BAB 4: Penyatuan

1K 34 0
                                    

Dia duduk di kerusi lipat, sedang tunduk dengan kedua-dua lengan di atas peha. Matanya dipejamkan. Mindanya cuba mengimbau kembali pertemuan pertamanya dengan adiwira yang menjadi bualan hangat Kotaraya Angsana.

"Jepun!"

Jeritan suara tekno itu terngiang-ngiang di telinga.

Tuala bertulisan kanji itu telah dihantar ke Bukit Aman sebagai bahan bukti. Dia sempat menyoal siasat keluarga mangsa, sebelum anggota polis di Bukit Aman mengambil alih. Hasil perbualan ringkasnya dengan Datin Aqilah, suaminya dibunuh dan Hero menyelamatkan mereka daripada seorang pembunuh misteri yang telah meletupkan rumah mereka.

"Topeng pembunuh itu menggerunkan. Seperti syaitan!"

Detektif Ikhwan tidak lancar berbahasa jepun, namun tahu sedikit sebanyak untuk membaca tulisan kanji. Tulisan kanji itu sebutannya ialah 'Akuma'. Jika diterjemahkan ke Bahasa Melayu, maknanya ialah 'syaitan'.

Detektif Ikhwan menghela nafas. Berat.

"Sayang, apa yang patut kanda lakukan?"

Dia seakan-akan meminta pendapat walaupun sedar tiada siapa yang mampu memberikannya apa-apa di tempat ini. Dia berada di tengah-tengah tanah perkuburan di Gombak. Di hadapannya, dua buah pusara, sebelah-menyebelah. Pusara isteri dan anaknya. Kedua-duanya mati dibunuh penjenayah sebagai satu usaha untuk menundukkannya.

Sekali-sekala, dia akan singgah ke sini untuk menziarahi, untuk memujuk hati dan bersunyian buat seketika mencari tenang. Dirinya dalam keadaan serba salah.

"Sayang, Hero yang selamatkan orang itu pula diburu."

Dia mengeluh. Matanya bertakung air. Jiwanya sebak. Mindanya terimbau peristiwa beberapa hari yang lalu.

Selepas urusannya di rumah Dato' Jaafar Yamani selesai, dia dipanggil Komissioner Azizan, yang melepaskan amarah kerana dia dituduh sengaja melepaskan Hero pergi.

"Kenapa dilepaskan? Ini kali pertama ada yang benar-benar dapat melihatnya dengan jelas!" Komissioner Azizan meninggikan suara.

Detektif Ikhwan tahu yang anggota-anggota polis yang lain sedang memerhatikan mereka dari luar pejabat.

"Tuan Azizan nak saya buat apa? Segala maklumat yang kita ada berkenaan Hero menunjukkan dia itu kalis peluru. Dengan segala rekod penjenayah yang telah dia masukkan ke dalam penjara dua tahun ini, tuan saya bukan lawan dia." Detektif Ikhwan bertegas.

Komissioner Azizan mendengus. Sedar yang kata-katanya tidak logik, namun ego hendak mengaku dia tersilap menjadikan perkara itu sebagai isu terhadap Detektif Ikhwan. Dia berdehem ketika meneliti laporan detektif tersebut.

"Mengapa tidak dilepaskan tembakan?"

"Kerana ada kemungkinan tembakan saya akan terpantul ke arah Datin Aqilah atau anaknya. Mereka berada tersangat hampir dengan Hero."

"Ada sahaja jawapan kau ya, Ikhwan? Jujur sahajalah Ikhwan, engkau tak suka kami semua di sini. Kami ini 'korup'."

Komissioner Azizan mengangkat kedua-dua tangannya, menyatukan jari hantu dan jari tengah dan menggerak-gerakkannya. Detektif Ikhwan menggeleng. Terdengar gelak tawa anggota polis lain di luar pejabat.

"Terpulang, tuan. Saya sudah sediakan laporan yang lengkap dan nyatakan apa yang berlaku. Jika tuan mahu beranggapan dengan anggapan yang lain, terpulanglah."

HEROWhere stories live. Discover now