Irzan, berumur 29 tahun. Seorang yatim piatu dan pengamal ilmu hitam. Dia mula menggunakan ilmu hitam atau sihir sejurus selepas kematian tunangnya yang disihir bekas kekasih. Tujuannya hanya satu. Dendam kesumat yang menyelubungi dirinya.
Tiada lagi tanda-tanda redha akan ketentuan. Tatkala dia terkenang akan Melissa, berjuraian air mata dendamnya. Manakan tidak, kehilangan insan yang paling disayanginya. Pemergian mengejut Melissa langsung tidak boleh diterima akal ! Kehilangan yang tidak mampu diterima akal warasnya.
Beberapa bulan sebelum tibanya tarikh perkahwinan mereka, Irzan dikejutkan dengan kematian Melissa. Mayat tunangnya itu dijumpai dalam keadaan ngeri. Tubuhnya dipaku di dinding rumah ! Mata Melissa terbeliak seolah-olah dia diseksa kejam oleh si pelaku sebelum dibunuh.
Tidak cukup dengan itu, tubuh Melissa juga dijumpai penuh dengan cucukan jarum-jarum halus yang terpacak di seluruh anggota tubuh. Darah pekat mengalir, terbit dari setiap rongga lubang kesan dari cucukan. Ia tak ubah umpama mata air yang mengalir dari perut bumi. Apa yang lebih menyayat hati, kemaluan Melissa disumbat besi bergerigi. Kejam. Sadis !
Irzan memangku tubuh Melissa yang tidak bernyawa. Detik hiba itu disaksikan oleh beberapa orang rakan yang lain. Esakan tanpa henti Irzan meruntun jiwa sesiapapun yang melihatnya. Huzair, merupakan sahabat karib Irzan juga tidak dapat menahan sebak melihatkan keadaan Irzan yang meratapi pemergian Melissa.
Kes kematian Melissa diuruskan sepenuhnya oleh pihak polis. Selain suspek, Irzan juga dipanggil untuk diambil keterangan untuk membantu siasatan. Namun, kes tersebut menemui jalan buntu. Ke semua suspek yang dipanggil dilepaskan tanpa dakwaan kes. Selain tidak cukup bukti untuk sabitan kes, mereka juga mempunyai alibi yang kuat untuk tidak dikaitkan dengan kejadian pembunuhan Melissa.
Hari demi hari, Irzan semakin tidak terurus. Dia sangat tertekan hingga dia tidak mampu berfikiran waras. Setiap detik diisi dengan hanya meratapi sayu gambar-gambar kenangan mereka dalam simpanannya. Manakan mampu dia melupakan Melissa? Selama ini, kemana saja dia pergi,pasti gadis itu setia menemaninya disisi.
"Tak usahlah kau nak meratap sampai diri kau terabai macam ni sekali. Badan kau pun dah susut''. Ujar Huzair.
Sudah menjadi rutin harian,Huzair akan menjenguk keadaan Irzan di rumah bila pulang dari kerja. Huzair khuatir akan keadaan Irzan yang semakin diluar kawalan dan berpotensi mengalami kemurungan jika dibiarkan berterusan.
Setelah berminggu-minggu Irzan berkurung di dalam rumah tanpa di sentuh sinar mentari, akhirnya dia melangkah keluar. Kali ini, dia membawa diri ke kampung keluarga angkatnya. Keluarga angkatnya berketurunan Siam. Seorang ibu tunggal beranak dua yang selesa disapa 'ibu' oleh Irzan.
Setelah menempuhi perjalanan beberapa jam di jalan raya, dia akhirnya tiba disana. Kehadirannya disambut mesra oleh Ibu dengan senyuman.
"Hai Zan, Melissa mana? Selalu berkepit je." Soal Ibu kehairanan. Irzan tertunduk.
"Lisa dah tak ada Bu...Zan balik ada hajat sikit." Air matanya mula mengalir.
Ibu cuba menenangkan Irzan dan mengajak dia masuk ke rumah.
Langkah pertama Irzan ke dalam rumah.Dia disapa angin lembut yang membawa bauan kemenyan. Kuat hingga menusuk ke rongga hidungnya. Bermonolog di dalam hati.'Pasti bauan kemenyan itu datangnya dari asapan ibu'. Memang sudah menjadi kebiasan ibu memperasapkan kemenyan setiap kali senja berlabuh tirai. Bauannya dibiar bertebaran ke setiap pelusuk ruang rumah.
Ibu merupakan dukun terkenal daerah itu. Malam tu, Irzan sempat disajikan dengan ritual pembuangan saka yang dilakukan Ibu. Mangsa yang meminta pertolongan merupakan pasangan suami isteri. Rahim peranakan si isteri disekat oleh saka tersebut untuk tidak membenarkan mereka memiliki cahaya mata.
YOU ARE READING
SEGITIGA | DeeFen, Shizu & SP
HorrorBuku ini mengandungi 22 buah kisah seram dan ngeri yang ditulis oleh 3 Kurator Arkib Angker Negara, yang tidak dinafikan kehebatan mereka berimaginasi dalam karya-karya mereka. DeeFen, Shizu dan SenyumanPerantau menjanjijan satu rasa apabila membac...