Bab 10
KEDUA-DUA tangan menggenggam gumpalan selimut di atas katil. Kara masih memejam mata rapat-rapat. Dahinya basah dengan peluh.
“Kara…”
Suara rintihan itu singgah di telinga. Kepala Kara tertoleh ke kiri.
“Kara…”
Kepala Kara tertoleh ke kanan pula. Dia cuba buang bayangan wajah Alzam yang pucat dan kaku dari kepalanya, tapi makin kuat pula imej itu melekat dalam fikirannya.
“Kara…” Alzam terus merayu-rayu namanya. “Tolong saya… Kara… Karaaa…”
Kara memegang kepalanya. Sebelah tangan lagi memeluk lutut rapat ke dada. Tubuhnya mengerekot di atas katil.
“Kara…” Alzam mula menangis. “Kara, tolong! Tolong saya!”
Kara menggeleng-geleng. Kepalanya sakit dek denyutan yang mencucuk-cucuk.
“Kara… please…” Alzam terus merintih.
Kara mengetap bibirnya rapat. Tubuhnya menggigil.
“Kara!!!”Jeritan kuat Alzam menyentakkan Kara. Dia buka mata dan terus duduk tegak di katil. Ruang dalam bilik masih gelap. Kara tercungap-cungap sendiri mencari nafas.
Kara menekan suis lampu tidur. Cahayanya menerangi ruang katil. Kara tersandar di kepala katil, kedua-dua tangan meraup wajah. “Ya Allah… Mimpi lagi…”
Kara memejam matanya rapat-rapat. Semakin dipejam, semakin jelas raut wajah Alzam merayu pertolongannya muncul di fikiran. Kara membuka matanya semula. Selimut diselak lalu dia turun dari katil.
☘☘☘☘☘
DUDUK di rumah boleh jadi gila, jadi Kara putuskan untuk curi-curi keluar dan buat kerja gila. Selepas memarkir kereta dekat dengan sebuah ladang kepala sawit, Kara mematikan enjin dan keluar dari kereta. Lampu suluh dinyalakan. Boleh tahan gelap juga kawasan itu. Kara mula mengatur langkah untuk masuk ke ladang.
Sebenarnya, dia sendiri pun tak tahu apa yang dia buat di situ. Mungkin dia sudah terlalu bosan berdepan dengan manusia dan mahu lari jauh ke tempat yang sunyi tanpa mereka semua. Mungkin juga dia memilih untuk ke situ supaya suasana hutan di sekeliling dapat membawa fikirannya kembali ke malam 28 Januari. Mungkin dengan cara itu dia akan dapat semula memori yang hilang dan akhirnya dia akan dapat tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku kepada Alzam. Atau mungkin juga dia ke situ sebab dia sendiri sudah mula sukakan kegelapan dan kesunyian.
Sampai di tengah-tengah ladang itu, Kara berhenti melangkah. Suasana sekeliling semakin gelap. Dia telan liur. Okey, sekarang keberanian yang muncul entah dari mana tadi sudah lenyap dan terbang ke tempat lain. Dia berpaling ke belakang. Laluan untuk keluar semula dari situ sudah samar-samar dari pandangan.
Tiba-tiba ada satu kelibat melintas di celah-celah pokok di belakangnya. Kara berpusing semula. Matanya terbuntang luas. Dahi mula basah dengan peluh. Pegangan pada lampu suluh semakin kejap.
“Ya Allah… apa aku tengah buat ni? Kenapalah aku tak fikir dulu elok-elok sebelum datang sini?” Kara membebel-bebel sendiri. Terdengar bunyi ranting kayu dipijak dari belakang, tubuh Kara menegak. Jantung berdegup laju. Tak sempat otak fikir apa-apa, kaki sudah pecut lari ke depan.
Kara berlari selaju yang mungkin. Jalan di depan gelap, hanya tersuluh melalui lampu yang masih dipegang. Semakin jauh dia lari, semakin dia dengar derap tapak kaki yang menghampiri. Kara membelok ke kanan. Ada satu bayang kelibat dalam gelap itu menuju ke arah yang sama. Belum sempat dia ‘tekan brek’, tubuhnya sudah bertembung dengan kelibat itu dan kedua-duanya jatuh berguling ke tanah.
YOU ARE READING
Kanvas (formerly Ed's Sketches)
Misterio / SuspensoIf love is a mystery, would you risk your heart trying to solve it?