Bab 5

8 0 0
                                    

FASHA terjenguk-jenguk ke luar. Seperti tengah tunggu seseorang. Sesekali dia bangun lalu jalan mengelilingi sofa di ruang tamu. Kemudian duduk. Dek hati dikuasai gelisah, dia bermain dengan jemari. Kak Leen yang tengah baca novel itu hanya tersenyum melihat tingkah Fasha.

"Fasha tengok apa tu?" tegur Kak Leen.

Fasha tersentak. Lekas duduk di atas sofa lalu toleh memandang Kak Leen.

"Tak ada apa-apa." Fasha cuba berlagak selamba.

Kak Leen tutup novel lalu letak di atas meja. Dia bangun dan menghampiri Fasha.

"Fasha tunggu Shahir ke?" serkap Kak Leen.

Fasha tergamam, namun tetap tayang riak bersahaja di hadapan Kak Leen.

"Tak kuasalah. Buang masa saja. Daripada Fasha layan telatah mereng dia, lebih baik Fasha pergi bawa Teksi Uber. Dapat duit, dapat jadi kaya raya," balas Fasha.

Kak Leen mencemik.

"Tak habis-habis nak jadi orang berharta. Fasha tak rasa nak mencintai dan dicintai ke? Akak pernah cakap sebelum ni. Kita perlukan seseorang yang ikhlas mahu hidup bersama sehingga akhir hayat. Kalau berduit, tapi hati tak gembira, untuk apa? Betul tak?" Kak Leen cuba mematahkan hujah Fasha.

"Kalau hidup berpaksikan cinta, tapi tak berduit, buat apa? Kak, zaman sekarang orang perlukan duit untuk teruskan hidup. Nak masuk tandas pun kena bayar 20 sen tau. Tengok, apa kelebihan wang di masa kini? Cinta diketepikan, wang diutamakan!" tegas Fasha.

Kak Leen mendengus.

"Bila akak cakap, ada saja jawapan. Kita fikir untuk kebaikan dia. Tapi tak faham-faham bahasa lagi. Akak nak ada orang yang boleh jaga Fasha bila akak dah tutup mata nanti. Akak tak nak Fasha hidup seorang diri!" marah Kak Leen.

Fasha terdiam. Silap Kak Leen juga. Siapa suruh buka cerita perihal Shahir? Sebut nama Shahir, Fasha memandang ke luar. Kot-kotlah Shahir muncul. Ketibaan lelaki itu bukan boleh diduga. Petik namanya, pasti akan muncul.

"Usahlah tertengok-tengok ke luar tu, Fasha. Shahir tak datang hari ini," beritahu Kak Leen.

Fasha semerta toleh memandang Kak Leen.

"Kenapa?" Laju Fasha menyoal.

Kak Leen tersenyum-senyum.

"Betullah, Fasha memang tengah tunggu Shahir. Kalau jujur daripada tadi kan senang. Bila akak tanya tak nak mengaku. Sesekali kalau terus-terang apa yang ada di hati, tidak salah kan?" sindir Kak Leen.

Fasha tertunduk bila terasa dengan sindiran Kak Leen.

"Malu ke?" usik Kak Leen.

Merah padam muka Fasha. Dia berdecit. Lalu segera angkat kaki ke dapur.

Kak Leen hanya ketawa bila melihat tingkah Fasha.

TINGKAH gelisah Fasha itu mengundang perhatian Kak Leen. Lekas dia menghubungi Shahir.

"Nasib baik Shahir ikut nasihat akak tau," kata Kak Leen.

Shahir tercengang. Nasihat apa?

"Fasha jadi tak tentu arah bila Shahir tidak datang ke kedai dobi dan telefon dia. Ni, dia tengah terhendap-hendap ke luar. Tunggu kedatangan Shahir. Bila akak serkap jarang sama ada dia rindu Shahir atau tidak, beriya-iya dia nafi. Akak rasa penyakit menanggung rindu itu menjadilah, Shahir," cerita Kak Leen bersungguh-sungguh.

Shahir tersenyum bila mendengar cerita Kak Leen. Dia sendiri terlupa dengan nasihat Kak Leen. Lepas balik dari PPD, dia menghabiskan masa di pusara arwah mummy dan Kak Lina. Lupa seketika perihal Fasha. Ketika nama itu disebut, tiba-tiba angin rindu membelai tubuh Shahir.

Mr ABC Miss Mata DuitanWhere stories live. Discover now