LELAKI LINGKUNGAN CINTA PART 11

269 4 1
                                    


Lewat petang mereka pulang ke Asana Agung Putra. Azmie dan Dayana sekadar duduk berlunjur kaki di hadapan villa mereka, menghadap kolam renang.

"Nak ke Laut Timur?" Azmie mempelawa. Sementelah langit di luar sangat cantik.

Semakin menghampiri senja, semakin keemasan warna jingganya. Angin kering yang dihantar ombak Laut Timur Kuta dan asin laut cukup nakal. Terhidu di mana-mana baunya. Berbaur dengan haruman kemboja, melati dan cempaka yang banyak subur penuh ghairah berbunga di tepi-tepi jalan.

"Malaslah." Tangannya mencapai akhbar Kompas. Kemudian Sambil berlunjur kaki, dia cuba membaca berita-berita tempatan Indonesia. Namun gelak nakal Adib yang sedang berendam di dalam kolam renang mencuit perhatiannya.

Sambil bersandar dia menoleh ke arah Adib. Akhbar Kompas diletaknya kembali. Dayana sangat terganggu sebenarnya. Susuk tubuh kurus yang hanya memakai seluar bermuda bunga-bunga warna merah jambu dan putih itu amat menggetarkan rasa curiga.

Berdebur bunyi air. Adib terjun sebelum menyelam lama dan kemudian muncul di permukaan air. Naik semula. Terjun lagi.

Allah!

Senak perut, ngilu hulu hati Dayana memandang dari jauh. Elok-elok bersandar, dia bangkit.

"Abang! Adib tu!"

"Abanggg! Adib tu!" Dayana mahu menjerit tapi sangat letih.

Kecil besar, kecil besar mata Dayana memandang Adib yang seronok bercanda mengusik gadis-gadis Bali yang sedang memangkas pokok bunga di sekeliling taman berhampiran kolam renang itu.

Adib memanjat ke tebing, gelak-gelak nakal, "Eh eh siap bergelek dia! Allahu!" Dayana mengurut dada. Sungguh berderau darahnya memandang Adib yang membuat somersault di tepi kolam itu.

Burrrr!

"Ya Allah, mamat ni buang tabiat apa! Abang! Terhantuk nanti kepala tu! Kolam ni cetek! Tegur si Adib tu!" Semakin ngeri Dayana memandang ke arah Adib. Tapi Azmie tampak khusyuk dengan komputer ribanya. Leka melayari internet sambil membaca berita-berita global/

"Senja-senja macam ni jangan gelak lebih sangat boleh tak!" Dayana mula berleter tapi jauh untuk didengar Adib yang asyik di dalam kolam. Selumbar telinganya mendengar Adib berdekah-dekah ketawa sambil berbual dengan beberapa orang pekerja villa.

Dayana bangkit, berdiri dan cekak pinggang sambil kakinya melangkah ke arah kolam renang.

Adib masih dengan gaya terjun nyamuk tiruknya. Berangan-angan macam perenang olimpik. Dan, bingo! Kepala terasa bingai! Mata menjadi blur, kepala macam berat dihentak tukul. Sebaik keluar dari kolam, dia terasa semacam. Bintang, bulan, planet semuanya bagai berantakan dalam lingkungan cakerawala.

Kepalanya tadi terhantuk di tepi kolam.

"Adib!!! Darahlah! Allahu akhbar!" Mahu pitam Dayana memandang Adib yang muncul dari air dengan belakang badan meleleh darah dari kepala.

"Hah? Darah?" Adib seperti terpinga-pinga. Meraba-raba belakang kepala. Auchh! Pedih! Dan, dirinya sendiri terkejut melihat darah menyimbah pada bahu.

"Astagfirullah! Akak dah katakan! Degil! Perangai macam budak-budak! Nak mandi, nak main pun beringatlah sikit!" Tidak mampu menahan perasaan, Dayana seperti peluru berpandu meleteri Adib.

"Aduh! Kenapa ini mas!" Beberapa pekerja villa sudah menyerbu Adib. Namun wajah lelaki kurus itu tetap tersengih-sengih.

Kepala Adib dibungkus dengan tuala kolam renang. Tuala yang putih bersih itu laju saja menyerap darah yang melimpah.

LELAKI LINGKUNGAN CINTAWhere stories live. Discover now