Novel HAN : Bab 2

1.5K 38 0
                                    

TIDAK cukup dengan janji temu tempoh hari, kali ini panggilan Sabrina diiringi dengan sesuatu yang sudah mampu dihidu oleh Tengku Hanif. Nama yang sering disebut-sebut Sabrina sebagai calon isteri yang menduduki carta paling teratas iaitu Kathy. Walhal sudah berkali-kali dia menolak dengan satu alasan tunggal – tiada cinta dalam hati.

"Ma..." Tengku Hanif kehabisan kudrat hendak memotong bicara panjang lebar mamanya.

"Tak apa, Hanif. Lama-lama nanti Hanif akan suka pada Kathy. Bila suka, boleh jatuh cinta. Bukan ke dulu Hanif dan Kathy tak boleh dipisahkan? Ke mana-mana berdua sahaja." Sabrina cuba memancing fikiran Tengku Hanif menjala masa lalu, yang dirasakan terlalu manis untuk dibenam jauh-jauh.

"Mama tak kesah berapa ramai anak kawan-kawan mama yang Hanif tolak. Tapi Hanif tahu kan, mama sangat sukakan Kathy." Unjuran kata-kata kali ini seolah-olah memaktubkan dengan siapakah dia akan menghabisi seluruh kehidupannya nanti.

Anak mata menyoroti siling. Kosong.

"Macam inilah mama, kalau ada jodoh nanti saya akan kahwin juga. Mama tak perlu risau. Semua tu dah diatur oleh Allah."

"Ya... Aturan Allah tetapi kita perlu berusaha juga, sayang. Hanif sudah dikira tak mahu berusaha langsung. Mama kenalkan dengan ramai anak perempuan kawan-kawan mama, tapi Hanif tolak mereka mentah-mentah. Mama sedang berusaha tetapi kamu tidak." Sabrina memuntahkan kekecewaannya di sebalik dinding komunikasi.

Sejurus, Tengku Hanif tertawa. Dalam pada sakit kepala, dia merasa geli hati sebenarnya. Bersungguh benar Sabrina memadankan dia dengan hampir kesemua anak-anak gadis kenalan wanita itu. Sehingga akhirnya terkeluar semula nama calon yang tidak pernah meminggir iaitu Kathy.

Dengusan kasar menembusi corong telefon bimbit menandakan pemunya suara tersebut mulai mendongkol marah.

"Kelakar?"

"Tak! Bukan macam tu. Mama jangan salah sangka." Lekas dia menuntas. Nafas ditarik dalam-dalam. Ekor mata melewati pintu yang mempunyai tempelan kaca pada bahagian tengah, berukir cantik di sekelilingnya dengan lekuk-lekuk flora yang menampilkan ciri tradisional kontemporari.

Kaca berkenaan membolehkan dia melihat-lihat sedikit suasana di luar ruang pejabatnya. Kelihatan Lufiya begitu sibuk menekan abjad-abjad di papan kekunci dengan mata tertumpu pada skrin komputer. Ternyata Lufiya seorang jurutaip yang handal kerana sekadar sesaat dua sahaja menumpahkan penglihatan ke bawah. Lagipula dia telah menyerahkan satu tugas kepada Lufiya dan meminta laporan penuh dihantar kepadanya selewat-lewatnya jam tiga petang.

"Dengar tak?"

Seolah-olah baru terjaga dari tidur, fikiran Tengku Hanif tidak berjaya menghadam bicara yang ditutur Sabrina kepadanya.

"Apa dia, mama?" Suaranya sarut melindungi rasa kalut.

"Esok ikut mama keluar." Tegas Sabrina memberi arahan.

"Ke mana?"

"Keluarlah."

Tengku Hanif menggaru dahi. "Ya, keluar tapi ke mana? Tentu ada tujuan."

"Makan tengah hari dengan bakal isteri Hanif."

Liur ditelan terasa kelat. Dia mampu menduga siapa gerangan 'bakal isteri' yang dimaksudkan mamanya.

Sebaik sahaja panggilan itu berakhir, tubuh terus tersandar lemah. Mata kekal membidik ke hadapan, lantas menembusi kaca itu dan menemukan susuk tubuh seorang gadis yang sudah bersiap-siap hendak kembali ke pantri.

***

Jemput minum, Datuk.

Nota kecil bertulis rapi dengan karbon pensel dibaca berkali-kali. Dia kehairanan.

HINGGA AKHIR NAFASKUWhere stories live. Discover now