bakal berlaku kerana mesej Herman mengatakan ada perkara penting yang hendak dibincangkan. Kalau tidak kenapa tak boleh tunggu?
"Hmm...awal pula balik? Mau apa Herman tu?" umi bertanya lagi. Wajah murung Aisyah direnung. "Kenapa ni?"
"Abah mana umi? Boleh tak umi tolong panggilkan abah, jom kita bercakap di gazebo sekejap, ya? Penting ni umi." pinta Aisyah lembut. Dia mesti kuatkan hati. Jangan ada tangis. Herman tidak berbaloi untuk air matanya.
"Kenapa pulak ni Aisyah? Risau umi?" hati seorang ibu mula merasakan ada perkara buruk yang bakal berlaku.
"Takpe Aisyah panggilkan abah ya, umi tunggu di gazebo, kejap lagi Aisyah datang. Please umi. Sekejap aje." ujar Aisyah pula. Aisyah terus berlalu ke belakang tanpa sempat umi berkata apa-apa lagi. Dia ke tempat mencuci pinggan untuk kenduri esok, abah pasti di situ. Hah, kan betul. Abah sedang rancak berbual dengan beberapa orang lelaki lebih kurang sebayanya.
"Abah, abah!" laung Aisyah sedikit kuat. Abah berpaling ke arah Aisyah.
"Ya? Hah, Aisyah? Ada apa?" tanya abah.
"Boleh tak Aisyah cakap dengan abah sekejap?"
"Cakap apa? Eh, awalnya balik jumpa Herman." komen abah. "Hah, ada apa ni Aisyah?" tanya abah lagi apabila Aisyah masih membisu. Raut sugul anaknya direnung.
"Jom kita cakap di gazebo, bah." Aisyah mengajak.
Abah mengikut sahaja.
******************
Abah dan umi dihadap. Aisyah menarik nafasnya dalam-dalam.
"Umi banyak kerja ni Aisyah. Cakaplah." tegur umi apabila Aisyah mengambil beberapa minit berdiam begitu. Selebihnya umi berasa gelisah.
Aisyah merenung kedua orang yang sangat disayanginya itu. Hatinya dikentalkan.
"Umi, abah. Maafkan Aisyah kerana berita ni akan meremukkan hati umi dan abah. Tapi percayakan Aisyah. Tolonglah." pinta Aisyah merayu.
"Aisyah ni kenapa? Cuba berterus terang. Umi susah hati ni," Umi mula risau. Jantungnya bergetar kencang.
"Herman batalkan nikah esok." akhirnya berita menyakitkan itu keluar dari bibirnya. Aisyah tidak dapat menahan air matanya lagi. Seolah-olah apabila diucapkan dengan kuat, kejadian tadi adalah benar, bukan mimpi.
Umi beristighfar panjang. "Kenapa ni Aisyah? kenapa Herman batalkan majlis pulak? Apa dah jadi ni?" seperti dijangka, umi mula menebaknya dengan pelbagai soalan.
"Takde apa-apa umi, dia..dia cuma nak batalkan majlis." Aisyah masih menyembunyikan sebabnya.
"Apa ni Aisyah? Umi tanya betul-betul ni. Kenapa? Cuba cerita." Umi tidak puas hati. Segala persiapan sudah siap, pelamin, jemputan yang hanya tunggu esok untuk datang, tiba-tiba majlis tak jadi. Astaghfirullahalazim...umi cuba menenangkan diri.
Abah merenung wajah anaknya. "Aisyah, cuba bagitau abah kenapa Herman nak batalkan majlis?" tanya abah lembut. Abah memang selalu tenang, selalu rasional.
Aisyah menangis lagi. "Herman tuduh Aisyah tak suci, dia nak batalkan majlis sebab tu." beritahu Aisyah. Dia sedar yang tiada sebab untuk menyembunyikan perkara ini. Dan dia menangis bukan kerana Herman tinggalkannya, tetapi kekecewaan umi dan abah. Tiada yang lebih penting buat Aisyah.
"Allah..macam mana ni bang?"
Tiba-tiba telefon di poket abah berbunyi. "Nanti kejap." abah terus mengangkat panggilannya.
"Assalamualaikum." sapa abah tenang.
"Ya..ya kami tunggu." ujar abah sebelum memutuskan panggilan.
"Mak dan ayah Herman." Beritahu abah, ringkas.
*********************
to be continued...
YOU ARE READING
CERPEN : Kopi dan Karamel
RomanceKopi dan Karamel. Tentang Aisyah yang ditinggalkan sehari sebelum majlis akad nikahnya oleh tunangnya Herman akibat fitnah. Takdir membawanya ke bumi Norway, di Tasik Sognsvann, dia bertemu sorang lelaki.