Bab 6

2.7K 81 46
                                    

"KAU nak keluar makan macam ni ke?" Khalis pandang Suhaila atas bawah. Sungguh dia tidak berkenan dengan pakaian Suhaila. 

"Kenapa?" Suhaila pandang diri sendiri. Rasanya dia cukup comel pakai baju kurung warna kelabu bunga-bunga pink dengan tudung pink. Menutup aurat lagi. Baju kurung Ivy set Rizman Ruzaini ni. Harga lepas diskaun pun empat ratus lebih. 

"Kalau kau nak jadi perempuan aku, tolong pakai seksi sikit. Tak mahulah baju ala bibik macam ni." 

Suhaila rasa hendak telan Khalis hidup-hidup. Baju ala bibik dipanggilnya? Khalis ingat baju dia pakai ni murah ke? Nak yang seksi-seksi aje. Sel otak dah terputus kut, banyak sangat tengok benda haram. 

"Sorry sikit, tak minat nak jadi perempuan Tengku Kaz. Lebih rela jadi bibik aje." 

"Kalau kau nak jalan dengan aku, pergi tukar baju. Tak payah pakai tudung, baju kurung segala bagai ni." Khalis tetap mahu Suhaila menukar pakaian. Semua perempuan yang berdampingan dengannya seksi dan menggoda. Tiba-tiba dapat isteri yang bertutup macam ini. Memang dia bakal kena kutuk nanti. 

"Jangan risau, aku jalan jauh-jauh. Kalau orang jumpa kau, cakap aje aku bibik kau. Bukan senang nak dapat bibik comel macam aku ni." 

"Kau ni, kalau tak menjawab tak boleh ke? Bibik pun ada adab sopan tau." 

"Aku bibik zaman milenium. Bibik ada ijazah lagi. Dahlah, aku dah lapar sangat ni. Jangan sampai aku gigit jari kau satu per satu. Biar kau tak ada jari." 

Mendengar ugutan isterinya, Khalis jadi gerun. Ugutan Suhaila tidak boleh dipandang ringan. Dia kena berhati-hati, sebab perempuan yang suka mengugut ini boleh buat apa saja. Buat masa ini, dia tidak boleh lari atau ceraikan perempuan ini. Papanya sudah ugut akan serahkan semua harta kepada adik tirinya. Dia mana boleh hidup tanpa kemewahan. 

"Kau janji kau jalan jauh-jauh. Jangan dekat pun dengan aku." 

"Yalah. Aku cuma nak makan aje, bukan nak bercinta dengan kau. Muka macam kau ni tak termasuk dalam senarai lelaki pilihan aku, tahu tak? Harap muka aje handsome, tapi tak ada tokoh khalifah."

 Khalis malas hendak dengar mulut Suhaila membebel. Tidak sampai sehari tinggal serumah, dia dah rasa menyampah. Bagaimana kalau seminggu, sebulan, setahun? Mahu dia cepat dapat penyakit tiga serangkai. Rasa nak humban Suhaila dari tingkat 18 ini. Khalis cepat-cepat keluar dari rumah. Suhaila mengekori.

"Aku masuk lif dulu. Kau tunggu lif sebelah. Lepas tu tunggu aku kat luar kawasan kondo. Aku tak nak orang tengok aku dengan kau. Jatuh reputasi aku nanti jalan dengan bibik." 

Suhaila rasa macam hendak cekik Khalis. Tapi dia akur. Sekarang ini memang dia kena bergantung harap kepada Khalis. Besok lusa, apabila dia dah selesai ukur tanah kat kawasan ini, tidak perlulah dia harapkan Khalis lagi. Dia pun tidak ingin hendak berjalan berdua dengan lelaki sombong itu. Dia bukanlah buruk sangat pakai baju kurung. Ada ke dipanggilnya dia bibik? Bagaimana nak ubah perangai lelaki macam Khalis itu? 

Suhaila menapak keluar dari kawasan kondo. Kondo mewah yang hanya didiami golongan hartawan. Mungkin sebab itu semasa bertembung dengan jiran-jiran di lif, tidak ada yang kisah. Silap-silap Khalis ini selalu bawa perempuan balik. 

Astaghfirullahalazim... Suhaila beristighfar. Tidak baik buruk sangka. Rasanya satu hari ini dia banyak buat dosa. Berprasangka buruk saja. Bagaimana perasaan ini tidak datang, orang yang dia sangka paling baik, sudah mengkhianatinya. 

Suhaila berjalan keluar dengan tenang. Tiba-tiba...

 Pin! Pin!!! Hampir terlompat Suhaila. Bunyi hon rasa dekat di telinga. Dia menoleh ke belakang. Porsche Panamera warna biru. Khalis dengan kaca mata hitamnya di ruangan pemandu mengangkat tangan menggamitnya untuk naik. 

"Kau ni, masa berjalan pun boleh mimpi ke?" 

Khalis terus menempelak Suhaila sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya. Suhaila dah agak, pasti mamat ni marah-marah. Suhaila pekakkan telinga. Mamat tidak betul ini tidak boleh dilayan. Silap-silap, sampai besok pagi pun boleh membebel. 

Khalis terus memandu apabila Suhaila tidak menjawab pertanyaannya. Selepas hampir dua puluh minit perjalanan, mereka berhenti di hadapan sebuah bangunan. Suhaila baca nama papan tanda bangunan itu. Sri Ayuthai. Makan nak tempat mahal aje. Memang sedap makan kat restoran ini, tapi malaslah hendak lepak dengan Khalis. 

"Kau ingat, masuk dalam tu nanti kita duduk meja asing. Kau tak kenal aku dan aku tak kenal kau." Sekali lagi Khalis mengingatkan.

 Suhaila mengeluh bosan. Tidak payah cakap pun dia tahu. Dia pun tidak mahu dilihat bersama dengan buaya darat itu. 

"Aku makan kat kedai mamak sana. Kita jumpa kat sini lepas sejam." 

"Penat-penat aku bawa kau datang sini. Kau nak makan kat mamak pulak." Khalis tidak puas hati. 

"Aku bukan orang kaya macam kau. Aku orang miskin aje. Mana mampu aku nak makan mahal-mahal. Dah, jangan banyak bising. Kau masuk dalam restoran sana, aku pergi kedai mamak. Kan tak payah susah-susah nak makan berasingan meja. Asing kedai terus." Suhaila sengaja tekankan ayat 'berasingan meja'. Biar Khalis tahu dia pun tidak suka Khalis. 

"Suka hati kaulah. Jumpa kat sini lepas sejam setengah. Kalau kau tak ada, aku tinggal." Khalis dan Suhaila berpisah haluan. Khalis masuk ke dalam restoran, manakala Suhaila menapak ke kedai mamak. 

Di mata Suhaila kini hanya terbayangkan makanan. Waktu sudah hampir pukul tiga, baru dia hendak makan. Dia tidak suka hidupnya sekarang, tapi dia perlukan Khalis untuk bersembunyi daripada lukanya sendiri. Dia tidak mahu berjumpa Saiful dan Karlisa atau sesiapa saja yang dikenalinya. Dia malu. 

Suhaila memesan air teh ais. Sementara itu, dia meninjau lauk di kaunter nasi campur. Saiful suka makan kari kambing. Setiap kali makan di kedai mamak, memang itu menu Saiful. Suhaila memilih untuk makan ayam goreng dengan nasi sahaja. Terasa sunyi hidupnya apabila terpaksa makan sorang-sorang. Tiada lagi Saiful atau Karlisa menemani. 

Ah, persetankan dua orang yang tidak boleh pakai itu! Hidupnya tetap perlu diteruskan. Mengikut perancangan asal, dia akan bercuti dua minggu lepas majlis perkahwinan. Tapi, sebulan lepas dia mula culas dengan kerja selepas putus tunang. Projek Nusa Jaya belum lagi disiapkan, padahal dia sepatutnya membentangkan projek tersebut minggu lepas di depan Tengku Zabidi. Tapi dia hantar memo melalui Karlisa. Dan kata Karlisa, Tan Sri Azman sudah berbincang dengan Tengku Zabidi untuk menangguhkan pembentangannya. 

Tiba-tiba Suhaila kecut perut. Benarkah minggu lepas Karlisa masih ikhlas bersahabat dengannya? Kenapa dia rasa hulu hatinya senak? 

Suhaila menghadap makanannya. Walaupun dia sedih dan terluka, perut lapar perlu diisi. Takkan hanya kerana nasib malang, hidupnya perlu dihentikan? Dia tidak mahu soal Karlisa atau Saiful mengganggu selera makannya. 

Selepas makan, Suhaila berjalan-jalan di sekitar kawasan itu. Sempat juga dia membeli sedikit makanan untuk dibuat alas perut. Jam di tangan dikerling. Lima belas minit lagi daripada masa yang Khalis tetapkan. Suhaila mempercepatkan langkah. Kalau kena tinggal, habislah dia. Leka sangat berjalan-jalan. 

"Nasib baik ada seminit lagi. Aku memang nak tinggalkan kau dah." Khalis bersandar di kereta sambil memerhatikan jam. 

"Kau beli apa tu?" soal Khalis apabila terlihat bungkusan plastik di tangan Suhaila. 

"Air tin dengan biskut." 

"Kau nak buat apa dengan benda-benda tu?" 

"Nak makan. Nak minum. Takkan nak buat basuh kain kut?" 

"Aku tak izinkan." 

"Kalau kau nak kena tangkap sebab biarkan aku mati kelaparan, cubalah tak izinkan. Biar semua nampak kekejaman Tengku Kaz yang hebat ni. Seorang lelaki yang tak ada perikemanusiaan. Biarkan bibik dia mati." 

Khalis bercekak pinggang. Geram mendengar tiap patah bicara Suhaila. Kenapa dia ditemukan dengan perempuan yang suka mengugut begini? Ringan saja tangannya hendak hinggap ke pipi Suhaila. 

"Jangan banyak bunyi, jom balik. Aku dah penat." Suhaila terus masuk ke dalam kereta. 

Khalis hanya mampu menggeleng kepala. Kalau tidak kerana harta papanya, memang dia sudah tinggalkan perempuan itu.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 13, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Bibik MileniumWhere stories live. Discover now