"Tuan Faheem, apa yang berada dalam fikiran tuan?"
Suara itu menarik perhatiannya. Spontan dia mendongak. Seorang wanita yang berpakaian mengghairahkan sedang tersenyum ke arahnya. Dia membalas senyuman itu dan menggeleng.
"Mengapa tidak turut serta?"
Wanita itu mengerling ruangan di tengah-tengah dewan di mana mereka berada, yang kini dipenuhi tetamu. Lelaki dan wanita. Rata-ratanya berpakaian elit, berpasang-pasangan, asyik menari mengikut alun irama yang dimainkan. Majlis itu meriah. Hiasan dewan yang elegan dengan kilauan candelier yang menaikkan seri, menjadikan suasana itu cukup gah. Semua yang berada di dalam dewan ini pasti menganggap mereka sedang berada di puncak dunia.
Wanita itu tanpa segan silu mengambil tempat di sebelah lelaki tersebut. Bahu mereka bersentuhan. Lelaki itu sekadar tersenyum, dan menjarakkan dirinya sedikit.
"Awak ini kenapa?" Wanita itu mencebik.
Lelaki itu menghela nafas. "Saya rasa kita kena berhentilah, Cherry."
"Hah? Stop this event? Nonsense." Berkerut dahi. "Awak tahu mereka yang hadirini semuanya telah beri cek untuk program kebajikan saya, bukan?"
Daripada gaya Cherry berbahasa, ternyata lelaki itu bukanlah orang asing dengannya. Bahasa sopan awal sapaannya tadi sekadar gurauan antara mereka berdua.
Sekali lagi lelaki itu menghela nafas.
"Maksud saya, kita berdua. Kita putus. Saya tak mahu lagi punya apa-apa hubungan dengan awak."
Lelaki itu memandang tepat ke wajah Cherry. Wanita itu terpempan. Seperti tidak percaya dengan apa yang disuarakan oleh lelaki itu.
"Baby, saya tahu kebelakangan ini awak macam ada masalah. Tapi takkan sampai nak putus? Awak ini kenapa?"
Tangan Cherry segera mencapai wajah lelaki itu Kedua-duanya ditekapkan pada pipi lelaki itu, seakan-akan merayu. Lelaki itu perlahan-lahan mencapai kedua-dua tangan Cherry itu lalu diletakkan ke atas peha wanita itu. Lelaki itu berdiri. Kedua-dua belah tangannya direhatkan dalam saku. Cherry terpinga-pinga.
"Amir Faheem bin Amir Muiz!"
Cherry berusaha mendapatkan perhatian lelaki yang mula menjauh untuk meninggalkannya.
Lelaki itu menoleh. "Bye."
Lelaki itu berpaling dan bergerak untuk keluar. Cherry hanya mampu memandang. Tersentak dengan apa yang berlaku. Lelaki itu tidak lagi menoleh ke belakang.
Lelaki itu sendiri tertanya-tanya apa yang sedang berlaku pada dirinya. Dia tidak lagi merasakan kelazatan gaya hidup yang dipamerkan kebanyakan hadirin di dewan ini. Dia tidak lagi dapat merasakan kepuasan gaya hidup sebegini. Bukan kerana dia mahu lebih daripada apa yang terbentang di hadapan matanya kini. Tetapi kerana dia merasakan ada yang tidak kena dengan gaya hidup sebegini.
Mahu ke mana semua ini akhirnya?
Sekali-sekala, langkahannya terganggu apabila disapa beberapa orang. Memang, siapa yang mengenali Amir Faheem bin Amir Muiz, pasti akan menyapanya. Kerana dia bukan orang biasa-biasa. Atau lebih jujur, dia bukan anak orang biasa-biasa. Bapanya terkenal di seluruh Malaysia, dan di seantero dunia.
Lelaki itu mempercepatkan langkah agar perjalanan keluar dari bangunan ini tidak terbantut lagi. Sambil-sambil itu, tangan kanannya mengeluarkan telefon pintar dari dalam saku. Satu nombor dihubungi.
YOU ARE READING
HERO
Science FictionHERO - Novel ini menceritakan Amir Faheem, seorang pemuda yang hidupnya jauh dari syariat Islam. Satu hari, ibu bapanya mati dalam tragedi. Rupa-rupanya, tragedi itu dirancang sebuah organisasi rahsia. Didedahkan dengan kenyataan tersebut, Amir Fahe...