BAB 3: Syaitan

1.1K 34 0
                                    

Jam digital pada paparan di dalam helmet menunjukkan pukul 5 pagi. Afam sedang meluncur laju membelah udara meninggalkan sempadan Kotaraya Angsana, sebelum membuat pusingan semula, kemudian turun ke sebuah tanah tinggi.

Semakin lama dia semakin menghampiri tanah tinggi tersebut. Kelihatan sedikit lagi sut Hero itu akan membawanya menghentam bumi. Namun, beberapa saat sebelum itu, satu pintu rahsia terbuka, memberikannya laluan khas untuk terus terbang. Laluan tersebut gelap, hanya dihiasi lampu-lampu kecil di bahagian atas dan bawah, kiri dan kanan.

Tidak lama kemudian, Afam tiba di pangkalan rahsia.

Dia mengimbangi badan seraya mengurangkan tenaga yang dikeluarkan oleh sut Hero. Perlahan-lahan menjejak lantai, sambil diperhatikan Pak Arbi yang setia menanti.

"Tak tidur lagi, Pak Arbi?"

Helmet sut Hero terbuka, mempamerkan wajah Afam, bergerak perlahan-lahan ke arah balang. Apabila dia berdiri di hadapan balang itu nanti, akan keluarlah tangan-tangan robotik yang bakal membantu menanggalkan sut itu daripada tubuhnya.

Itulah rutin kebiasaannya setiap kali usai membuat rondaan di Kotaraya Angsana. Afam akan mengenakan sut Hero bermula sekitar tengah malam hingga awal pagi. Sekiranya ada kejadian tertentu yang memerlukan Hero berlaku di luar waktu tersebut, barulah Afam akan keluar dari rutin kebiasaannya itu.

"Puas hati?" Pak Arbi bertanya, merujuk kepada aktiviti Afam seminggu kebelakangan ini.

Afam melepaskan nafas. Dia mendekati balang penyimpan sut.

"Kita sembang siang nantilah, Pak Arbi. Saya nak tidur. Mengantuk sangat."

"Data menunjukkan Detektif Ikhwan seorang yang 'bersih'. Latar belakangnya menunjukkan dia merupakan salah seorang ahli INSANI, antara badan kebajikan yang diasaskan oleh Dato' Amir Muiz sendiri. Sepanjang pemerhatian kita seminggu ini , Detektif Ikhwan juga tidak menunjukkan sebarang contoh yang buruk. Dia seorang yang berprinsip, jujur, amanah serta sangat dedikasi dalam menjalankan tugasnya." Pak Arbi tidak mengendahkan permintaan Afam.

Afam sudah berdiri di hadapan balang. Tangan-tangan robotik muncul dari lantai.

"Siang nanti, Pak Arbi!"

Pak Arbi hanya tersenyum, menggeleng. "Tak rugi belajar percayakan orang lain, A ..."

Tiba-tiba, penggera berbunyi. Mata Afam terbelalak. Pak Arbi terus berlari ke arah skrin gergasi. Afam segera memakai sutnya semula. Dia menghidupkan sut lalu terapung sesaat sebelum menderu pergi. Satu dentuman kedengaran. Afam sudah lesap dari situ.

Rambut Pak Arbi serabai ditolak angin kuat. Namun, tidak dihiraukannya. Matanya fokus pada skrin gergasi. Skrin itu sedang mempaparkan kawasan sebuah banglo, sederhana besarnya. Terletak bersebelahan beberapa banglo yang lain.

"Siapa, Pak Arbi? Pak Lah? Pakcik Tengku atau Tok Pa? Atau Uncle Jo?"

"Dato' Jaafar Yamani."

"Saya ke sana sekarang!"

Afam mengetap bibir. Dia meluncur membelah udara dinihari. Langit masih gelap. Dia memecut selaju mungkin. Kelajuan maksima sut Hero ialah Mach 3. Dia akan sampai ke destinasi dalam sekelip mata jika dia memaksimakan pecutannya.

Kediaman Dato' Jaafar Yamani terletak di Bangi. Kawasan perumahan yang dipenuhi banglo. Beliau bersama Pakcik Tengku, atau Dato' Tengku Muhammad, kedua-duanya berpusat di Kotaraya Angsana. Manakala individu yang dipanggil sebagai Pak Lah, atau nama penuhnya Dato' Seri Abdullah Syamsuddin pula beroperasi di Kelantan sebagai wakil Amir & Co untuk memajukan negeri Serambi Makkah itu. Seterusnya, Dato' Johari atau Uncle Jo yang berpusat di Johor.

HEROWhere stories live. Discover now