Dua tahun telah berlalu semenjak tragedi itu. Kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua orang tuanya. Ketika itu, Afam baru sahaja bergraduasi daripada sebuah universiti ternama di Amerika Syarikat. Universiti pilihannya untuk menjauhkan diri daripada orbit bapa.
Tindakan itu sedikit sebanyak menerbitkan penyesalan dalam diri, kerana tidak dapat melihat orang tuanya buat kali terakhir. Ketika jenazah mereka berdua sudah tertanam tujuh kaki di bawah tanah, baru Afam dapat menjejakkan kakinya ke Malaysia.
Dia kurang ralat tidak dapat bertemu dengan bapa. Padanya, dia tidak punya perasaan apa-apa yang istimewa terhadap bapanya itu. Namun dia sangat sayangkan ibu. Jauh di dalam hati, Afam sebenarnya berbelah bagi dengan cara hidupnya. Pada satu sisi, dia memberontak dan tidak mengambil jalan yang dianjurkan Islam kerana bencikan bapa. Pada sisi yang lain, dia tahu tindakannya itu menjemput kesedihan kepada ibu. Walaupun ibu tidak pernah menunjukkan tanda-tanda dia tidak suka kepadanya.
Pusara mereka berdua masih merah apabila semua tetamu pulang termasuk mak ciknya, Amirah Maisarah. Afam diiringi Pak Arbi dan Mr. Umayer pulang ke rumah bapa. Dia masih ingat kali pertama dia mengetahui apa yang ada di sebalik barisan almari buku di bilik bapa.
Afam masih ingat betapa terkejutnya dia pada hari tersebut.
Pangkalan itu dilengkapi komputer super berskrin gergasi dan beberapa skrin kecil. Beberapa tempat duduk. Di tengah-tengahnya, sebuah meja empat segi, sederhana saiznya, sekitar satu meter tinggi. Afam diberitahu bahawa meja itu bukannya meja, tetapi sebuah peranti hologram. Teknologi itu belum wujud di pasaran tempatan kerana menurut bapa, dunia belum bersedia untuk teknologi sebegitu. Itu yang dijelaskan oleh Mr. Umayer.
Apa yang paling ingat ialah keberadaan sut-sut berteknologi tinggi.
Beberapa sut masih dalam proses tempaan. Kelihatan tangan-tangan robotik sedang bekerja tanpa jeda. Satu sut yang sudah sempurna terletak kemas dalam sebuah balang lutsinar. Balang itu tidak sendirian. Ada tiga buah balang lain yang sederet dengannya. Ketika itu, balang-balang tersebut masih belum terisi apa-apa.
"Ini ialah projek rahsia Dato' Amir Muiz, Afam." Pak Arbi memberitahu.
"Kami sangat percaya bahawa kematian Dato' Amir Muiz dan Datin Maimunah bukan akibat kemalangan." Mr. Umayer bersuara. Walaupun lelaki itu kekal tenang seperti biasa, jelas suaranya ada getaran kesedihan.
"Hah?"
Itu antara momen yang Afam tidak akan lupakan. Hari itu memang penuh dengan kejutan.
"Mereka menjadi sasaran sebuah organisasi dunia gelap dan ini merupakan konspirasi yang tidak kecil."
Mr. Umayer membawa Afam dan Pak Arbi mendekati peranti hologram di tengah-tengah pangkalan tersebut. Selepas menekapkan tangan pada suatu skrin, peranti itu mengeluarkan warna biru terang, sebelum beberapa imej mula keluar dan terapung-apung di udara. Teknologi yang selama ini sekadar igauan fantasi, kini terbentang di hadapan mata Afam.
"Ini sepuluh jutawan Islam kita."
Afam mengenali semua jutawan tersebut. Mereka adalah rakan-rakan karib bapa. Boleh dikatakan sebelum kelahiran Afam lagi, mereka bersepuluh telah punya hubungan erat.
Sebahagian besar daripada gambar-gambar tersebut ditanda 'X' yang besar. Termasuk gambar bapa. Afam menelan liur.
"Itu yang sudah meninggal, bukan?"
YOU ARE READING
HERO
Science FictionHERO - Novel ini menceritakan Amir Faheem, seorang pemuda yang hidupnya jauh dari syariat Islam. Satu hari, ibu bapanya mati dalam tragedi. Rupa-rupanya, tragedi itu dirancang sebuah organisasi rahsia. Didedahkan dengan kenyataan tersebut, Amir Fahe...