"Kenapa ni?"
Oh! Gosh! Kenapa dia ada! Suara Adib yang menyapa membuat Esya berderau darah.
"Hei, pecah masuk rumah sendiri ke?" Adon sama menegur. Arep yang bersama mereka turut sama berkerut dahi memandang.
Termalu-malu Esya apabila melihat tiga sahabat lama merangkap jiran mereka berdiri tercegat di sisi. Adib tampak sudah bersongkok dan berbaju melayu.
"Err pintu rumah kita orang terkunci dari dalam." Payahnya mahu menyudahkan ayat itu. Esya terasa seperti mengirai kebodohan sendiri.
"Lohhhh!" Adib terkejut tapi kemudian tersenyum meleret.
"Habis tu?"
"Habis tu kita orang tak boleh masuklah! Tu yang berdiri depan pintu. Ingat kita orang ni seronok-seronok ke?" Rinn memancung pertanyaan Arep.
"Cuba pakai kad matrik." Adib mencadangkan.
"Hish, nanti patah." Esya membantah. Adib sudah menyeluk dompet mencari kad matriknya.
"Patah boleh buat balik." Balas Adib dan dia kemudian bersungguh-sungguh cuba selitkan kad matriknya pada tepi pintu. Dipulas tombol tapi masih gagal untuk dibuka.
"Payah sangat, pecah ajelah pintu ni." Esya sudah gelisah dan rasa bersalah.
"Hish tak usahlah. Nanti tak fasal-fasal nak kena bayar pintu yang dah terkopak ni." Sanggah Ayu.
"Kalau terpaksa, tak apalah, biar aku yang bayar. Aku yang cuai." Esya pasrah. Seluruh sendi terasa sakit dan lenguh tatkala itu.
"Pintu dapur tak kunci kan?" Tanya Adib sambil ligat berfikir akalnya. Dia yang kurus entah berapa kali bercekak pinggang menjengah laluan masuk menuju arah dapur.
"Tak. Kenapa?" Balas Rinn dan Esya serentak.
"Kita masuk ikut dapur."
"Masuk macam mana?" Esya bersungguh tanya.
"Panjatlah!" Polos dan spontan jawapan Adib.
"Hah??" Esya, Ayu dan Rinn terbeliak memandang Adib.
Arep dan Adon sudah tergelak-gelak kecil. Mereka faham sangat perangai Adib.
"Tak usahlah! Nanti jatuh!" Rinn dengan wajah tegas menghalang.
"Kalau jatuh ke bawah!" Berdekah-dekah gelak Adon dan Arep. Tajam mata Esya mengamati dua wajah itu. Terasa mahu dikunyah hidup-hidup dua mamat itu.
"Jangan risau! Adib biasa buat kerja-kerja gini dulu!" Arep cuba berlawak.
"Waktu maghrib memanjat-manjat gini, tak usahlah!" Esya menyanggah. Memang dia berasa amat bersalah. Dia tahu tiga sahabat itu mahu ke masjid untuk solat. Tak fasal-fasal pahala solat berjamaah hilang di tengah jalan gara-gara mahu bantu dia membuka pintu.
Sekelip mata Adib sudah melompat memanjat tembok di balkoni rumah tiga gadis itu. Penuh berhati-hati Adib meniti menuju ke dapur. Sepasang mata Esya mengikut rapat langkah Adib.
Allahu! Gerunnya! Terkumat-kamit Esya berbisik pada Ayu dan Rinn. Keadaan menjadi sunyi seketika.
"Kalaulah terjatuh, mahu terjerumus ke tingkat bawah dari aras tiga ni!" Rinn sambil menekup mulut terluah juga ungkapan itu.
Adib dengan segala kepayahan cuba imbangkan diri. Matanya sendiri tidak sanggup memandang ke bawah. Tak ada sebarang penghadang pun laluan dari balkoni ke dapur itu. Dia hanya berpaut pada tembok dapur. Tingkap nako yang separuh terbuka, dikuaknya sedikit. Huh! Menitik peluh dinginnya.
Semua yang di luar memandang penuh debar. Darah berkocak kencang. Masing-masing bulat mata mengekori gerak langkah kaki dan tangan Adib.
"Allah!" Terasa mahu putus tangkai jantung Esya mengamati.
Tangan Adib diseluk mengikut celah tingkap yang terbuka sedikit. Tombol pintu dapur dipulas sebelah tangan, sementara tangan kanannya bertahan pada tembok.
"Huyeaahh!" Melompat girang Esya, Ayu dan Rinn tatkala melihat pintu dapat sudah terbuka tapi belum habis menjerit, terdengar sesuatu, bunyi benda jatuh tersembam dan suara Adib, "Adoiiii!"
"Adib!" Arep menjerit dari luar.
"Woi!!
Adib? Kau okay tak? Kau bernafas lagi tak! Kalau okay bangun, buka pintu depan ni!" Adon berteriak memanggil.
"Adib jatuh kenapa ya?" Esya tergamam.
"Allah! Baldi aku mop lantai ada kat situ. Tergelincir kot! Tadi pencuci lantai tumpah!" Ayu sudah menggeletar rasa bersalah.
Beberapa minit kemudian Adib dengan muka seribu kerut menahan sakit dan kaki terdengkot-dengkot membuka pintu depan.
"Alhamdulillah! Kau hidup lagi Adib! Aku ingat dah Rest In Peace!" Arep dengan mulut cabul mengusik sahabatnya.
"Adib! Sorry ya! Adib sebab saya awak jadi macam ni!" Bersungguh-sungguh Esya minta maaf.
"Adib, buku lali awak bengkak tu!"Ayu penuh cemas memandang ke kaki Adib.
"Alah buku lali dia aje! Gigi tak patah kira okay tu!" Arep bergegas memapah Adib keluar.
"Moh! Moh! Ke masjid kita! Ada kena tangkap basah pulak nanti lama-lama kat sini." Arep memaut tangan Adib. Terhencut-hencut jejaka kurus itu melangkah Mulutnya yang keletah menyakat Esya senyap dan hanya sesekali mengerang sakit. Dia hanya terseringai menahan sakit sebenarnya.
"Huh! Mujur tak tersagat gigi dengan bibir ke lantai! Kot lah tercium lantai dengan bibir, hahaha masak! Mahu kopak besi rel keretapi kat gigi kau Apek! Koyak bibir kau Apek!" Bebel Adon sambil membantu kawannya itu.
Bertambah tidak berkelip Esya mengamati susuk tubuh Adib.
Esya memandang dengan seribu rasa kesal.
YOU ARE READING
LELAKI LINGKUNGAN CINTA
RomanceTerbitan Penulisan2u. Gadis-gadis memandangnya seumpama lelaki yang tak punya masa depan. Siapalah yang mahu atau rela bercinta dengan lelaki yang perangainya tak semenggah, tingkah lakunya tak senonoh dan sengih memanjang saja yang dia tahu. I...