Terlihat dia sudah keluar dan sedang menutup pintu pagar rumah. Aku segera beralih dari tempat pemandu ke tempat duduk sebelah. Hanya melangkah melintasi gear tangan sahaja tanpa perlu buka pintu kereta. Dia yang ajar. Nasib badan bersaiz kecil.Dia buka pintu kereta dan terus ambil posisi pemandu. Sesaat kemudian aku tercium aroma dia. Mata kupejamkan. Dan bibir kutarik senyum dalam tak sedar.
"Wanginyeeee... Macam tuang sebotol perfume.." Aku memulakan bicara pertama tanpa menoleh ke arah dia.
"Biasa ahhh..." Ayat macam orang tengah kembang kena puji. Terus aku berpaling ke sebelah. Mengambil kesempatan menelek mukanya yang sudah lama tak ditatap. Rindu.
Tangan kananku pantas mencubit ke bahagian sisi pinggangnya. Dia mengelak dan berdecit.
"Tengah drive nihhhh..." Rautnya serius. Aku gelak kecil. Suka usik dia di bahagian sensitifnya. Antara cara nak pecahkan sunyi yang ada.
"Nak pergi mana nih?" Pantas bertanya melihatkan dia memandu kereta ke arah bandar. Tadi mesej ajak keluar takde sebut nak pergi mana. Selalunya begitulah dia.
"Uptown jap eh." Jawabnya pendek.
Aku cuma mengangguk. Dan suasana diam terus. Hanya bunyi radio dan angin dari tingkap yang bersuara.
Di uptown, orang ramai. Kutengok jam. Hampir pukul 10.30 malam dan malam ni Sabtu malam Ahad.
'Standard ah orang ramai benor nih...'
Seperi biasa, aku lebih selesa berjalan di belakang orang kalau di tempat sesak begini. Dan hari ni, berjalan belakang dia sambil menarik belakang bajunya sikit. Takut hilang.
Di masa-masa kurang orang, aku leka memerhatikan dia dari belakang. Tinggi dia. Rambut dia. Gaya dia berjalan. Semua. Dan aku senyum lagi. Tak ingat. Sejak bila semua tentang dia aku mula suka.
Dia berhenti singgah di kedai-kedai yang menjual cermin mata. Aku? Tak ikut masuk. Tunggu di luar je. Melihatkan dia sungguh leka, aku tak mahu menganggu.
Setelah berlama-lama membelek beberapa pilihan, dia membeli satu. Dan kami berjalan menuju ke arah kami datang tadi.
Aku mengambil bungkusan plastik di tangannya. Dia berpaling memandang aku dengan riak muka bertanya kenapa . Aku tarik senyum sikit.
"Tengoklahhh..." Macam tak boleh tengok dalam kereta nantikan. Tapi aku beriya nak tengok jenis cermin mata hitam yang telah dipilih. Dengan segeranya.
Dia cuma membiarkan aku tanpa kata. Dan menyedarinya singgah ke kedai perfume, aku berhenti lagi di luar. Sekejap saja tak lama. Kulihat dia ke arahku dengan sebotol perfume kecil di tangannya tanpa plastik.
"Nah..." Sambil dia menghulurkan botol itu padaku. Aku ambil dan meneliti botol itu. Ada tertulis di pelekat kecil di penutupnya bertulis tangan, "CK12U".
Dia teruskan langkah sambil berkata, "Yang tu takde. Tapi yang ni pun wangi jugak." Merujuk kepada wangian yang dia pakai, dah habis dijual.
Aku termangu. Mengelipkan mata berkali-kali sebelum tergesa menyaingi dia.
"Habis ni? Beli untuk?" Aku menyuakan botol itu selaras matanya.
"Ambillah..." Aku membesarkan mata sambil memandang ke sisi wajahnya lama.
"Berapa ringgit ni?"
"10 je."
Tiba-tiba orang ramai berasak. Pegangan tanganku di bajunya dikuatkan. Dia menoleh sedikit. Mungkin perasan perubahan itu.
Lantas keadaan sedikit reda, dia menarik tanganku yang memegang belakang bajunya sehingga aku terdorong berjalan di hadapannya. Perasankan rautku yang berkerut dengan mulut sedikit muncung tanda tak puas hati dengan tindakannya, dia bersuara lagi.
"Alololo... Dah la kecik je. Jalan duk depan. Kang hilang tak nampak." Dia senyum. Tapi sikit. Tapi dia senyum.
Aku teruskan langkah dengan menjeling mata ke atas. Tak lama lepastu,aku senyum. Rindu senyum itu jugak.
Masuk kereta, masing-masing diam. Dia menghidupkan enjin dan menunggu sebentar sebelum bergerak. Aku cuma memerhatikan geraknya. Botol tadi masih digenggaman.
"Kenapa tiba-tiba bagi orang perfume ni?" Ah, perempuan sungguh kedengarannya. Sifat inginkan kepastian itu sudah sebati.
"Ambil jela."
"Tapi 10 ringgit niii..." Aku buat muka sedih tak sampai hati. Aku takut menyusahkan dia. Zaman sekarang, RM10 pon kena berkira.
"Takpe. Belanja. Pakai nanti."
"Tapi ni kan perfume laki. Bau kuat..." Berhati kututur ayat. Takut menyinggung dia.
"Taklah. Itu untuk perempuanlah tuuu.. Pakai sikit jeeeee..."
"Hmmmm...."
Aku diam. Memandang ke arah jalan. Suasana malam yang sentiasa aku suka. Entah kenapa dia sudi membelikan wangian ni. Sekilas aku memandangnya lagi. Masih begitu. Tiada riak. Tiada rasa. Beku. Sama macam hati dia. Bisu.
Hari yang lain.
Sama situasinya. Dia mesej bertanya nak keluar tak. Terus aku capai kunci kereta dan keluar. Dan tak lupa mencalitkan wangian yang dia beli itu. Tiap kali keluar dengannya.
Bila masuk je kereta, dia diam mematung diri sekejap. Aku menoleh hairan. Pantas dia mengambil tanganku lalu dibawa bahagian nadi ke hidungnya.
"Emmmm wangiiii."
Tanganku dikembalikan atas ribaku dan dia memulakan pemanduan. Aku cuma terkebil dengan kening terjongket.
Bagaimanalah boleh terjebak dengan dia ni? Yang beku tiada rasa. Apa rasa hatinya tidak langsung pernah aku tahu. Hanya aku yang terlalu senang menemaninya tiap kali diajak keluar.
Hampir sebulan berlalu.
Tiada mesej dan apa-apa di media sosialnya yang terbaru. Dan aku sarat dengan rindu. Sedangkan masa bersamanya, jarang berbual dan berkata apa.
Entah, asal adanya dia tanpa bicara sudah cukup buat aku leka. Aku membelek wangian pemberiannya. Kini, tiap kali rindu, aku akan buka dan mencium baunya. Mengingatkan pada dia. Yang entah di mana-mana. Entah apa cerita.
YOU ARE READING
Cerita Tentang Kita
Short StoryHimpunan cerita pendek yang terhasil dari memori lama, ekperimentasi, pemerhatian dan bayangan.