Cuti

61 3 0
                                    

Laaa... Cuti rupanya. Inilah masanya untuk kita turun bandar tanpa risau membayar petak parkir yang mahal. Lepas itu kita tawaf satu shopping mall sambil pakai kaca mata hitam dan bertopi bowler. Usai tawaf, kita pun masuk lif dan naik ke lantai paling tinggi untuk menonton wayang. Kita dapat hall 3, bangku E7 untuk sebuah filem hollywood yang kita jangka akan membawa diri kita menjadi sidekick sempurna kepada hero filem itu. Tapi sayang seribu kali sayang, 15 minit babak bergerak, kita terdengar monyet berkata 'Hellooo!' di bangku D8 dan dua tiga ekor monyet lain lagi di barisan bangku hadapan sedang menghayati akaun facebook dan whatsapp masing-masing, dengan nyalaan skrin seterang lampu kapal yang menyuluh gelita malam di lautan. Kita jadi geram. Kita jadi meluat. Lalu kita bangun dari bangku dan melewati barisan bangku penonton ke pintu exit sambil berkata asshole asshole asshole. Keluar dari hall kita berdiri di depan lif sambil mendengar reviu filem dari sepasang kekasih - seorang pemuda berambut highcut, berbaju fit dan seluar pendek kaler kelabu dan kekasihnya pula seorang gadis berwajah merana. Berdiri di belakang mereka di dalam lif, kita mendapati potongan rambut pemuda itu sedikit sompak di bahagian belakang dan mata kita memicing ke arah rambut kekasihnya. Ada satu rambut mati keriting berdiri di kepala gadis itu dan tangan kita perlahan-lahan cuba mencabutnya. Ting! Tak sempat. Pintu lif terbuka. Mereka keluar di lantai 7. Kita pun mengeluh kerana hajat yang tak kesampaian. Tiba di lantai bawah kita keluar dari lif dan menapak ke McD dan separuh perjalanan dengan mata kita ke arah lautan mengimbas kenangan silam, bahu kita terlanggar seorang gadis berwajah bidadari tapi sayang mulut macam babi melatah mencarut kata maki. Kita pun ingin membalas dengan kata-kata yang lebih berapi namun tak jadi bila melihat sebuah iphone berderai di hujung kaki. Oh my god! Kita meminta maaf berulang kali dan berulang kali juga gadis itu berkata, kau bayar! kau bayar! kau bayar! Maka, mahu tidak mahu, kita pun terpaksa mengangguk dengan berat dan saling bertukar nombor perhubungan untuk temujanji di sebuah kedai telekomunikasi esok hari. Gadis itu pun pergi sambil menangis meninggalkan kita dengan efek cinta pandang pertama yang muncul tiba-tiba.  

CERTOTWhere stories live. Discover now