Sisi Pandang Baru Tentang Zikir
..................Zikir bermaksud mengingati sesuatu. Dalam konteks agama maksudnya mengingati Allah dengan menyebut puji-pujian kepadanya atau berfikir tentang kebesaranNya.
Biasa kita tahu zikir mencakupi perbuatan seperti tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah), takbir (Allahuakbar) dan tahlil (la ilaha illallah).
Ini biasa. Ada sisi pandang baru tentang zikir yang ingin saya kongsikan buat semua. Ia disebutkan oleh seorang tokoh Tabi'in bernama Sa'in bin Jubair, murid utama Ibn Abbas.
Said bin Jubair berkata:
"Zikir bermaksud ketaatan kepada Allah. Sesiapa yang taat kepada Allah bererti dia berzikir kepada Allah. Sesiapa yang ingkar kepada perintah Allah, maka dia tidak dianggap berzikir walaupun dia banyak bertasbih dan membaca al-Quran."
[Hilyah al-Auliya' 4/276]Menarik sekali definisi zikir yang beliau lontarkan. Beliau sememangnya ulama yang cukup terkenal dengan sifat warak, ibadah dan takut kepada Allah.
Said bin Jubair sering beribadah kebanyakan waktu di malam hari dan menangis sehingga pengsan. Penglihatannya terjejas kerana terlalu kerap menangis.
Saya suka dengan takrif zikir Said bin Jubair. Ia lebih luas skopnya dan dekat dengan taqwa. Kadang-kala mulut sahaja ucap zikir tapi maksiat tetap dibuat. Kita belum mencapai maksud zikir sebenar.
Lepas ini kita cuba zikir di mulut, tanam di hati dan amal dengan anggota. Setiap kebaikan dan ketaatan adalah zikir, walaupun mulut tak mengucap zikir.
...............
Ad-Dien Abdul Kadir