LELAKI LINGKUNGAN CINTA PART 5

293 6 0
                                    


Cuaca di luar agak dingin. Angin perbukitan yang bertiup kencang bagai memberi isyarat hari mahu hujan. Gugus-gugus awan tampak mendung dan kelam biarpun langit seharusnya berwarna tembaga lewat senja itu.

"Alamak, hari nak hujan. Aku pergi beli nasi ayam ajelah ya kat kedai Awei. Kau nak kirim apa-apa tak?" Rinn meluru masuk ke rumah. Fail dan beg sandang diletak ke tepi dahulu. Tanpa bersalin baju dan bertukar tudung, dia mencapai payung dan dompet.

"Nak beli makanan sekarang ke? Nak aku temankan?" Ayu menawarkan diri. Dia yang balik awal sempat membasuh baju.

"Tunggu lepas maghrib, takut hujan lebat. Leceh nanti." Balas Rinn sambil memandang ke luar. Angin yang bertiup semakin nakal dan kasar.

"Esya nak apa?" Tanya Ayu yang sudah siap melilit selendangnya.

"Nasi ayam sama teh ais ajelah." Sahut Esya yang entah mengapa, kepalanya masih semak dengan bunyi gitar dari rumah depan. Duit sepuluh ringgit dihulur pada Rinn.

Sementara tinggal sendirian, Esya sempat mengemas dan mengumpul semua kotak-kotak yang tidak terpakai. Diletakkan setempat di depan pintu rumah. Segala sampah-sarap, diikat kemas-kemas dalam beg sampah dan dilonggokkan dalam kotak-kotak yang bertimbun itu. Niat hati mahu dibuang di tempat pengumpulan sampah di aras bawah.

Esya keluar masuk rumah. Hujan yang mula bergerimis membuatkan dia menjadi kelam-kabut. Dan langkahnya menjadi semakin kalut bila ada suara yang ramah menegur dari hadapan,

"Hai awak! Dah balik? Berkemas ke?" Adib menegur sambil terus memetik gitar. Adon dan Arep terlalak-lalak menyanyi.

Menjeling sekilas, memang nampak di mata Esya, jejaka kurus itu dengan seluar denim lusuh, berbaju melayu dan bersongkok sedang memetik gitar.

Meluatnya! Dah nak maghrib pun terpekik-pekik! Mahu saja Esya menjerit geram.

"Awak! Terror tak kita main gitar! Muka handsome, senyum comel, pandai goreng gitar, pandai goreng maggi! Pemuda harapan bangsa kan kita ni Esya!" Suara Adib masih galak menyakat Esya. Arep dan Adon berdekah-dekah tergelak besar.

Esya semakin tidak keruan. Dia entah mengapa menjadi menggelabah. Keluar masuk rumah. Hendak tangguhkan mengangkat semua kotak ke bawah, macam buat penat badan aje! Jenuh dah dia melonggokkan semuanya di depan pintu. Betul-betul menghadap rumah Adib.

Tanpa diduga angin berhembus garang, membawa hawa nan dingin. Deruan yang sangat luar biasa dan kasar sehingga pintu kayu Esya berdentum terkatup sendiri.

Dumm! Pintu yang terbanting kuat itu menyentakkan Esya. Gadis itu yang sehelai sepinggang di luar rumah terpinga-pinga.

Wajah menjadi pucat dan lutut terasa menggeletar kesejukan. Allah! Allah! Kunci! Pintu terkunci! Awat aku gatal pergi tekan lock dari dalam! Terasa mahu hantuk kepala ke dinding!

Esya benar-benar mahu terkulai di depan pintu rumah. Sudahlah penat, makan pun tak sempat menjamah nasi sejak siang, pintu rumah pula tertutup dari dalam.

Tombol pintu cuba dipulas. Berkali-kali diusahakan tapi sampai merah tangan, sakit telapaknya tetap tak memberi kesan. Kalau ada tingkap tepi pintu, boleh jugak dipecahkan tingkap, seluk tangan ke dalam dan pulas tombol. Allah!

Esya benar-benar mati akal. Hujan semakin menderu turun. Membawa sekali angin sejuk yang tertempias pada Esya di balkoni itu.

Bunyi greng greng, kreng kreng gitar dengan lagu Awie Tiada Rahsia Antara Kita hilang tanpa Esya sedari. Azan maghrib sudah beralun syahdu dan dua sahabat, Ayu serta Rinn pulang berlenggang sambil menjinjing plastik makanan. Mereka yang agak kuyup terkena hujan berkerut memandang Esya dari jauh.

"Hei, apa buat ni?" Mata Rinn atas ke bawah memandang Esya. Bersama-sama kotak yang ada berlonggok di depan rumah, menambah rasa hairan.,

"Kenapa ni? Macam nak lari rumah aje!" Tanya Ayu pula.

"Banyak kau punya nak lari rumah. Aku nak buang kotak-kotak ni. Alih-alih angin kencang, pintu terkatup. Aku pulak dah lock dari dalam." Esya dengan wajah yang penuh rasa bersalah, menerangkan.

"Ya Allah!" Ayu ternganga mendengar.

"Astagfirullah!" Rinn sudah menghela nafas panjang.

Tiga sahabat dengan segala susah payah, menggunakan segala kudrat yang ada cuba menolak dan memulas tombol pintu. Langit membawa dingin hujan namun mereka sudahnya berpeluh-peluh dengan segala usaha.

Esya sudah berasa mahu menangis dan duduk mencangkung di tepi pintu rumah. Ya Allah! Kenapalah siksa sungguh hidup jadi mahasiswi ni? Aku ni banyak dosa ke? Agaknya reda mama tak pernah ada pada aku? Terasa mahu menitis air mata tatkala itu.

>

LELAKI LINGKUNGAN CINTAWhere stories live. Discover now