Aku menghayun buai bermalasan. Dia cuma berdiam di buaian sebelah. Hanya bunyi angin malam sepoi berselisih dengan dedaun dan pasir di taman mainan itu. Tiada manusia lain. Hanya aku dan dia.
Menunaikan permintaannya untuk bertemu terakhir kali.
"So bila balik kampung?" Suara aku memecah sepi.
"Hujung bulan ni."
"Majlisnya?"
Diam, tiada jawapan.
Aku menarik nafas dalam sebelum menoleh mencari wajahnya. Dia menunduk, mengetap bibir.
"Aku tanya ni..." Suaraku perlahan. Nada cuba kutahan tanpa perasa.
"Entah, tak tahu."
"Hai, majlis kahwin sendiri tak tahu bila tarikh. Takpelah. Nanti jangan mesej aku lagi. Delete nombor telefon aku." Sempat berpesan lepas perli.
Dia masih diam. Menekur ke pasir di kakinya.
Aku macam nak lemas dengan kebisuan ini sebenarnya.
"Aku balik dulu lah. Takde apa lagi nak cakap kan? Kau.... jaga diri."
Aku bangun sambil mengibas belakang seluar. Berkali aku pujuk diri jangan menangis sebab lelaki ini.
Pertemuan yang aku tak pernah rancang. Perkenalan yang aku tak sangka akan tersalah percaturan. Dan jujur, perpisahan ini aku syukurkan walau berbekas sedikit ralit di hati.
"Aku mintak maaf..."
Cuping telingaku menangkap suaranya perlahan disertai esakan kecil. Langkah aku berhenti.
Menangis pulak dahhhh....
"Aku... Isk... Isk..."
"....aku tak mampu nak pertahankan hubungan kita... Nak sebut nama kau pun aku tak mampu... aku... aku mintak maaf...."
Esakannya makin jelas. Aku diam mendengar.
Finally.... Pengakuan yang aku memang tunggu dari mulut dia sendiri.
Aku mengeluh. Tak tahu sebab terkilan ke menyesal ke apa ke.
Awal perkenalan kami yang bermula agak dingin, entah bilanya kami mula berkongsi masalah dan bersembang tentang perasaan, aku pun tak sedar. Semuanya berlalu pantas.
Hingga kemesraan kami sudah sangat saling menyenangkan dan lelaki umpama dia, aku mula inginkan.
Cuma bila tahu yang dia sudah dijodohkan dengan perempuan pilihan keluarga dan memilih berdiamkan diri tidak bersuara apa-apa tentangnya, buat aku sedar untuk terus bangkit dari mimpi yang lena.
Memang dia pernah bercerita, mereka kenal seusia dari bangku sekolah menengah. Perempuan itu terlalu memaksa untuk bersama dia sedang hatinya tiada rasa. Selalu hadir ke rumah, berbuat baik dengan keluarga dia. Saudara lelaki serta kakak iparnya semua sudah menganggap mereka bercinta.
Katanya lagi, dia sudah berkali menerangkan tentang perasaannya pada perempuan tersebut tak lebih dari seorang kawan tapi hasilnya tetap negatif.
Setelah kenal aku, dia mahukan aku. Bukan perempuan itu. Aku, melengkapi rasa yang dia perlu. Perempuan itu, selalu menyesakkan nafas hingga terbuku.
Ya, aku menyaksikan bagaimana perempuan itu membuatkan dia begitu terbuku sekali apabila dia hanya mendiamkan diri berdiri menghadap aku ketika perempuan yang bakal dijodohkan dengannya itu memaki hamun aku.
Menuduh aku merampas cinta hatinya. Membuatkan lelaki itu telah berubah dan tidak mempedulikannya. Semua salah laku dalam hubungan mereka dipuncakan kerana aku.
Reaksi aku?
Terkebil-kebil dengan muka terkedu. Pandanganku bersilih ganti pada perempuan itu dan dia. Walaupun mulanya nak menangis sebab tak memasal kena tuduh sebegitu tapi lama kelamaan rasa nak menyumpah.
Sebab teringat apa yang dia pernah cakap, cukup buat aku rasa meluat. Cukup buat aku sedar, cinta dia kuat hanya dalam diam. Maka, usah bermimpi mahu lihat dia berdiri depan dunia melaung cinta dia pada aku. Kononnya.
Dasar pengecut...
Cuma aku mendiamkan diri sebab malas nak tunjuk betapa bodohnya nak bergaduh demi seorang lelaki.
Haihhh, entah kenapa betapa cepatnya hati aku jatuh dengan lelaki ini.
Tapi tindakannya itu aku terima. Faham seadanya yang sekuat mana aku mahukan dia, semua itu tak punya makna kalau hanya aku seorang berdiri mempetahankan cinta.
Mulanya aku sangat terluka ketika perempuan itu mengatakan mereka akan berkahwin ketika kami bertiga bertentang mata.
Masakan tidak, perkara itu bukan dari mulut dia. Memang beriyalah tahan air mata. Hancur semua bahagia. Hapus semua syurga.
Untuk seketika waktu itu aku rasa hidup aku macam telenovela.
Tapi bila mengenangkan betapa sememehnya muka lelaki itu, sambil berdiri belakang perempuan dengan gaya tak bersalah, rasa terluka tadi dah berubah mood jadi zombie tengah lapar nak cekik orang.
"Sudahlah. Semua dah jadi. Kalau aku jadi kau pun, mungkin aku buat benda yang sama." Cuma itu mampu ku balas. Masih sedaya upaya tak mahu mengeruhkan keadaan.
"Tapi aku sayangkan kau..."
'Kalau sayang kenapa tak pertahankanlah setannnnn!!'
Suara aku cuma menjerit dalam hati. Bibirku ketap kuat. Mataku pejam erat. Sumpah, aku tak nak jadi kaki hamuk malam ni.
Tuhan, tolong tahankan aku.
"..... kau satu-satunya dalam hati aku. Selamanya. Demi Allah.."
Untuk kali entah ke berapa, ayat itu aku dengar. Kali ni, guna nama tuhan pulak. Memang nak mintak kena sepak.
"Sudahlahhhh.... Jangan sebut-sebut lagi pasal aku. Nak kahwin dah kan. Jangan carik aku lagi. Aku taknak kena tuduh menggatal dengan suami orang pulak."
Sinis.
"Cuma aku nak pesan, jangan mainkan dia. Jadi suami yang bertanggungjawab. Jangan nak lepas tangan. Kalau kau tak cintakan dia sekalipun, berpura-puralah. Berlakonlah. Nanti lama-lama, sayanglah tu..."
"Aku mintak maaf weh... aku tak mampu... tapi.... aku memang sayang kau..." Tangisnya bagai tak sudah. Cakapku macam dia tak endah.
Aku dah rasa rimas. Setaraf drama samarinda dah aku rasa.
Dari rasa nak sebak sama, terpacul rasa nak hempuk mamat ni sekuatnya.
"Ye, aku maafkan. Aku pun sama, mintak maaf. Apa-apa, mintak halalkan. Terima kasih. Assalamualaikum. "
Salam terakhir ku kira. Harapnya untuk lelaki pengecut terakhir yang aku pernah jumpa jugak.
YOU ARE READING
Cerita Tentang Kita
Cerita PendekHimpunan cerita pendek yang terhasil dari memori lama, ekperimentasi, pemerhatian dan bayangan.