02 | Darah

82 11 2
                                    

ARMAN merenung ke luar jendela. Malam sudah melabuhkan tirainya. Sesekali bunyi cengkerik menjadi peneman jiwa. Pohon ara yang tumbuh di sebelah rumahnya dipandang sekilas. Satu keluhan dilepaskan.

"Arman! Man!" laung satu suara. Tercungap-cungap dia mengambil nafas. Pagar kayu itu ditolak kemudian dia berdiri di hadapan pintu Arman.

"Kau nak apa ni? Siap jerit panggil nama aku. Apa yang dah jadi?" soal Arman malas. Baru saja dia mahu tidur, sudah ada yang memanggil namanya.

"Cik Widiya! Dia baru saja menghembuskan nafas terakhirnya selepas melahirkan anak sulungnya! Lekas ke rumahnya! Suaminya mau isterinya dikuburkan malam ini juga." ujar Pak Widoyo, ayah kepada Widiya.

"Biar betul kau! Aku tukar baju sekejap." balas Arman, menyembunyikan senyuman yang terlakar di wajah seraya berjalan masuk ke dalam dan mengambil topi.

Santau angin yang dihantar oleh Tok Hitam akhirnya berjaya. Dalam masa seminggu saja sudah nampak hasilnya. Tidak sia-sia dia ke sana seorang diri membawa mayat perempuan yang masih perawan itu. Dia tahu, dalam keadaan Widiya yang sarat mengandung itu pasti akan memudahkan kerjanya. Segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

"Kau jalan dulu, aku menyusul kemudian."

Pak Widoyo akur. Banyak lagi hal yang dia kena uruskan. Cepat-cepat dia pulang ke rumah.

Arman tersenyum jahat. Tangkal yang disimpan di dalam kocek seluarnya dikeluarkan menggunakan tangan kiri. Kakinya melangkah menuju ke belakang rumahnya. Berdekatan dengan pokok pisang.

Cangkul yang biasanya digunakan untuk menanam jenazah itu dicapai kemudian dia mula mencangkul tanah tetapi tidaklah terlalu dalam. Kira-kira tiga inci saja sudah cukup.

Jampi serapah yang diajar oleh Tok Hitam segera dibacanya. Tangkal diletakkan di dalam lubang. Keris yang diberi Tok Hitam tempohari menghiris pergelangan tangannya. Mengalirkan cecair merah pekat panas.

Arman menekan-nekan lengannya, memaksa darah keluar dengan lebih banyak. Tangkal hitam itu mula dibasahi dengan darah. Terketar-ketar tangannya menahan kesakitan.

Cangkul yang diletak di tepi tadi dicapai semula kemudian dia menanam tangkal itu. Peluh yang merenik di dahi dilap. Kerjanya sudah selesai sekarang. Tiada apa yang perlu dibimbangkan lagi.

"Apa yang kau buat tu, Arman?" soal Pak Widoyo, terpinga-pinga. Niatnya untuk pulang ke rumah tadi terus terbantut melihatkan kelakuan aneh Arman. Dia mengekori Arman ke belakang rumahnya dan apa yang dilihatnya sebentar tadi sangatlah tidak masuk akal.

Sangkanya Arman adalah seorang lelaki yang baik. Sangkanya Arman boleh membimbing anaknya ke jalan yang benar. Patutlah Widiya menentang sekeras-kerasnya apabila dia ingin menjodohkan anaknya dengan Arman. Dan sekarang dia mengerti, Arman bukanlah pemuda yang baik untuk anaknya. Dia sudah melakukan dosa besar kepada Tuhan. Semuanya sudah jelas.

"Eh Pak Widoyo. Bukan pakcik dah pulang ke tadi?" tanya Arman. Seolah tiada apa yang terjadi. Dia mendekati Pak Widoyo.

"Berhenti! Kau... Kau sudah melakukan dosa besar! Kau tahu itu semua adalah dosa besar tapi kenapa kau masih melakukannya? Mana Arman yang ku kenal dahulu? Arman yang penuh sopan santun dan tahu ilmu agama? Mana!?" Pak Widoyo mengundur langkahnya setapak apabila Arman cuba mendekatinya.

Ini bukan Arman yang dia kenal. Arman yang dia kenal dulu tahu soal agama. Bacaan tajwidnya juga tidak pernah salah. Malah, dia pernah menjadi imam masjid di kampung itu dan memberikan ceramah kepada penduduk kampung yang lain. Tetapi apa yang dilihatnya sebentar tadi serta merta mengubah segalanya. Syaitan telah mempengaruhi minda lelaki yang pernah bergelar seorang tahfiz itu.

"Pakcik salah faham ni." Arman senyum. Senyuman yang sama seperti seorang psiko. Keris yang disembunyikan di belakang tangannya digenggam kuat.

"Mataku sudah melihat semuanya. Jadi ini yang kau lakukan selama ini? Kau telah mengaburi mata penduduk kampung yang lain. Aku tidak hairan mengapa Widiya tidak mahu berkahwin denganmu." kata Pak Widoyo kesal. Wajah diraup buat kesekian kali. Membuak-buak rasa kemarahan dalam hatinya.

Apatah lagi Amran.

Tidak cukup dengan anaknya. Sekarang bapanya pula ingin membuatkan jiwanya terseksa. Terus meletus api kemarahan yang dipendam sedari tadi. Kalau bapanya tidak melibatkan anaknya, Widiya dalam hal ini, dia pasti boleh bersabar lagi. Tetapi apabila nama Widiya disebut, terus sakit hatinya.

Keris yang dipegangnya tidak bisa disembunyikan lagi. Tanpa berfikir akibatnya, dia terus membenamkan keris itu tepat mengena jantung Pak Widoyo.

"Kau... Aku sumpah kau tidak bisa hidup aman selama tujuh keturunan." kata Pak Widoyo sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Arman tersenyum jahat. Dia tidak kisah apa yang terjadi akan datang, yang dia tahu sekarang dia sudah punya hobi baharu. Dia suka melihat darah. Dia dapat merasakan satu kepuasan yang menyerap masuk ke dalam dirinya. Seolah-olah ada yang menyokongnya untuk terus membunuh.

Badan Pak Widoyo dibaringkan di tanah. Keris dicabut semula. Kali ini dia mula membentuk satu lubang di dada Pak Widoyo menggunakan keris itu. Siap saja semua itu, tangannya laju merobek jantungnya dan memakannya rakus.

"Sedap." jari-kemarinya dijilat. Menghabiskan sisa-sisa darah yang tinggal. Badan Pak Widoyo dipotong-potong kemudian dimasukkan ke dalam guni. Usai membersihkan sisa darah yang ada di merata tempat, destinasinya kini adalah menuju ke rumah Widiya, wanita yang sangat dicintainya dahulu. Sekarang tidak sudah. Perasaan cintanya terhadap wanita itu sudah lama terkubur sejak melihat dia mengandung.

The Curse : The Nerd Girl With Her Mystery CurseWhere stories live. Discover now