"KAU buat apa kat sini?" Khalis terkejut melihat kelibat Suhaila sebaik sahaja membuka pintu kondonya. Dari mana pula perempuan ini tahu tempat tinggalnya? Suhaila terus sahaja masuk tanpa menunggu keizinan Khalis.
"Aku dah kena halau dari rumah. Aku tak ada tempat tinggal." Suhaila memberanikan diri melawan pandangan Khalis. Nampak riak wajah kurang senang Khalis dengan kehadirannya.
"Itu bukan urusan aku."
"Pembetulan... aku memang urusan kau."
"Kau keluar dari sini sekarang." Khalis mempersilakan Suhaila keluar. Pintu yang sejak tadi ternganga belum ditutup.
Suhaila buat tidak tahu. Dia terus duduk di sofa empuk Khalis.
"Kau nak aku tolak kau ke atau tarik kau keluar?" Khalis mengugut Suhaila. Pintu rumah ditutup. Risau kalau ada paparazi yang tiba-tiba muncul.
Suhaila buat tidak tahu lagi. Dia berbaring pula di sofa. Alat kawalan jauh dicapai. Dia mencari-cari drama yang menarik untuk ditonton.
Khalis mula hilang sabar. Dia mendekati Suhaila, bersedia untuk mengheret Suhaila keluar.
"Kalau kau tak nak aku naik mahkamah dan minta kau bertanggungjawab, baik kau diam aje. Atau lebih dahsyat, aku buat sidang akhbar, lepas tu siarkan surat nikah kita. Pilih yang mana satu penyelesaian yang kau nak. Dua-duanya akan membuatkan nama Tengku Kaz tambah glamor. Tengku Kaz jadi suami orang tiba-tiba... Tengku Kaz kena tangkap basah..." Suhaila mengugut Khalis. Sengaja menambah perisa untuk menakut-nakutkan suami segeranya.
Langkah Khalis terhenti. Kedua-dua pilihan akan memakan dirinya sendiri. Dia sudah bersumpah tidak akan membiarkan mana-mana perempuan masuk ke dalam hidupnya. Macam mana kalau ada sesiapa tahu yang dia sudah menikah? Menikah pula kerana tertangkap basah. Pasti kawan-kawannya akan mengata. Satu Malaysia akan mengata.
"Arrgh... aku benci papa, aku benci orang gaji tu!"
Suhaila angkat kening sebelah. Seorang anak benci bapanya sendiri. Kalau benci mak tiri tu biasa. Patutlah Tengku Zabidi cakap Khalis membuatkan dia pening. Tapi apa Suhaila peduli? Seorang isteri harus berada di sisi suaminya. Lagipun dia terdesak mencari tempat tinggal. Malas nak cari tempat tinggal lain.
"Okey... kau boleh tinggal kat sini dengan syarat tak ada sesiapa boleh tahu hubungan kita. Jangan beritahu sesiapa pun yang kau isteri aku. Kalau kau berani bongkar rahsia ni, sila berhambus dari rumah aku." Akhirnya Khalis mahu bertolak ansur. Bahaya kalau rahsianya terbongkar.
"Macam itulah suami aku yang tersayang. Bilik kita kat mana?" tanya Suhaila. Dia bangkit dari sofa dan berpusing-pusing di sekitar ruang tamu.
"Bilik kita?" Khalis senyum senget.
Suhaila toleh ke arah Khalis. Tipikal lelaki kena kahwin paksa. Mesti nak kata tidak mahu sebilik.
"Kalau tak ada bilik kita, bagi aku bilik lain. Tak pun aku berkampung kat ruang tamu ni." Tunak mata Suhaila memerhatikan hiasan dalaman kondo Tengku Khalis. Hiasan yang sangat ringkas tapi mewah. Perabot pun jenama Empire.
"Kau boleh guna bilik dekat sana ataupun kau nak guna bilik orang gaji kat dapur sana pun boleh." Khalis menunjuk ke arah pintu berdekatan meja makan.
"Kenapa kau tak bagi aku bilik sebelah master bedroom tu?"
"Kalau boleh, muka kau pun aku tak nak tengok. Kenapa aku mesti letak kau kat sebelah bilik aku? Fikir pasal kau pun buat kepala aku semak. Apatah lagi kalau aku tertengok kau."
Terkebil-kebil mata Suhaila. Sekilas dia menjeling Khalis. Lelaki ini terkenal dengan kata-kata manis, tapi kenapa sinis sahaja nada suaranya? Mungkin ini sisi gelap Tengku Kaz yang tidak ada siapa pun tahu. Mujur juga Allah nak tunjuk perangai sebenar buaya darat seorang ini.
YOU ARE READING
Bibik Milenium
RomanceAku, bibik milenium. Bibik Milenium sangat menjaga penampilan. Mesti Vouge walaupun setakat cuci tandas. Faham.... - SUHAILA AILEEN Hadirnya Suhaila membuatkan hidup TENGKU KHALIS AIMAN huru-hara. Di paksa menikah dengan seorang bibik. Dia terpaks...