Bab 4

6 0 0
                                    

PUAN WATIE angkat tinggi tabung berbentuk Menara KLCC lalu hentak ke lantai. Brang, pecah berderai dikerjakannya! Lekas Puan Watie mengutip satu per satu duit syiling dan wang kertas yang sudah bertaburan di merata-rata tempat itu. Kemudian duduk bersila lalu mengira.

Puan Watie melepaskan keluhan.

"Ada RM26.50 saja. Nak beli apa dengan duit ni?" Puan Watie garu kepala.

Dia letak duit itu di bawah tumit kakinya.

"Takkanlah aku nak telefon Fasha dan minta duit lagi?" Teringat amaran Fasha tempoh hari, niatnya mati. Pasti Fasha akan membebel padanya. Dia kerja penat-penat, Puan Watie hanya tahu tadah tangan dan terima duit saja. Ah, bingit telinga dia! Dia juga yang sakit hati nanti.

Puan Watie bangun lalu tawaf satu rumah. Dagunya diusap-usap beberapa kali.

"Kalau tak ada duit, macam mana aku nak shopping?" Sekiranya tidak menjalani terapi membeli-belah untuk sehari, Puan Watie boleh jadi sasau. Hilang suami tak apa. Asalkan duit ada di tangannya.

Tiba-tiba saja terdetik sesuatu di benaknya. Dia mula tersenyum. Lalu lekas bangun dan melangkah menuju ke bilik. Sebuah kotak berwarna merah di bawah katil ditarik. Dia duduk di birai katil. Kotak itu dibuka. Bersinar matanya bila melihat beberapa utas rantai, gelang dan cincin emas yang terletak kemas di situ.

"Kalau aku gadai, aku akan dapat banyak duit. Bila dapat banyak duit, bolehlah aku pergi shopping!" jerit Puan Watie lalu menari kegembiraan.

Lekas dia tutup kotak itu lalu memasukkan ianya di dalam beg tangannya. Dia segera bangun lalu beredar meninggalkan rumah.

OLIO ARWI tarik beg baju keluar dari balai ketibaan domestik KLIA 2. Lalu mengambil teksi menuju ke destinasi yang sudah ditetapkan. Telefon bimbitnya dihidupkan. Dua jam berada di dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur. Pasti banyak mesej penting yang diterimanya. Mata terpandang mesej Tuan Dolah. Dia segera buka lalu baca.

Tuan Dolah : Bila dah sampai KL, pergi ke rumah Shah. Kamu tahu apa yang kamu perlu buat kan?

Olio : Baik, arahan diterima.

Olio membuang pandangan ke luar tingkap. Amanat Tuan Dolah masih tersemat di ingatan.

"Kamu saja yang boleh bawa Shah balik Sabah. Uncle rindu dia." Tuan Dolah genggam tangan Olio.

Olio membalas genggaman tangan Tuan Dolah.

"Jangan khuatir, Olio akan pujuk Shah balik Sabah. Kalau dia tak nak balik, Olio akan gunakan kekerasan!" tegas Olio serius.

"Jangan guna kekerasan, Olio. Shah benci uncle. Usahlah menambah kebencian dia. Uncle tidak mahu kehilangan satu-satunya permata yang uncle ada sekarang. Uncle mahu jernihkan hubungan kami anak beranak. Uncle sayangkan Shah." Tuan Dolah melepaskan keluhan bila bayang peristiwa lampau menghantui minda. Ah, salah dia. Hilang isteri dan anak.

"Uncle tahu sikap Olio, kan? Olio bukan seorang lelaki penyabar. Olio akan berkeras pada orang yang tidak mahu dengar kata Olio," balas Olio.

"Disebabkan kekerasan kamu, uncle amanahkan kamu untuk tugasan ini. Uncle tahu kamu akan berjaya pujuk Shah. Kamu takkan berhenti selagi tidak berjaya bawa Shah balik," balas Tuan Dolah.

Olio tersenyum.

"Jika itu amanah yang perlu Olio galas, insya-ALLAH Olio akan lakukan sebaiknya," janji Olio.

Tuan Dolah tarik nafas lega bila dengar kata Olio.

"Terima kasih, Olio," ucap Tuan Dolah.

"Sama-sama," jawab Olio.

Mr ABC Miss Mata DuitanWhere stories live. Discover now