Sabah, 2016.
CERMIN bujur di hadapannya dipandang lama. Cantik dihias dengan mutiara disalut emas. Membuatkan empunya merasa bangga dengan cermin yang dimilikinya. Tetapi...
Tangannya perlahan naik menyentuh wajahnya. Jerawat yang semakin banyak tumbuh di wajahnya membuatkan dia rimas. Umurnya baru saja menginjak 16 tahun, namun dia sudah dipenuhi jerawat. Tidak seperti kawan-kawannya yang lain yang mempunyai wajah halus mulus dan dipanggil baby face. Dia? Sering dihina di sekolah kerana wajahnya sungguh menakutkan. Tidak cukup dengan jerawat, kurap pun ada juga. Malah, parut yang ada di wajahnya itu tidak pernah hilang. Kalau kecil tidak apa. Ini, sebesar cakaran si harimau bintang.
Satu keluhan dilepaskan. Dia tidak tahan dengan semua ini. Salahkah wajahnya dilahirkan seperti itu? Bukan dia yang minta. Tiada sesiapa yang inginkan wajah seperti ini.
Ikutkan hati dia mau saja terbang ke Korea dan membuat pembedahan plastik di sana. Pasti mukanya akan menjadi cantik seperti artis nanti. Pasti dia tidak akan diejek lagi selepas ini. Sudah terbayang ramai yang akan memuji kecantikannya. Dan sudah pasti ibu bapanya akan menghembat tubuhnya dengan rotan buluh itu. Bukan saja kosnya untuk ke sana mahal, tapi bayaran untuk pembedahan plastik juga pasti mencecah belasan ribu atau puluhan ribu. Memikirkan itu semua saja sudah membuatkan kepalanya pening.
Dia tahu ibu bapanya mampu untuk membayar semua itu. Tetapi kalau bukan untuk tujuan yang bagus ibu bapanya tidak akan membenarkan dia. Lainlah kalau dia ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara kelak.
Ah, dia buntu! Air matanya sudah kering. Dia benci dihina, dicemuh dan diejek. Tiba-tiba satu imbasan muncul di minda.
"Ish kau tengok bah muka dia. Macam kena simbah asid, kan?"
"Kalau aku la kan, aku nda mau oh sekolah. Bagus berhenti seja. Ibu bapa dia kaya kan? Tujuh keturunan pun nda habis."
"Tak guna!"
Cermin bujur kesayangannya ditumbuk, meninggalkan retakan. Buat apa cermin miliknya kelihatan cantik kalau dia tidak bisa menjadi secantik itu? Apa gunanya?
Dan tika itu senyuman jahat menghiasi wajahnya. Kalau dia tidak boleh pergi ke Korea untuk membuat pembedahan plastik, biar dia pergi ke Puay Thai di Thailand untuk mencantikkan dirinya di sana. Kata kawannya yang tua lima tahun dari dia, dalam masa dua hari saja muka kita akan kelihatan cantik. Tetapi ada syaratnya.
Dia tidak kisah semua itu. Asalkan wajahnya kelihatan cantik, dia sanggup lakukan apa saja. Dia boleh saja menipu ibu bapanya dengan mengatakan dia ingin bercuti di sana. Kebetulan minggu depan cuti semester pertama akan bermula. Ibu bapanya pasti tidak akan menghalangnya.
Dia tersengih-sengih sendiri. Pasti lelaki pujaan hati yang selama ini mengejeknya akan memujinya selepas dia ke Puay Thai. Dalam keadaan seperti ini, dia terdesak.
Terdesak untuk menakluk sepasang hati milik lelaki pujaan.
YOU ARE READING
The Curse : The Nerd Girl With Her Mystery Curse
HorrorDialah si pemuja syaitan, yang memesongkan akidah manusia. Tika petang berganti malam, darah gadis perawan akan membasahi batu hitam berpenunggu milik nenek moyangnya. Kampung Cempaka Kuning yang dahulunya aman kini dihantui dengan manusia tidak ber...