TEKSI sudah menghampiri rumah sewanya. Detak jantung mula tidak menentu. Dia belum bersedia untuk berjumpa dengan Karlisa ataupun Saiful. Kalau mengikut perancangan awal, dia dengan Saiful akan berlepas ke Bali saat ini.
Dari dalam teksi, dia nampak sesuatu yang kurang menyenangkan. Beg pakaian tersusun di luar rumah. Dia kenal beg itu. Tapi siapa yang baik sangat bawa turun beg pakaiannya? Tiba-tiba dia rasa ada sesuatu yang tidak kena. Apa pula bala yang akan menimpanya?
"Pakcik, tunggu sekejap ya..." Sebaik sahaja keluar dari teksi, dia nampak seseorang yang dikenalinya sedang duduk sambil berkipas. Lagak macam tuan rumah. Sekarang dia faham siapa yang rajin sangat memunggah begnya keluar. Memang dia dah siap kemaskan separuh barangnya untuk berpindah ke kediaman baru bersama Saiful. Itu beg yang dia kemas.
"Bagus kau dah balik. Anak aku tak perlu malukan diri berkawan dengan anak pelacur macam kau ni!" ujar Mak Cik Esah, ibu Karlisa.
Suhaila langsung tidak terkejut. Kalau dah anak lupa diri, tidak mustahil ibunya pun sama tidak betul. Suhaila yang berdiri di luar pagar cuba menahan gelodak dalam hati. Kenapa dunia seakan menentang dirinya? Riak wajah Mak Cik Esah sangat berlainan ketika mereka bertemu sebulan yang lalu. Apakah sandiwara yang perempuan tua ini lakonkan? Sebulan yang lalu, Mak Cik Esahlah yang memujuknya untuk bertenang ketika Saiful menghantar rombongan memutuskan pertunangan. Namun sekarang, menghina dia pula.
Mak Cik Esah berdiri dengan lagak sombong. Kipas di tangan diayun ke kiri dan ke kanan. Mentang-mentang dah dapat menantu anak Dato, dah pandai nak sombong. Dulu bukan main panggil dia Suhaila sayang. Sekarang panggil dia anak pelacur pula. Suhaila bukan setakat kecewa dengan Karlisa, tapi juga dengan seluruh keluarga Karlisa yang telah mengkhianatinya. Keluarga yang sudah dianggap keluarganya sendiri.
"Beg baju aje? Saya rasa mak cik dah silap ni."
"Apa yang silapnya? Kau memang patut keluar dari rumah ni!"
"Habis tu... TV, sofa, dapur, VCD player, mesin basuh dan semua barang-barang dalam rumah ni, kenapa tak keluarkan sekali? Barang-barang tu saya beli pakai duit saya. Lisa cuma tumpang pakai aje. Maklumlah anak orang kampung, orang susah tak ada duit." Suhaila cuba untuk bercakap sehabis baik. Dia hormat Mak Cik Esah sebagai orang tua. Tapi kalau orang tua dah lupa diri, dia patut bagi pengajaran.
Riak muka Mak Cik Esah sedikit berubah.
"Dan jugak saya nak duit saya balik. 15 ribu yang Mak Cik Esah guna untuk tebus tanah kat kampung. Saya kan ada cakap, Mak Cik Esah boleh bayar bila dah mampu. Mesti dah mampu sekarang, kan? Besan dengan Dato, apalah sangat 15 ribu tu. Betul tak? Lagi satu, saya lupa Lisa dah berhutang duit sewa rumah ni selama setahun. Suruh dia bayar sekali." Suhaila senyum. Senyuman mengejek. Beginilah sikap manusia yang dia tidak suka. Bukan setakat tikam belakang. Bunuh terus kalau boleh.
"Tak guna punya anak pelacur. Berani kau sindir aku. Sedar diri sikit, kau tu daripada keturunan hina!" Mak Cik Esah kelihatan marah. Nampak telinga Mak Cik Esah bertukar merah.
Suhaila buat tidak peduli. Dia hormat orang yang boleh hormat dia.
Jiran-jiran mula berkumpul apabila mendengar kekecohan itu. Mula terdengar sok sek sok sek daripada jiran-jiran. Suhaila cuba tebalkan muka. Perkataan 'anak pelacur' yang terngiang-ngiang di telinga bagaikan kaca-kaca halus menusuk ke jantung.
"Anak pelacur inilah yang suatu ketika dulu tolong mak cik. Anak pelacur yang mak cik kutuk sekarang ni yang tolong tebus tanah mak cik daripada kena gadai. Duit daripada anak pelacur ni yang tolong sekolahkan anak bongsu mak cik. Jadi, siapa yang hina sekarang? Orang yang tak kenang budi, atau anak pelacur???" Suhaila lantang bersuara. Hatinya sudah retak dibuat Karlisa. Sekarang bukan setakat retak, malah sudah hancur menjadi debu. Kenapa manusia yang dia tolong seikhlas hati cuba membunuh jiwanya?
YOU ARE READING
Bibik Milenium
RomanceAku, bibik milenium. Bibik Milenium sangat menjaga penampilan. Mesti Vouge walaupun setakat cuci tandas. Faham.... - SUHAILA AILEEN Hadirnya Suhaila membuatkan hidup TENGKU KHALIS AIMAN huru-hara. Di paksa menikah dengan seorang bibik. Dia terpaks...