LANGKAHNYA perlahan menginjak laluan tersebut, menghala ke kawasan yang agak sunyi di belakang rumah berkenaan. Terdapat sebatang pokok sebesar tiga pemeluk manusia dewasa, berdaun rimbun dan setiap daunnya mempunyai kelebaran berbeza. Daun-daun kering gugur melayang menutupi lantai. Salah satu daun yang gugur jatuh lemah di atas pusara lama.
Matanya bergelintar mengamati pusara berkenaan. Bukan satu, tetapi dua pusara yang menyimpan rangka manusia berlainan jantina. Dia bertinggung di antara dua pusara tersebut, lalu menadah tangan, menjulang langit untuk melabuhkan doa selepas bacaan ayat suci Al-Fatihah disedekahkan kepada kedua-dua si mati.
Rerumput halus tumbuh di atas timbunan tanah rata kedua-dua pusara dibersihkan. Rumput-rumput itu dikumpulkan di satu tempat sebelum di angkat, lantas dibuang ke dalam semak belukar. Pusara itu tampak lebih bersih berbanding tadi.
Tapak tangan meleret di atas kepala, lantas membawa helaian anak rambut yang jatuh mengatapi dahi. Pergerakannya perlahan, menuruni belakang tengkuk dan ianya kaku di situ.
Berlokasi agak jauh dari dua buah pusara tadi, terdapat satu kawasan kecil yang ditanam dengan rerumput tirus berbunga putih.
Mata bergelintar liar.
"Anak kau masih hidup."
Dia berkata perlahan.
"Aishah masih hidup."
Tiada senyuman berpaut di muka. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja hatinya jadi sayu. Ada sesuatu sedang mengasak hebat relung perasaannya tanpa ehsan.
***
Bersambung
PERHATIAN: Semua karya di dalam wattpad ini dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987, dan merupakan hak milik mutlak Hanah Rishas dan syarikat penerbitan. Tindakan UNDANG-UNDANG akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba untuk menciplak.
YOU ARE READING
HINGGA AKHIR NAFASKU
RomanceBLURB *** "Cinta pertama bagi setiap anak perempuan... Her daddy." Nurul Ain tidak tahu, cinta pertamanya itu seharusnya Awang Kader, ayah kandungnya yang menjadi punca kelahirannya di dunia ini, bukan Abdul Halim, ayah angkatnya. Di mata Awang Kade...