BAB 16

1.3K 68 39
                                    

NAFAS dihela panjang. Zulfan merenung jam di dinding buat kesekian kalinya. Sudah pukul satu suku namun kelibat Delisha langsung tidak kelihatan. Mana Delisha ni? Gumam Zulfan di dalam hati.

Hatinya risau. Risau kalau-kalau Delisha tidak datang pada hari ini. Musnah habis rancangannya dan Adam kalau gadis itu tidak muncul. Dia juga takut jikalau sesuatu yang buruk terjadi pada gadis itu.

"Mana ni? Entah-entah dia tak datang," ujar Adam lantas menghenyakkan punggungnya di atas sofa.

Zulfan hanya mendiamkan diri. Wajah diraup berkali-kali.

"Kau okey tak ni?" soal Adam apabila melihat tingkah laku Zulfan.

"Aku tak okey. Aku risau, risau kalau apa-apa jadi pada dia... selalunya awal pagi dia dah datang tapi, sekarang dah pukul satu lebih," jawab Zulfan, serius.

"Kau jangan..." Adam terdiam apabila mendengar seperti pintu dikuak dari luar. Dia bangun. Berkerut dahinya apabila melihat keadaan gadis di hadapannya.

"Assalamualaikum..." lembut suara Delisha memberi salam. Wajah Zulfan dan Adam dipandang sekilas sebelum dia menundukkan kepalanya kerana tidak mahu mereka merenung wajahnya yang lebam. Dia sedikit terkejut apabila melihat Adam turut berada di dalam bilik itu. Mungkin dia dah tau, akulah orangnya dan akulah punca Zulfan jadi begini.

Salam dijawab di dalam hati masing-masing. Adam berkira-kira mahu menapak menghampiri Delisha sebelum Zulfan bersuara.

"Adam, boleh tak kau keluar kejap?" pinta Zulfan tanpa memandang wajah Adam. "Aku nak cakap dengan dia sikit."

"Okey, aku keluar dulu." Tanpa membuang masa, Adam terus melangkah keluar dari bilik. Sempat dia merenung wajah Delisha dengan lebih dekat. Kenapa muka dia lebam sampai macam tu sekali?

"Saya... nak mintak maaf, hari ni saya tak bawak makanan, saya..."

"Awak duduk atas kerusi ni dulu..." cantas Zulfan sambil menghalakan jari telunjuknya pada kerusi yang berada di sisi katil.

Delisha hanya menurut. Sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di atas kerusi, tangannya dipegang oleh Zulfan.

Delisha tergamam.

"Siapa buat awak sampai macam ni?" soal Zulfan serius sambil merenung pergelangan tangan Delisha.

Diam. Delisha hanya menundukkan kepalanya bersama kelopak mata yang sudah bertakung dengan air mata.

"Delisha, saya tanya awak... pandang muka saya. Siapa buat awak sampai tangan awak lebam ni?" soal Zulfan sekali lagi.

Perlahan-lahan Delisha mengangkat kepalanya.

"Ya Allah, muka awak pun lebam. Siapa pukul awak ni?!" suara Zulfan sudah mula meninggi.

Tersentak Delisha dibuatnya. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum dia mula bersuara.

"Lelaki tu, Black..." jawabnya sepatah.

"Dia buat apa? Dia sentuh awak ke? Bagitau saya cepat... apa dia buat?" soal Zulfan bertalu-talu.

Air mata Delisha mengalir. Dia benar-benar terharu dengan keperihatinan lelaki ini. Dia terasa selamat tatkala berada disisi Zulfan.

"Black... pecah masuk... rumah saya. Dia cuba... nak," Delisha terdiam, mencari kekuatan untuk meneruskan bicaranya, "Dia cuba nak..."

"Dia nak buat apa?"

"Nak perkosa saya..." jawab Delisha tergagap-gagap.

Bibir diketap. Mendidih darahnya selepas mendengar kata-kata Delisha. "Lepas tu? Apa yang... jadi?"

Tolong Jagakan DiaWhere stories live. Discover now