SUHAILA mendongak ke arah langit. Sungguh indah malam ini. Bintang-bintang bertaburan menghiasi dada langit. Bulan bersinar dengan megah malam ini. Alangkah indahnya kalau hatinya juga begitu. Namun dia pasti hatinya sedang gelap ibarat mendung hitam yang sarat dengan air.
Angin malam yang menampar pipi mula terasa sejuk. Sudah lama dia berdiri di situ. Perutnya sudah mula berkeroncong. Dia terpaksa menginap di hotel memandangkan dia sudah menempahnya sejak awal lagi. Bilik hotel ini ditempah untuk menjadi tempat penginapan Jenab dengan Karlisa yang kononnya akan menjadi bridesmaid dan pengapitnya.
Namun, nasib tak menyebelahinya apabila tunang tersayang memutuskan hubungan mereka sekali gus membatalkan pernikahan yang dirancang. Seketika, dia bagaikan hilang arah. Mujur ada Karlisa yang membantu. Memulihkan semangatnya dan berjanji akan menguruskan segala urusan pembatalan persiapan perkahwinannya. Duit tempahan hotel dan wedding planner sudah dibayar habis.
Sepatutnya saat ini dia sedang bersanding dengan Saiful di ballroom hotel ini. Tapi apakan daya, semua yang dirancang tidak menjadi. Dia pun tak pasti kenapa Saiful tiba-tiba memutuskan hubungan mereka. Keluarga Saiful sendiri datang berjumpa ibu angkatnya, iaitu ibu Karlisa untuk memutuskan pertunangan mereka. Manakala Saiful memilih untuk berdiam. Puas dia cuba menghubungi Saiful, tapi gagal. Akibatnya hampir sebulan dia nanar seorang diri.
"Kau kuat Su. Suhaila kuat. Chaiyok! Chaiyok!" Suhaila mengucapkan kata-kata semangat buat dirinya sendiri. Dia sudah penat menangis. Takdir Allah menentukan dia bukan suri hidup Saiful.
"Pergi makanlah." Suhaila mengambil handbag jenama Fendi di atas kerusi. Dia berazam untuk membuang semua kesedihannya hari ini. Lupakan Saiful yang menyakitkan hati. Mungkin jodohnya belum sampai lagi. Saiful bukan temannya hingga ke jannah.
Tiba-tiba hatinya tergerak untuk melihat ballroom yang sepatutnya menjadi tempat persandingannya hari ini. Niat untuk keluar makan ditangguhkan dulu. Kakinya melangkah ke Ballroom Matahari. Mungkin ada majlis orang lain sedang dilangsungkan. Majlis yang dirancang hari ini diuruskan oleh keluarga angkatnya kerana dia anak yatim. Ini semua perancangan ibu Karlisa dan ibu Saiful.
Mata Suhaila terbuntang melihat imej yang dilihat pada gegantung yang diletakkan di luar dewan. Kakinya tiba-tiba menggigil. Seluruh tubuhnya menggeletar. Betul ke apa yang dilihatnya? Dia berharap apa yang terjadi hanyalah mimpi. Tak mungkin ini semua terjadi. Perlahan-lahan Suhaila melangkah masuk tanpa disedari sesiapa pun.
Kedua-dua mempelai yang bersanding dalam persalinan biru di pelaminan memang tidak asing pada mata Suhaila. Dia kenal mereka berdua. Senyuman manis yang tidak lekang dari bibir kedua-dua mempelai ibarat racun berbisa buatnya. Hatinya bagaikan disiat-siat. Tanpa disedari, kakinya melangkah hingga ke pelamin.
Dia tercegat di hadapan kedua-dua mempelai. Suasana tiba-tiba menjadi gempar. Dua tiga orang perempuan datang untuk menariknya pergi. Namun, entah dari mana kekuatan yang ada, selamba dia menolak mereka. Sakit hatinya memang tidak terbendung. Suasana senyap seketika. Lagu yang dipasang DJ juga menjadi perlahan. Seluruh dewan menumpukan perhatian ke arah pelamin. Layar besar di belakang juga memaparkan imej Suhaila.
"Tahniah Karlisa. Selamat pengantin baru. Korang kawan baik aku, tapi terlupa nak jemput aku datang. Kau dah lupakan BFF till jannah kau Lisa..." sindir Suhaila. Dia cuba untuk senyum, namun tidak mampu. Air mata tidak dapat ditahan daripada jatuh. Saiful bekas bakal suaminya bersanding dengan kawan baiknya sendiri, Karlisa. Patutlah tiba-tiba Karlisa seakan-akan senyap seminggu ini.
"Su... aku... aku..." Karlisa tergagap-gagap bersuara.
Saiful tunduk.
"Ini impian perkahwinan aku, Lisa. Kau sepatutnya jadi pengapit aku hari ini, bukan pengantin! Dan tu... suami kau tu, lelaki yang paling aku cinta dalam dunia ni!" tempik Suhaila sambil jari telunjuknya lurus ke arah lelaki yang berdiri di sebelah Karlisa. Hatinya remuk melihat pasangan merpati dua sejoli yang sedang bersanding. Kenapa dia harus menyaksikan drama terhebat ini? Kenapa dia yang dipilih untuk melalui semua ini? Kenapa Karlisa pilih untuk mengkhianatinya? Kenapa Saiful pilih Karlisa sebagai pengganti? Kenapa Karlisa terima Saiful?
"Bukan salah dia. Saya yang meminang dia." Saiful membela isterinya. Dia berdiri di hadapan Suhaila untuk melindungi Karlisa. Air mata Suhaila yang mengalir seakan-akan tidak terkesan dalam hatinya. Dia mencebik.
"Kalau korang bercinta, kenapa tak cakap awal-awal? Aku boleh undur diri. Kenapa korang sanggup sakitkan hati aku? Apa alasan awak putuskan pertunangan kita Saiful???" Suhaila mahukan penjelasan. Suaranya jelas didengari tetamu yang duduk dekat dengan pelamin itu. Masing-masing mula memanjangkan leher.
"Saya nak perempuan yang jelas asal usulnya jadi isteri saya. Awak tak ada asal usul." Suhaila sudah jangka itu alasan Saiful. Dia dibesarkan di rumah anak yatim. Dia tidak kenal siapa orang tuanya. Tapi Saiful tahu itu semua dan dia tidak kisah pun sebelum ini. Sekarang apa alasan sebenar Saiful?
"Awak dah tahu kan saya anak yatim. Kenapa baru sekarang isu ni timbul?" Suhaila tidak puas hati.
"Tapi awak tak beritahu saya yang kemungkinan mak awak pelacur. Orang yang hantar awak kat rumah anak yatim tu pelacur!" Saiful berdiri. Dia tak berniat untuk mengaibkan Suhaila. Dia pernah sayangkan Suhaila.
Suhaila diam. Hanya ada beberapa orang di dunia ini yang tahu perkara itu. Dia, ibu dan juga Karlisa serta anak-anak yatim yang membesar dengannya. Ibu merupakan salah seorang pengasuh di rumah anak-anak yatim tempat dia membesar. Ibu sudah pesan jangan beritahu sesiapa. Ini aibnya. Ibu pun tak pasti pelacur yang menghantarnya ke rumah anak yatim itu ibu kandungnya ataupun tidak. Tapi dia beritahu Karlisa sebab dia sudah anggap Karlisa seperti saudara sendiri. Sampai hati Karlisa. Sanggup kawan baiknya itu menikam dari belakang. Orang yang paling dipercayai mengkhianatinya.
"Lisa... kau pernah cakap kau terhutang nyawa dengan aku, tapi kenapa sekarang kau sendiri sanggup tikam aku? Kau dah bunuh aku Lisa. Kau bunuh jiwa aku. Kau cabut nyawa aku, Lisa." Suhaila pandang tepat Karlisa dengan mata yang berkaca-kaca. Tidak disangka semua ini akan terjadi. Dia tidak pernah menjangka semua ini daripada Karlisa. Dunianya seakan-akan berhenti berputar.
"Aku takkan maafkan kau sampai bila-bila walaupun nyawa kau berada di leher sekalipun." Suhaila pandang tepat Karlisa yang sedang menangis.
Saiful cuba untuk berkata sesuatu, namun Suhaila lebih dulu menyambung bicaranya.
"Dan kau, Saiful... jangan lupa sesuatu. Kebahagiaan yang kau bina hasil air mata orang lain, tak akan kekal lama. Karlisa hanya kenal kau luaran sahaja. Bila dia tahu siapa sebenarnya Saiful bin Dato Shahiran, aku harap dia akan kuat. Dan kau jangan lupa, kau sebenarnya bukan sesiapa kalau tiada pangkat Dato pada nama ayah kau." Suhaila senyum sinis.
Wajah Saiful mulai pucat.
"Kau bongkar aib aku sekarang Karlisa, sebab kau nak hidup bahagia. Tapi jangan lupa, Allah Maha Adil. Aku doakan aib kau terpelihara." Suhaila tidak beri peluang Saiful bercakap. Hatinya terlalu sakit sekarang. Dia benci untuk terus lama-lama di situ. Muak dia lihat wajah sombong Saiful. Kalau dia berdiri lebih lama, mungkin dia hilang sabar dan buat sesuatu yang lebih teruk.
Suhaila turun dari pentas. Matanya terlihat kek setinggi lima tingkat di hadapan meja pengantin. Kek yang dia ilhamkan sendiri rekaannya.
"Kek ni aku yang pilih Lisa. Kau tak berhak potong kek ni!" Dengan sepenuh tenaga Suhaila menolak kek berwarna pink putih itu.
Kedengaran jeritan dari meja hadapan. Suhaila pandang tajam keluarga Saiful. Hipokrit sungguh mereka.
"Tak nak menantu tak ada asal usul, tapi sanggup pula terima menantu yang suka tikam belakang macam Lisa tu. Semua yang ada kat sini, hati-hati sikit. Jangan beritahu rahsia apa-apa kat perempuan tu. Mana tahu, esok lusa dia jaja rahsia tu pulak!" Sengaja Suhaila menguatkan suaranya di hadapan keluarga Saiful dan Karlisa. Alang-alang Karlisa sudah buat jahat, dia pun dengan senang hati membalas.
Terdengar raungan Karlisa di pelaminan. Suhaila langsung tidak pandang belakang. Berpasang-pasang mata memandangnya dengan penuh tanda tanya. Pandai-pandailah Saiful hendak terangkan. Hatinya sudah hancur berkecai. Semangatnya sudah hilang.
"MAAF." SUHAILA hanya mampu menuturkan kata maaf kepada lelaki yang berlaga bahu dengannya. Dia cepat-cepat berlalu dari situ sebelum lelaki tadi marah. Suhaila berdiri di pintu masuk hotel. Dia tidak tahu ke mana harus dia tuju. Pulang ke rumah, hatinya bakal sakit. Terus tinggal di sini, dia juga akan sakit.
YOU ARE READING
Bibik Milenium
RomanceAku, bibik milenium. Bibik Milenium sangat menjaga penampilan. Mesti Vouge walaupun setakat cuci tandas. Faham.... - SUHAILA AILEEN Hadirnya Suhaila membuatkan hidup TENGKU KHALIS AIMAN huru-hara. Di paksa menikah dengan seorang bibik. Dia terpaks...