Jinggo

47 2 0
                                    

Namanya Jinggo. Persis nama anjing aku yang dah mati dulu. Kaki caras, mulut longkang, pinjam duit buat-buat lupa nak bayar dan gemar makan kulit ayam. Hobi Jinggo pula memancing ikan dan memancing perempuan. Pernah beberapa kali dia pancing ikan, tapi yang dia dapat pula perempuan. Tapi perempuan tu dia lekas-lekas lepaskan ke laut semula sebab katanya, muka tak bebeh sangat. Ya, Jinggo memang jenis memilih juga orangnya.

"Selagi kita hidup di dunia ni, beb, selagi itu kita akan terus memilih," ujar Jinggo. "Yang tak memilih ni, orang mati ja. Dan pilihan kita itu pula sentiasa berubah mengikut keadaan, masa dan tempat. Misalnya, kalau dulu aku pilih Umno, mungkin kali ini aku akan pilih BN."

Aku blank sekejap. Jinggo memang begitu. Bercakap macam orang hisap gam. Tapi Jinggo tak pernah hisap gam. Pantang nenek moyang dia kalau jumpa orang hisap gam. Memang dia lempang. Sampaikan pernah sekali dia tersilap lempang penjahit kasut yang pegang tin Jebsen. Jinggo lebih suka mengambil benda-benda alami seperti daun-daun kering yang diracik cantik no woman no cry atau cendawan super mario.

"Daripada alam kita datang, kepada alam kita kembali," katanya tiap kali dia high, seperti hari ini sebelum dia mengajakku pergi ke masjid untuk solat jumaat. Dan itulah satu-satunya kelebihan Jinggo, jahat celaka macam mana pun, dia tak pernah terlepas solat jumaat dan akan membaca yassin tanpa membuka kitab.

CERTOTWhere stories live. Discover now