Novel HAN : Bab 5

1.1K 24 0
                                    

"BILA anak kita lahir, Min nak letak nama Nur Aishah. Boleh kan, bang?" Lembut suara Nur Aminah menampar jendela telinga.

Dia yang begitu ralit merenungi roman polos sang isteri, hanya mengangguk bersetuju. Jari-jarinya asyik membelai perut boyot Nur Aminah. Mengikut perkiraan doktor peribadi mereka, Nur Aminah dijangka melahirkan dalam masa kurang seminggu. Mereka begitu teruja untuk menyambut puteri sulung dalam keluarga.

"Dayang Nur Aishah," tuturnya. Sesekali mengelus pipi Nur Aminah. Isterinya tersenyum manis. Kepala diangguk berkali-kali.

"Dayang Nur Aishah binti Awang Kader." Terkumat-kamit mulut Nur Aminah menggumam nama indah itu.

"Cantiknya dia tentu macam Min. Manisnya macam abang." Awang Kader berseloroh dengan niat hendak mengusik. Tawanya berselang-seli dalam udara yang terhembus keluar dari rengkungan.

"Cantik tu memang kena ikut umi dia. Tapi part manis tu... Macam tak berapa kena aje. Abang ni manis ke?" Nur Aminah mencebik.

Dia ketawa lagi. "Manis abang ni, gula pun kalah." Hujung hidung isterinya dicuit lembut. Berdesit kecil suara Nur Aminah.

Pada ketika suara Sufiah mencecah jendela telinga, Awang Kader seakan-akan dipaksa kembali memijak dunia nyata. Hilang terbang segala ingatan lalu yang telah digali demi memenuhi tuntutan rindu yang telah membadai jiwa. Terkebil-kebil matanya menjaring paras Sufiah.

"Are you okay, Datuk?" Sufiah memandang hairan. Berkali-kali dia memanggil nama majikannya namun lelaki itu hanya diam seribu bahasa. Seolah-olah jasad sahaja wujud di depan mata tanpa kehadiran roh. Anak mata yang tinggi melaras siling langsung tidak bergerak sehingga memutikkan keresahan.

Awang Kader berdeham. Salur kerongkong dibiar lapang. Kemudian dia mengangguk sebagai tanda keadaan dirinya baik-baik sahaja.

Sufiah mengatur langkah mendekati meja Awang Kader. Cawan seramik berserta piring nipis diletak santun di atas meja hartawan berkenaan. Ekor mata lelaki itu menitip pandangan cawan seramik putih yang mempunyai ukiran flora di sekeliling permukaannya.

"Air untuk Datuk. Nurul Ain datang hantar. Katanya Tengku Hanif yang arahkan. Sekali dia hantar dokumen ini bagi pihak Tengku."

Unjukan fail tadi diambil. "Hanif ni... Penat budak tu mengukur jalan." Dia berdesis perlahan selajur beralih tumpuan kepada Sufiah yang sudah menanti dengan sebuah organiser.

"So... Ada apa-apa yang perlu saya tahu? Atau apa yang awak nak saya buat, Sufi?" Senyuman bertamu di bibir.

Sufiah tertawa kecil. Lekas dia membuka helaian kertas organiser yang telah ditanda dengan pelekat keras berwarna merah jambu.

Ketika lantunan suara Sufiah menerobos ke dalam corong telinga, tiada satu pun dapat dihadam dengan sempurna kerana ia diganggu dengan kemunculan paras sang isteri yang telah lama kembali ke alam abadi. Dada bagai mahu pecah.

"Kalau suatu hari nanti, kiranya umur Min tak panjang, abang jaga anak kita baik-baik ya, bang. Dia nyawa kita, bang. Anugerah daripada Allah, amanah yang perlu kita jaga dan pelihara." Gema bicara Nur Aminah terselit di celah-celah kesibukan Sufiah membentang rencana buatnya sepanjang hari ini dan esok.

***

"YA ALLAH!" Teriakan itu nyaris meruntuhkan semangat Nurul Ain. Apatah lagi menyedari baju putih berjalur kelabu yang dipakai lelaki itu telah dicemari dengan kesan air kopi hitam pekat.

"Sorry... Sorry!" Buru-buru Nurul Ain mencapai beberapa helai tisu lalu kotoran itu dikesat laju.

"Saya tak sengaja. Maaf..." tuturnya.

"Tak apa." Irfan berkata tenang. Helaian tisu tadi diambil dari tangan Nurul Ain. Gadis itu dipandang dengan otot muka melentur sedikit.

"Bukan sengaja pun." Dia berkata lagi. Kali ini lenturan itu semakin melebar.

Nurul Ain berundur beberapa langkah ke belakang. Terasa seluruh anggota tubuh menggeletar. Cawan miliknya dimasukkan ke dalam singki. Pili paip dipulas. Maka mencurah-curah air keluar dari bibir paip membersihkan kekotoran yang memalit cawan tadi.

Irfan menghampiri singki. Tangan kanan disua ke bawah curahan air dengan kelima-lima jarinya bertaut rapat. Belum pun sempat dia membasahkan kesan kotoran pada bajunya, perlakuannya pantas ditegah oleh sang gadis yang baru pertama kali dilihatnya di sini. Asing pada pengamatan pancaindera.

"Nanti kesan kotor tu semakin merebak." "Really?"

"Encik letak sabun ni sikit." Nurul Ain mengunjuk sebotol sabun tangan jenama Dettol kepada Irfan.

"Sapu bagi bersih sikit. Lepas tu, baru kesat dengan kain ni," lanjutnya seraya menghulur pula sehelai tuala lembap.

Irfan terangguk-angguk. Sesekali dia mencuri lihat paras gadis yang tidak diketahui apa namanya.

"Saya tak pernah nampak awak sebelum ni." Irfan kekal memperhalusi wajah manis itu sehingga ia terpeta dalam ingatan tanpa kesedaran nyata.

"Baru?"

Nurul Ain mengangguk. Cawan tadi diletak ke dalam sebuah bakul yang mempunyai jaring-jaring halus, yang memudahkan sisa-sisa air bilasan melaluinya.

"Sebagai?"

"Pembantu Kak Lufiya."

"Lufiya?" Nama itu disebut dengan nada aneh. "Lufiya perlukan pembantu? Seriously?" Ucapan itu lebih kepada tutur bicara kepada diri sendiri namun mampu didengari oleh Nurul Ain.

Dalam pada itu, ekor mata melirik jam di pergelangan tangan. Jam itu hadiah daripada Abdul Latif sempena menyambut ulang tahun kelahirannya beberapa tahun lalu. Ia sudah berusia hampir 15 tahun tetapi fizikal dan fungsinya seumpama jam tangan yang baharu.

"Encik, saya minta diri dulu." Lekas dia meninggalkan Irfan bersendirian di ruang pantri. Berbaki satu jam sahaja lagi sebelum waktu kerja tamat. Dia tidak boleh lewat pulang ke rumah kerana janji temu istimewa petang nanti akan menyusutkan sedikit kerinduan kepada seseorang yang telah tiada.

Irfan mencuri lihat gelagat sang gadis. Dahinya berkerut.

"Lufiya perlukan pembantu?" Suaranya halus terlontar keluar.

Mata bergelintar merata arah.

Nonsense!

Hati berdetik tidak percaya.

***

HATI kecil berbisik kata rindu nan menggunung. Biar jasadnya sudah tertanam di bawah sana, rohnya sudah kembali kepada Maha Pencipta, namu kasih-sayang Abdul Halim kekal membajai jiwa mereka. Malah kewujudan lelaki budiman itu seakan-akan kekal berada di sini.

Sesekali dia mencuri pandang ke arah dua manusia yang begitu khusyuk mengalun suara, membutirkan setiap kalimah suci dengan penuh perasaan. Terselit kehibaan di celah-celah bacaan yang ada ketika, menjadi bejat untuk beberapa saat.

Setelah selesai bacaan Yasin, kedua-dua belah tangan menjulang langit separas dada, menjunjung doa yang dibutirkan sayup-sayup.

Nurul Ain menundukkan kepala. Kolam mata berair tanpa kerelaan. Dia meraupi wajah apabila ungkapan dari hati kepada Maha Esa tamat. Kesempatan ini diambil sebaiknya kerana bukan setiap hari mereka datang mengunjungi pusara Abdul Halim. Yang pasti, sekurang-kurangnya dalam masa sebulan, dua atau tiga kali pusara itu diziarahi.

Abah, Ain rindu abah.

***

Bersambung

PERHATIAN: Semua karya di dalam wattpad ini dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987, dan merupakan hak milik mutlak Hanah Rishas dan syarikat penerbitan. Tindakan UNDANG-UNDANG akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba untuk menciplak.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 08, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

HINGGA AKHIR NAFASKUWhere stories live. Discover now