Meleleh air mata ak bace ni.. Serius sdih.. 😔😥😢😭😭
"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh!
Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak
boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak
menyusahkan aku?" Marah ibu. Along hanya
membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. "Kau
tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau
ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah.
Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu.
Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang
hah?" Leter ibu lagi.
Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along
terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang
keluar dari mulutnya. Tiba-tiba dia melihat si ibu
bergegas pergi mencari sesuatu dan kembali semula
dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula
menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak
memukulnya lagi seperti selalu. "Sekarang kau cakap,
kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak
pengetua tu? Cakap Along, cakap!" Jerkah ibu.
Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat
berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong.
Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak
menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang.
"Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti
kau, suka sangat cari penyakit, sekarang nah, rasakan!"
Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali
jugaklah
Along menjerit kesakitan. "Sakit bu, sakit…maafkan
Along bu, Along janji tak buat lagi.Bu, jangan pukul
bu..sakit bu.. "
Along meraung meminta belas si ibu agar tidak
merotannya lagi. "Tau sakit ye, kau bergaduh kat
sekolah tak rasa sakit?" Balas ibu lagi. Kali ini semakin
kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu.
"Bu, ampunkan Along bu,bukan Along yang mulakan,
bukan Along bu, sakit bu..!!" Rayu Along dengan suara
yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut
kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada
ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya.
Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi
menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya
dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu
merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu
mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih
memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap
mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di
kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu.
Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya
menangis lagi kerananya.
Malam itu, Along berjaga sepanjang malam.. Entah
mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik
teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah
yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini
marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia
menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi
menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil
ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian
kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat
menjeling ibu di sebelah..Namun, dia tidak diberi
kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan
itu di dilemparkan kepadanya seorang.
Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit
pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-
sisa air mata yang masih bertakung di kelopak
matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak
sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di
tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia
menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya.
Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk
kali ini.
Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan
mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah
ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu
ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan
matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM,
kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan
biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat
serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah
mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat
keputusan yang corot dalam SPM.
Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu
walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti
hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu
yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar
dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak
mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu
cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah
gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan,
Along terlelap juga.
Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak
mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah
dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari
sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak
mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada
di situ. Along tersenyum memandang ibu yang
terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para
dan kemudian mencacap makanan yang sedang
dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-
mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu.
Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik
perempuannya yang baru pulang daripada mengaji
terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba
berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan
mereka. "Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu
nak buat kenduri ye!?" Tanya Atih kehairanan. Dia tidak
pernah melihat ibunya memasak makanan yang
pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka.
Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum
melihat keletah anak bongsunya itu.
Sementara Along di sebalik pintu terus memerhatikan
mereka sambil memasang telinganya. "Ibu, Atih nak
rasa ayam ni satu boleh?" "Eh! jangan, nanti dulu… Ibu
tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang
balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas
mandi dan tukar baju dulu ye!" Si ibu bersuara lembut.
Along menarik nafas panjang dan melepaskannya
perlahan…"Anak-anak kesayangan ibu nak balik
rupanya" bisik hati kecil Along. "Kak Ngah dengan Alang
nak balik ke ibu?" Soalnya lagi. Atih masih belum
berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil
tersenyum.
Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. "Oooo..
patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi
Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak
macam ni pun?" Along terkejut mendengar soalan Atih.
Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya.
"Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan
Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun
sebulan sekali ja!" Terang si ibu. "Tapi, ibu tak penah
masak lauk macam ni untuk Along pun!" Soal Atih lagi.
Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula
terasa sebak.
Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun
dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah
walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya.
"Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil
Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas" Arah ibu.
Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di
dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu
juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang
Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu
menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah
didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah
mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin
hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan
kecewanya.
Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia
menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat
menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya
tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada
sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi
dengan tudung bermanik. "Cantiknya, kalau ibu pakai
mesti lawa ni" Dia bermonolog sendiri. Along
melangkah masuk ke dalam kedai itu.
Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-
tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-
rupanya itu Fariz, sahabatnya. "Laa..kau ke, apa kau
buat kat sini?" tanya Along ingin tahu sambil
bersalaman dengan Fariz. "Aku tolong jaga butik kakak
aku. Kau pulak buat apa kat sini?" soalnya pula. "Aku
tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni.
Aku ingat nak beli dan hadiahkan kepada mak aku"
Jelas Along jujur. "Waa..bagus la kau ni Azam. Kalau
kau nak beli, aku bagi potongan harga 50%. Macam
mana?" Terlopong mulut Along mendengar tawaran
Fariz itu. "Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!"
Along meminta kepastian.
"Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!"
Balas Fariz meyakinkannya. "Tapi aku kena beli minggu
depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni." Cerita Along
agak keseganan. Fariz hanya menepuk bahunya sambil
tersenyum. "Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-
sikit." Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala
tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu.
Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul
lagi. Pada kau ada berapa ringgit sekarang ni?" soal
Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya
itu.
Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan
dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. "Tak
sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang
beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!"
pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya
mengangguk senyum.
Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui
nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang
sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak
berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke
arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur.
Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari
sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup
makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk
yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas
meja.
Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si
Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya. "Baru nak
balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?" Soalan
ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya
daripada menghabiskan sisa makanan di dalam
pinggan. "Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak,
bila lapar nak balik rumah" Leter ibu lagi. Along hanya
diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan
membuat muka selambar seperti tidak ada apa-apa
yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang
menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi
ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak
berpuas hati.
"Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana
Along, ibu kena marah dengan pengetua tu" Marah
Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di
MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu
saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat
kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan
untuk membisu sahaja. "Along! Kalau tak suka belajar,
berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah
daripada menghabiskan duit ibu”" Sampuk Alang, adik
lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh.
Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya
semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia
tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along
mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah
tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia
segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.
Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru.. Hatinya
pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka.
Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan
semakin membencinya.
Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan
rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar B. Kebetulan
cuti sekolah selama seminggu bermula esok. Seperti
yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along
terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah
berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa
ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si
ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program
sekolah berkhemah di hutan selama seminggu.
Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama
beberapa hari. Justeru dia terpaksa berbohong agar
ibunya tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along
menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar
untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya.
Tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe
sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal.
Upahnya lima belas ringgit sehari. Along rasa sangat
bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama
lagi, dia dapat membelikan jubah untuk ibu.
Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si
ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan
Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along.
Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap
kali memandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan
kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda
anak-anaknya yang lain.
Seperti hari-hari yang sebelumnya, Along bekerja keras
membantu Abang Joe di bengkelnya. Sydah lebih 10
hari Along bekerja di situ. Sikap Abang Joe yang baik
dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang
luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along
antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan
percuma. "Azam, kalau aku tanya kau jangan marah
ke?" Soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka
menikmati nasi bungkus tengah hari itu. "Macam serius
jer bunyinya Abang Joe?" Along kehairanan.
"Sebenarnya, kau lari dari rumah kan?"
Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap
ke dalam mulutnya tersembur keluar. Matanya juga
kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat
keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air.
"Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?"
Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe
itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along
mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam
mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba
menundukkan mukanya cuba menahan perasaan
sedih.
"Azam, kau ada cita-cita tak ataupun ada impian apa-
apa ke?" Abang Joe mengubah topik setelah melihat
reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi.
"Ada!" Jawab Along pendek. "Kau nak jadi apa satu
masa nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola?
Mekanik macam aku atau apa?" Along menggeleng-
gelengkan kepala. "Semuanya tidak! Cuma satu je, saya
nak mati dalam pangkuan ibu saya." Jawab Along
disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang
ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab
soalannya itu.
"Ala, gurau ja la Abang Joe… Sebenarnya, saya nak
bawa ibu saya ke Mekah dan saya nak jadi anak yang
soleh!" Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas
didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum
mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati
kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia
sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu
namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar
ibu ke Mekah.
Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja
masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along
kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan
soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. "Abang Joe, hari
ni, saya nak balik rumah …terima kasih banyak kerana
jaga saya beberapa hari ni" Ucap Along sewaktu
selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang
mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya
gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang
ke pangkuan keluarga.
Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa
itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak.
"Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya
tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk
Abang Joe" Kata Along lagi. "Tapi, kau kan boleh datang
bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?" soal Abang Joe.
Dia risau kalau-kalau Along menyalah-anggap tentang
soalannya tadi.
Along hanya senyum memandangnya. "Tak apa, saya
bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye!
Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi,
saya doakan perniagaan abang ni semakin maju"
Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe
memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya
yang akan pergi jauh.
Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik
kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya
itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke
tempat di mana baju itu disangkut. "Hey Azam, mana
kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau.
Kau lari dari
rumah ke?" Soal Fariz setelah menyedari kedatangan
sahabatnya itu. "Along hanya tersengeh menampakkan
giginya. "Azam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa
kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk
siMalik tu?" "Tak pe lah, perkara dah berlalu.lagipun,
aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar
tentang perkara ni”, Terang Along dengan tenang.
"Kau jadi mangsa Azam. Tengok, kalau kau tak
bagitau, mak kau ingat kau yang salah”, kata Fariz lagi.
"Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun
aku tak kisah, aku sangat sayangkan Ibu aku!"
"Azam..kau ni.." "Aku ok, lagipun aku tak mahu
menyusahkan lagi ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan
ingat kisah tu lagi" Jelas Along memotong kata-kata si
sahabat yang masih tidak berpuas hati itu.
"Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek,
jangan lupa lekat kad ni sekali, ok!" pinta Along sambil
menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu.
"No problem, tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja
ke?" Soal Fariz ingin tahu. "Aku kerja kat bengkel Abang
Joe. Jadi pembantu dia” Terang Along. "Abang Joe mana
ni?" "Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih
sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!" Jelas Along
dengan panjang lebar. Fariz mengangguk. "Azam, kau
nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?"
"Hari ni laâ.." Balas Along.
"Ooo hari lahir ibu kau hari ni ya?"
"Bukan, minggu depan"
"Habis? Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?" Soal
Fariz lagi.
"Aku rasa hari ni je yang sempat untuk aku bagi hadiah
ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku
lagi" Jawabnya sambil mengukir senyum.
Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai
turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk
segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil
menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang
sedang tersenyum menerima hadiahnya itu.
Motorsikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di
simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah
kereta wira yang dipandu laju cuba mengelak daripada
melanggar seekor anjing yang tiba-tiba muncul di
depannya. Pemandu kereta itu menekan brek dan
mengelak tapi dek jalan yang licin, ia hilang kawalan.
terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat
mengelak.
Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke
tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di
kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakainya
mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya.
Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus
mencari hadiah untuk si ibu. Dengan sisa kudrat yang
ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak
berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan
kain dan kad yang terburai dari kotak itu.
Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya.
Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya
berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat.
Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang yang
sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta
merta tubuhnya terus dirangkul wanita tersebut. Dia
tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali
apabila dahinya dikucup saat itu.
Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga
dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih
memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang
keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin
lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba
menghulurkan jubah dan kad yang masih di
genggamannya itu. "Ha..ha..hadiiiiah uuuntuk iiiiiibu"
Itu saja yang termampu diucapnya sambil berusaha
mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang
sangat dicintainya. Sebaik habis mengukir senyuman
bahagia itu, Along terasa kesakitannya sudah tidak
tertahan lagi. Suara ibu, Angah, Alang dan Atih semakin
sayup terdengar. Matanya sudah sangat berbinar. Di
gagahnya menahan matanya untuk terus menatap
wajah ibunya selama yang mungkin.
Along sudah kelihatan hampir tidak sedarkan diri. Si ibu
begitu cemas bercampur sebak dan sedih. Kepala dan
tubuh Along dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air
matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan
lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum
matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang
menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam
pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.
Along di bawa ke hospital dan disahkan sudah
meninggal dunia. Siibu menangis semahu-mahunya
menyesali tindakannya terhadap Along. Dia lebih
menurut nafsu dan emosi. Along sudah pergi untuk
selama-lamanya. Tangisan dan penyesalan tidak akan
mengembalikan Along ke pangkuannya semula. Sebaika
pengebumian jenazah Along, si ibu terus duduk di sisi
kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Begitu juga
perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-a
masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian
seorang abang yang selama ini disisihkan.
Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-
tiba muncul. Dia terus mendekati wanita separuh umur
itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya
selama ini. "Makcik, ampunkan segala kesalahan
Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes
pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan
saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat
kami.. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan
menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu,
dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh.
Bapa Azam seorang pembunuh dan dia jugak cakap,
ibunya iaitu mak cik sebagai seorang perempuan gila.
Azam pukul Malik sebab tak sanggup mendengar Malik
menghina ibu dan ayahnya"
Cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut
mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada
ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk
Malik. "Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada
makcik Fariz? Soalnya dengan sedu sedan.
"Sebab..Azam tak mahu makcik sedih dan teringat
kembali peristiwa itu. Dia cakap, dia tak nak makcik
jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua
ketenangan yang makcik ada sekarang walaupun dia
disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok
makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula"
Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat
menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.
Siibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Lidahnya
kelu untuk berkata-kata lagi. Terasa seluruh anggota
badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan
mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat
pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang
selama ini dianggap anak derhaka.
Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan
yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad
berwarna merah jambu bertompok darah yang kering
dibukanya lalu dibaca. ˜Buat ibu yang sangat dikasihi,
ampunkanlah salah silap Along selama ini. Andai Along
melukakan hati ibu, Along pinta sejuta kemaafan.
Terimalah maaf Along bu..Along janji tak kan
membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu
selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu dan terimalah
hadiah ini dari anakmu yang banyak
menyusahkanmu....UNTUKMU IBU!"
Kad itu dilipat dan dicium. Air matanya sekali lagi
melunjur deras berjurai membasahi pipi. Sekali lagi
siibu menangis semahu-mahunya. Segala perasaan
sedih, pilu, sayang, menyesal dan marahkan diri
bercampur baur di dalam dadanya. Setelah beberapa
lama, siibu tenang semula. Di dalam hatinya siibu
berkata "Ya Allah!! Aku mohon ampun padamu atas
apa yang sahaja kesalahan aku kepada anak ini. Kau
saksikanlah Ya Allah bahawa aku meredainya sebagai
anak yang soleh.. Engkau tempatkanlah Along anakku
ini di dalam syurgaMu yang kekal abadi!"
Mereka terus terkenangkan Along... sedangkan di
depan mereka di sebalik alam nyata, berdiri ruh Along
memerhatikan Ibunya dan mereka.d Along hanya
tersenyum melihat keluarganya yang sudah
menyaksikan kebenarannya. Along berbahagia
menerima kiriman doa yang sangat berharga dari
Ibunya..... Ruh Along terus terbang jauh-jauh menuju
kesejahteraan dan kebahagiaan yang sebenarnya di
alam sana...