"SAH."
Begitu mudah urusan pernikahan mereka. Khalis dan Suhaila telah selamat diijabkabulkan. Tanpa majlis besar-besaran dan baju yang cantik, mereka dinikahkan di pejabat agama. Suhaila menangis teresak-esak. Dia tidak rela menikah dengan orang yang baru dikenalinya beberapa jam yang lalu.
"Tak payah nak drama sangat. Aku tahu, kau ni orang suruhan mak tiri aku, kan? Kau sengaja nak perangkap aku, kan?"
Suhaila bingung. Dikesat air mata. Kenapa suami segeranya ini asyik menyebut nama itu? Dia tak ada kena-mengena langsung dengan sesiapa pun. Dia masih lagi bingung bagaimana dia boleh masuk ke dalam bilik yang salah. Dan bagaimana pula kad aksesnya boleh membuka pintu bilik suami segeranya itu?
Diperhatikan wajah suami segeranya dengan teliti.Kenapa dia rasa macam kenal? Siapa sebenarnya suami segeranya itu? Kenapa Allah menemukan jodohnya dengan cara ini? Bagaimana pula hidupnya selepas ni? Dia menikah dengan lelaki itu dalam majlis yang sangat ringkas. Tiada baju pengantin atau sebarang hantaran.
"Tengku Khalis, Tengku Zabidi nak jumpa." Seorang lelaki agak berumur menunggu mereka di pekarangan masjid. Baru Suhaila perasan suaminya berketurunan kerabat. Dari tadi dia terasa macam kenal rupa suaminya itu. Nama pun macam biasa dengar.
"Kau pergi cakap kat papa aku, jangan harap aku nak jumpa dia. Aku benci dia!"
Ya Allah, kenapa dia bertemu jodoh dengan lelaki seperti ini? Suhaila jadi simpati kepada lelaki yang diherdik suaminya. Lelaki tadi tunduk dan segera berlalu.
Langkah Khalis, Suhaila ekori sehingga ke pagar. Dengan bantuan cahaya lampu jalan raya, dia melihat belakang suaminya sambil tunduk memerhatikan jalan.
"Kau nak pergi mana?" Suhaila terkejut. Langkah kakinya terhenti. Tidak sangka dia akan disergah sebegitu. Bengis betul suami segeranya itu. Nampak aje rupa handsome.
"Seorang isteri kena ikut suaminya." Dengan takut-takut Suhaila menjawab. Pandangan tajam suaminya membuatkan dia kecut perut. Walaupun ini perkahwinan segera, dia tidak boleh lari daripada tanggungjawab. Suhaila hanya tengok suaminya mengeluarkan buku cek dan menulis sesuatu pada kepingan cek.
"Aku tahu kau memang nak duit, kan? Ambil cek ni dan berhambus daripada hidup aku." Khalis menarik tangan Suhaila dan meletakkan sekeping cek di tapak tangan Suhaila.
"Tapi kita kan dah nikah."
"Tak cukup ke?" Khalis menulis sekeping lagi cek dan diletakkan di tapak tangan Suhaila.
"Aku rasa urusan kita dah selesai. Aku akan anggap semua ni tak pernah terjadi. Aku tak kenal kau dan kau tak kenal aku. Kau boleh berhambus daripada hidup aku."
Suhaila seperti orang bodoh ditinggalkan keseorangan di hadapan pejabat agama. Suami segeranya sudah beredar dari situ. Waktu sudah melepasi tengah malam. Dia menikah pada tarikh yang dia pilih, tapi bukan dengan lelaki pilihan hatinya. Dia menikah dengan seseorang yang langsung tidak dikenalinya. Cek di tangan diletakkan ke dalam beg.
Pin! Pin!!! Suhaila terkejut dengan bunyi hon sebuah kereta di seberang jalan. Tingkap diturunkan dan seorang lelaki agak berusia menjengulkan muka. Walaupun keadaan agak samar-samar, dia kenal lelaki itu. Lelaki yang Khalis panggil papa tadi. Lelaki itulah yang bertegas mahukan mereka berkahwin. Siap ugut lagi hidup mereka tidak akan selamat. Kalau tidak kerana ugutan lelaki itu, dia rela turun naik mahkamah daripada kena nikah paksa begini.
"Khalis tinggalkan kamu seorang kat sini?"
Suhaila angguk.
"Naik."
Tanpa membuang masa, Suhaila mengikut arahan yang diberi. Dia pun seram sebenarnya hendak berjalan seorang diri pada waktu begini. Dah pun nama bapa mentua, takkan lelaki itu hendak buat sesuatu yang jahat, kan?
YOU ARE READING
Bibik Milenium
RomanceAku, bibik milenium. Bibik Milenium sangat menjaga penampilan. Mesti Vouge walaupun setakat cuci tandas. Faham.... - SUHAILA AILEEN Hadirnya Suhaila membuatkan hidup TENGKU KHALIS AIMAN huru-hara. Di paksa menikah dengan seorang bibik. Dia terpaks...