SATU perkara tentang lelaki bernama Irfan yang Edlin baru tahu, Irfan suka melakukan perkara yang ekstrem. Edlin tak sangka Irfan boleh memanjat pagar jambatan selepas itu menjerit kuat-kuat. Kalau nampak dek orang lain, sah dikatanya hilang akal! Alasan hanya nak melepaskan tekanan sangat tidak meyakinkan, banyak lagi cara lain. Edlin geleng kepala dalam diam.
Mereka berdua sudah berada di restoren mamak 24 jam. Edlin pandang Irfan yang sedang sibuk dengan gadgetnya. Sibuk download apa entah, itu yang Irfan beriya-iya sangat mengajak dia keluar malam-malam. Mengeteh kata Irfan tetapi apa yang Edlin lihat Irfan sibuk membelek gadget sedari tadi.
Edlin pandang pula telefon bimbit cabuknya. Hanya telefon bimbit biasa berjenama Nokia dan yang pasti tiada rangkaian jalur lebar. Telefon bimbit cabuk diterbalik-balikkan, gaya orang kebosanan. Sungguh, Edlin dah naik bosan pula berada di restoren mamak ini kalau setakat nak tengok doktor seorang ini sibuk dengan dunia mayanya. Jadi, fungsi apa dia di sini? Patung, eh?
Teh tarik dan roti telur selesai dimakan oleh Edlin. Tetapi, gaya doktor seorang ini masih belum ada tanda-tanda ingin pulang. Edlin keresahan, walaupun esok dia bekerja petang tetapi waktu tidurnya sudah lama berlalu. Sudah lewat tengah malam tetapi dia masih di sini. Orang kampung sepertinya memang mata telah dilatih sedari kecil tidur awal kalau tiada hal. Bukan macam orang bandar, malam masih muda.
Edlin tidak dapat menyembunyikan lagi perasaan kantuknya. Menguap selamba di depan Irfan.
“Dah mengantuk?” Irfan baru perasan gadis itu sudah menghabiskan makanannya dan gadis itu kelihatannya sudah mengantuk. Mata pun nampak dah layu. Timbul rasa belas di hati Irfan. Terasa kesal pula mengajak gadis itu, dia sebenarnya selalu terlupa gadis itu bukan Adelia. Edlin dan Adelia sangat jauh berbeza. Kesukaan Adelia banyak persamaan dengannya tetapi Edlin tiada persamaan itu.
“Eh, saya okey! Sudahkan kerja doktor dulu,” Edlin tak sampai hati pula nak jawab memang dia mengantuk sangat-sangat. Biarlah lelaki itu sudahkan kerjanya dahulu. Anggap saja dia sedang bekerja malam, habis cerita!
“Saya sikit lagi nak habis, tengah download tentang kerja sikit,” Irfan rasa bersalah kerana terpaksa buat Edlin menunggu lagi. Bukannya dia tiada kemudahan internet di rumah tetapi entahlah mungkin dia sedang mengimbau segala yang pernah dia lalui bersama Adelia. Tanpa sedar dia telah mempergunakan Edlin. Ah!
“Jangan risau teruskan aje,” Edlin cuba menyedapkan hati lelaki itu. Dia hampir menguap lagi tetapi ditahannya sekuat hati, akhirnya air matanya pula yang keluar. Haiyak, cepat-cepat Edlin berpura-pura meoleh ke arah tv flat skrin yang tergantung di penjuru kedai. Kebetulan, seorang pekerja kedai menukar siaran sukan. Tidak semena-mena mata yang layu terus membulat. Wah, bola sepak!
Mata Edlin terus menjadi segar. Irfan masih dengan dunia mayanya. Perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Kelab Chelsea dengan Kelab Liverpool. Frank Lampard, haruslah tengok! Edlin tak kisah jika Irfan masih ingin berlama-lama lagi di situ, dia sudah terjumpa sesuatu yang menarik di hatinya. Biarpun siaran ulangan, lantak janji bola sepak kesukaannya.
“Ah, sikit lagi.. sikit lagi.. gol la, gol la..” Edlin bersemangat melihat pemain kesukaannya Frank Lampard sebagai midfielder Chelsea mengejar bola hampir ke gawang gol. Restoren mamak sebelum dibuka siaran bola sepak masing-masing buat hal sendiri tetapi apabila bola sepak sedang bersiaran semua mata terus tertumpu pada tv flat skrin. Restoren mamak mula happening!
Irfan terkejut mendengar Edlin tiba-tiba menjerit perlahan. Kelihatan Edlin teruja benar melihat perlawanan bola sepak di tv. Ohhhh.. Irfan menyengih. Minat bola rupanya.
“Cepat! Cepat!” Edlin menjerit siap kedua belah tangannya digenggam kemas di depan mukanya. Sungguh bersemangat walaupun cuba menahan perasaan terujanya supaya tidak keterlaluan. Kalau di rumah, sah satu rumah sudah bergegar. Ini di kedai mamak, berdepan pula dengan Irfan. Sebaik mungkin Edlin mengawal tingkahnya.
YOU ARE READING
PEMILIK HATI ENCIK DOKTOR
RomanceProduct Description TAJUK : PEMILIK HATI ENCIK DOKTOR PENULIS : WAN ROHAYU NO ISBN : 978-967-0657-75-2 BLURB Siapalah yang tak nak jadi kekasih encik doktor? Dengan karisma dan paras rupa Dr Irfan, sudah pasti ramai perempuan yang tergila-gila, meng...