Asap berkepul-kepul naik sebelum hilang dihambat angin. Dua jari menyepit rokok, mengembalikannya ke bibir. Dihisapnya penuh rakus, sebelum asap dilepaskan buat kesekian kali.
Afam kini berada di atas Menara Keimanan. Bahagian bawah helmet sutnya terbuka. Walaupun puncak menara ini tirus, ia tidak menjadi masalah. Sut Hero mempunyai keupayaan untuk meningkatkan daya magnetik, sekali gus melawan daya graviti bagi menjadikan sut itu melekat elok pada puncak menara.
Setiap kali keluar sebagai Hero, tempat ini menjadi lokasi pilihan. Memandangkan Menara Keimanan merupakan bangunan tertinggi di dunia, kelibat Hero tidak akan mampu dilihat oleh mata kasar umum. Afam boleh menanti di situ dengan tenang sementara peranti sutnya menghantarkan data – baik dalam bentuk video atau audio, berkenaan apa yang berlaku di Kotaraya Angsana dan Kuala Lumpur. Dengan ini, Afam mengetahui apa yang berlaku. Dia boleh menimbangkan sama ada Hero perlu turun membantu atau tidak.
Awalnya, Afam tidak berminat dengan urusan-urusan kecil. Fokusnya hanya kepada jenayah berat seperti rompakan, pencerobohan, pemburuan penjenayah-penjenayah yang melarikan diri daripada pihak polis serta hal-hal yang melibatkan organisasi dunia gelap seperti samseng dan gengster. Namun, selepas kemunculannya, statistik jenayah di Kotaraya Angsana dan Kuala Lumpur merudum. Kegiatan jenayah tidak lagi serancak dulu.
Justeru, Afam kadangkala turun juga bagi membantu urusan-urusan kecil seperti kemalangan, kebakaran, ragut dan sebagainya.
"Kenapa termenung sahaja?" Suara Pak Arbi menggetarkan gegendang telinga. "Teringat isteri di rumah?"
Paparan di visor helmet menunjukkan Pak Arbi sedang tersenyum. Afam mendengus. Rokok dihisapnya. Tidak menjawab soalan Pak Arbi.
"Dua minggu sudah berlalu. Kita masih belum dengar apa-apa pasal pembunuh misteri itu."
"Akuma."
Afam memecahkan kesunyiannya. Rokok ditenyeh pada tangan sebelum dimasukkan ke dalam salah satu bahagian pada tali pinggang sut.
"Apa dia?" Pak Arbi seakan-akan tidak dengar.
"Akuma, itu yang tertulis pada tuala tersebut, bukan? Syaitan. Mungkin itu namanya."
Pak Arbi terdiam. Afam menghela nafas. Baki asap rokok keluar daripada mulutnya.
"Jika dia hendak buat kotaraya ini memusuhi saya, dia telah berjaya."
Dua minggu telah berlalu semenjak perkahwinannya. Dua minggu jugalah Komissioner Azizan telah mengumumkan Hero sebagai buruan.
Kini, setiap kali Hero muncul untuk menyelamatkan keadaan, sekumpulan anggota polis akan turut berada di tempat kejadian, berusaha untuk memberkasnya. Walaupun ia tidak memberikan ancaman kepada Afam, memandangkan sut Hero itu mampu menangani persenjataan yang dimiliki pihak polis, namun tindakan itu semakin hari membuatkan Afam semakin meluat.
Mereka mengejarnya ibarat anjing kelaparan, walaupun mereka tahu mereka tidak mampu. Dalam keadaan dia pula sedang berusaha membantu orang dalam kesusahan.
Belum ditambah dengan cabaran yang dihadapinya di rumah.
Husna.
"Awak tidur bilik ni."
Afam menuding ke arah sebuah bilik di tingkat atas. Pintu bilik dibukanya. Terserlah kemewahannya. Luas. Perabot-perabot berkualiti. Permaidani dan ambal tebal. Pencahayaan bervariasi. Katil besar dan bantal-bantal empuk. Keperluan penjagaan diri berjenama.
YOU ARE READING
HERO
Science FictionHERO - Novel ini menceritakan Amir Faheem, seorang pemuda yang hidupnya jauh dari syariat Islam. Satu hari, ibu bapanya mati dalam tragedi. Rupa-rupanya, tragedi itu dirancang sebuah organisasi rahsia. Didedahkan dengan kenyataan tersebut, Amir Fahe...