Ujian 19 - Pembulian

15 0 0
                                    

Aku dibuli sejak aku masih kecil lagi. Dan aku yakin, dalam fasa ini, kita semua sudah pun menjadi mangsa buli. Sejurus lepas kau lahir, pak cik dan mak cik kau mulalah rasa teruja nak dukung dan usap ubun-ubun lembut kau. Mencium dahi kau. Menikmati apa itu bauan ketenangan. Bau seorang bayi.

Kau dilepaskan oleh emak kau yang terkulai lemah di perbaringan, usai bertarung nyawa hanya untuk mengeluarkan satu jasad baru, yang mungkin, dan amatlah diharapkan agar jasad nyawa yang dilahirkan itu akan menjadi khalifah dan bangsa solehah, berguna untuk ummah dewasa kelak.

Adik-beradik kau yang sudah besar mengintai dengan penuh sabar detik kau dapat dibawa pulang ke rumah. Dalam otak mereka, banyak sudah perancangan yang ingin mereka buat untuk kau, si kecil yang baru kenal dunia. Diharapkan, perancangan itu semuanya yang baik-baik sahaja, dan tidaklah mencederakan badan kecil kau.

Menginjak membesar dengan sihat, kau sudah mula faham apa itu kawan. Dan mula berminat untuk bersosial bergaul mesra bersama rakan sejiran. Namun, kau seringkali dibuli hanya kerana kau tidak punya seperti apa yang mereka punya. Kalau saat aku kecil dahulu, aku kerap dibuli, kerana aku tidak mampu menyediakan permainan seperti mana kawan kampung aku yang lain.

Mereka dimewahkan dengan senapang bergetar, yang jika kau henyak picunya, akan keluarkan titis api di muncung senjata. Hebat!

Namun, bagi aku, hanya punya pistol air kecil berwarna hijau jernih, yang langsung tidak berbunyi, dan kerap lencun. Tidak menarik langsung.

Ada juga yang punya nasib lebih teruk daripada aku.

Saat dia melihat kawan-kawan kecilnya bermain kejar-kejaran, bermain basikal roda empat ketika itu, dia hanya mampu terduduk lesu di batas bahu jalan. Menepuk tangan, dan hanya menjadi bangsa sorak. Pernah juga diluahkan untuk mencuba basikal sahabat, namun ditolak mentah-mentah. Anak miskin, mana mungkin boleh menyamakan taraf mereka dengan bangsa berada. Bangsa berduit?

Kalau rosak permainan itu nanti, mana mungkin dia mampu menggantikan dengan yang baru. Menangislah sahabat itu berlari ke rumah. Ibu yang saat itu mendukung adiknya dalam simpulan kain batik di dada, menenangkan anak kecil itu. Namun, esaknya masih lagi sayup. Langsai mandi, diberikan anaknya itu makan apa adanya. Terlena teruslah anak kecil itu, dan menamatkan satu hari lagi menjadi mangsa buli.

Jiwa miskin.

Saat orang kaya berharta bertanyakan kepada keluarganya, menu apakah yang mereka akan makan untuk esok, seorang ayah dalam keluarga miskin pula bertanya kepada anak-anaknya.

"Nak makan hari ini atau makan esok sahaja?"

Menginjak masuk sekolah, kita seringkali menjadi mangsa buli pegawai di sekolah. Ataupun bahasa biasanya, pengawas sekolah. Setiap detik lewat kau menginjak laman sekolah, setiap itu jugalah nama kau akan dicoret dalam buku kecil di poketnya. Tiada istilah rasuah, hadiah yang mampu kau beri. Kerana kau hanyalah anak seorang miskin, yang terlewat ke sekolah, kerana perlu beratur menunggu giliran untuk berak dan mandi pada setiap pagi. Kau redha. Kau pasrah.

Walaupun terkadang kelewatan itu bukanlah total lahir daripada diri kau, tapi kau tetap juga merasa denda. Merasa penindasan zaman sekolah oleh doktrinisasi pihak atasan sekolah. Tambah lagi kalau adik-beradik kau ramai, dan jamban kau cuma satu. Aku cukup bertuah, saat abah buat satu jamban dalam rumah, hanya aku dan abang sahaja yang tinggal untuk bersekolah. Dan abah, seperti biasa, kalau masuk ke tandas, selagi tak habis dua batang rokok, selagi itulah dia meneran dan terus melepak selamba di dalam jamban.

Alhamdulillah, hari ini, abah dah mula sedar, rokok itu bahaya. Dan memendekkan usia. Sekarang abah dah total clean daripada najis nikotina rokok.

Pembulian itu berterusan sampailah kau menginjak ke sekolah menengah. Jika kau bagus, kau pula diberi peluang membuli sahabat sekolah. Kau dilantik menjadi pengawas. Jika tidak, teruslah kau layu di tangan pegawai sekolah sampai tamat sesi sekolah.

Dan, bertabahlah. Kerana aku percaya, kau juga percaya, pembulian ini tidak akan tamat. Kerana kau masih lagi berpijak di bumi Malaysia nan merdeka. Bumi di mana keputusan dan undang-undang diputuskan tanpa ada panjang bicara.

Cukai makin menginjak naik. Anak kau makin bertambah. Bank sudah mula rancak menghubungi kau. Malah, kerap kali mengganggu waktu kerja kau. Hakikatnya, kau tidak mampu melunaskan semuanya. Kerana kau akan dibuli sampai mati, oleh pemerintah kuku besi. Pemerintah yang ingin mengaut untung melalui poket rakyat, dan memuntahkannya balik dalam bentuk kemewahan kroni.

Celakalah kau wahai bangsa penindas

Celakalah kau wahai kapitalis bangsat.

(TEASER) Ujian/Masharakat - Rafiuddin RabuWhere stories live. Discover now