Bab 2

12 0 0
                                    


PUAN WATIE terus bersiap untuk ke pekan apabila menerima panggilan telefon daripada Fasha. Anaknya sudah bank in duit ke dalam akaunnya. Bergegas dia ke kereta. Dia memandu menuju ke pekan. Setelah mengeluarkan kesemua duit itu, dia pandu kereta menuju ke pusat beli-belah. Mahu berbelanja barang yang dia impikan.

Masuk bangunan pusat beli-belah itu, Puan Watie tersenyum lebar. Satu demi satu kedai dimasuki. Ada saja yang dibeli daripada kedai itu. Pakaian, beg tangan, minyak wangi dan sebagainya. Membeli-belah tidak ingat dunia. Pesanan yang dititipkan oleh Fasha semalam juga sudah dilupakan. Dia hanyut di syurga dunia itu.

Telefon berdering. Langkah Puan Watie terus mati. Lekas dia menyeluk beg tangannya. Telefon bimbit ditarik keluar. Terpamer nama Fasha di layar skrin. Dia serta-merta mendengus.

"Dia nak apa?" bentak Puan Watie.

Namun dia tetap jawab panggilan itu. Bukan apa, dia haruslah berlakon di hadapan anaknya itu. Konon-konon tidak akan menghabiskan wang yang baru sahaja dibank in Fasha. Manusia kan penuh dengan tipu helah.

"Hmm... kau nak apa?" soal Puan Watie seusai menjawab panggilan itu. Kasar suaranya.

"Mak sihat?" soal Fasha.

"Sihat," jawab Puan Watie sepatah.

"Fasha ada bank in duit dalam akaun bank mak pagi tadi. Mak dah dapat?" balas Fasha.

"Kau ingat aku ni mata duitan ke? Ada ke patut tanya aku soalan sebodoh tu? Pagi-pagi buta nak pergi bank semata-mata nak cek sama ada aku dah dapat atau belum. Kau yang bank in ke akaun aku kan? Takkanlah keluar nama orang lain pula?" Padahal sudah hampir separuh Puan Watie guna duit itu.

"Fasha tanya saja, mak. Salah ke?" Fasha bela diri.

"Salah! Sebab tanya soalan bebal macam tu, buat apa?" tengking Puan Watie garang.

Fasha diam. Tidak mahu memanjangkan pergaduhan mereka.

"Kau dah habis cakap?" Puan Watie serta-merta bersuara.

Fasha melepaskan keluhan.

"Sebenarnya, Fasha..."

"Dah? Okey, aku matikan talian. Aku nak pergi masak. Aku lapar. Daripada aku melayan anak tak guna macam kau ni, lebih baik aku pergi mencekik." Puan Watie memotong percakapan Fasha.

"Mak!" marah Fasha.

Tutt, talian terus dimatikan. Telefon bimbit disumbat ke dalam beg tangan. Puan Watie tergelak. Fasha mudah ditipu hidup-hidup oleh dia. Ah, buang masa saja dia fikir perihal Fasha. Lantas, dia mengorak masuk di dalam sebuah gedung pakaian. Tidak puas shopping lagi.

PUKUL 11.40, SHAHIR melepaskan anak-anak muridnya untuk pulang. Kanak-kanak itu jalan di dalam keadaan berbaris melalui laluan kaki lima bangunan dewan makan menuju ke pondok di belakang dapur prasekolah. Shahir mengetuai di bahagian hadapan. Manakala Kak Leha pula membuntuti daripada belakang.

Tiba di pondok, Kak Leha mengarah kanak-kanak itu untuk duduk dan menunggu kedatangan ibu bapa, van sekolah dan pengasuh taska. Mula-mula mereka tidak mahu dengar kata. Dek takut jelingan tajam Shahir, mereka pun duduk di kerusi yang tersedia di pondok itu. Shahir dan Kak Leha mengambil tempat duduk berhadapan dengan laluan keluar masuk pagar kecil. Raihal, anak murid Shahir mendekatinya untuk belajar kad suku kata. Shahir terus melayan anak muridnya itu.

Suasana hiruk-pikuk kedengaran memenuhi suasana. Tidak kurang juga dengan kehadiran murid arus perdana sesi petang yang baru tiba di sekolah. Bahkan ada yang bermain kejar-kejar di sekeliling pondok. Sesekali Shahir menegur apabila melihat mereka bergaduh. Setelah ditegur Shahir, mereka pun bersurai dan bermain di tempat lain pula.

Mr ABC Miss Mata DuitanWhere stories live. Discover now