The ending...
Aisyah menarik nafasnya panjang. Udara segar terasa penuh di dadanya.
Tasik Sognsvann di depannya menggamit pandangannya tertancap di situ, lama. Dia sudah melabuhkan duduknya di bangku itu lebih sejam. Melihat musim bunga di depan matanya membuatkan hatinya turut terasa aman tenteram. Comel sungguh itik-itik putih yang sedang berenang-renang di permukaan air. Ada seorang kanak-kanak yang sedang melontarkan mungkin serbuk roti ke arah itik-itik putih tadi yang berebut-berebut ke arah makanan di permukaan air itu.
Sudah lebih enam bulan dia di sini. Aisyah mula membiasakan diri dengan kehidupan barunya. Hujung minggunya kali ini dihabiskan menjelajah di sekitar Oslo. Aisyah tinggal di bandar Stockholm, namun hari ini Aisyah terasa mahu ke ke Oslo dan Tasik Sognsvann adalah pilihannya untuk menghabiskan waktu. Dia memandu lebih enam jam tadi disebabkan jalan yang dilaluinya masih dalam kerja-kerja baikpulih.
Dia tersenyum ke arah seorang wanita berumur yang sedang membawa anjingnya mengambil angin petang.
Tiba-tiba dia terdengar bunyi seretan di tar dan jeritan kesakitan.
Aisyah bingkas berpaling. Seorang lelaki yang terbaring kesakitan membuatkan Aisyah bingkas ke arahnya.
"Awak tak apa-apa?" tanya Aisyah dalam bahasa Norsk.
Lelaki itu mengerang. Basikalnya tumbang di sebelahnya.
Barulah Aisyah tau lelaki itu mengelak dari terlanggar anjing wanita tadi yang terlepas talinya. Basikalnya hilang kawalan dan terlanggar tembok rendah yang mengangjur sepanjang jalan.
"Sir, are you okay?" tanya Aisyah kalau-kalau lelaki itu tidak faham bahasa itu.
"Saya rasa kaki saya terseliuh sikit." jawab lelaki kembali dalam bahasa Norsk.
"Mari saya papah awak ke bangku tu?" ujar Aisyah sambil menunjukkan ke arah bangku yang didudukinya tadi.
Wanita tua itu bingkas mendekati mereka dan meminta maaf atas kelakuan anjingnya yang melompat-lompat teruja di sekeliling mereka.
Lelaki itu menggeleng-geleng tanda tidak kisah. Wanita itu dan anjingnya berlalu setelah beberapa meminta maaf.
Mereka duduk di bangku. Ada seorang lelaki muda menolong membawa basikal lalu diletakkan di tepi lelaki itu.
Aisyah mengeluarkan plaster dan menyerahkannya kepada lelaki itu.
"Saya Aisyah." dia memperkenalkan dirinya.
Lelaki itu memandang wajah Aisyah. Tanpa ragu, dia menghulurkan tangannya berjabat.
Aisyah serba salah namun dijabat juga tangan lelaki itu memandangkan dia memakai sarung tangan tebal.
"Matthias. Matthias Schleiden. Gembira berjumpa awak." ujar lelaki itu. Tersenyum lebar.
"Schleiden? Seperti Matthias Jacob Schleiden, the botanist?" tanya Aisyah separa bergurau. Dia meminati bidang pertanian.
Matthias ketawa. Dah pernah dengar pertanyaan yang sama.
"Nei...saya tak sehebat tu. Nama saja yang sama." ujar Matthias melekatkan plaster di lututnya. Habis koyak seluar jeans biru itu.
"Saya rasa tayar basikal awak bengkok." komen Aisyah sambil menunjukkan ke arah basikal Matthias.
Matthias menjungkitkan bahunya. "Asalkan anjing tadi tu tak bengkok di mana-mana. Basikal boleh dibaiki, tapi tidak anjing." mudah sungguh lelaki itu menyimpulkannya. Matthias mengerang meraba rusuk kirinya. Pasti kesan terhentak di besi badan basikalnya semasa terjatuh tadi.
YOU ARE READING
CERPEN : Kopi dan Karamel
RomanceKopi dan Karamel. Tentang Aisyah yang ditinggalkan sehari sebelum majlis akad nikahnya oleh tunangnya Herman akibat fitnah. Takdir membawanya ke bumi Norway, di Tasik Sognsvann, dia bertemu sorang lelaki.