Prolog

3.1K 109 19
                                    

QAISER Humam Iskandar (Raja Pemerintah Iskandar) segera merapatkan daun pintu kamar mewah sebaik sahaja pengiring-pengiring abdi berlalu pergi. Sepasang bibir menguntum senyum manis tatkala figura lemah Qaisarah Zahsy (Permaisuri Zahsy) terbaring di atas katil menerpa pandangan. Seraut tampang pucat itu masih tetap ada serinya biarpun tanpa tempelan bedak dan gincu merah jambu kegemaran.

"Adinda Zahsy." 

Iskandar mengatur langkah mendekati geta (katil) peraduan lebar lagi empuk yang meriba tubuh si isteri. Agak lama dia dan si kekasih saling bertatapan tanpa kata sebelum Iskandar menghenyakkan punggung di tubir katil. Huluran tangan Zahsy pantas bersambut. Kucupan hangat hinggap di permukaan dahi si isteri yang dihiasi butir-butir peluh.

"Kanda Iskandar." 

Menjarakkan wajah, dagu Zahsy dipagut lembut. Pandangan Iskandar terpanah tepat ke dalam mata si isteri. Membiaskan kasih dan cinta yang tidak berpenghujung.

"Terima kasih dinda. Terima kasih untuk segala-galanya." 

Merekah senyuman di dua ulas bibir milik Zahsy. Sekonyong-konyong kolam mata berkaca. Bicara sang suami menggambarkan kegembiraan dan penghargaan mengirim perasaan terharu. Penghargaan tertinggi buatnya yang baru sahaja menamatkan pertarungan nyawa demi melahirkan zuriat sulung mereka.

"Dinda bahagia?" Perasaan sepatutnya sudah terpancar terang lagi nyata di tampang Iskandar. Tetapi masih juga Zahsy mahu mendapatkan pengesahan daripada lantunan suara lelaki itu. 

Dengusan halus meluncur laju. Kurang senang dengan pertanyaan Zahsy. Wanita itu seolah-olah meragui kasih sayangnya. 

"Tentulah dinda bahagia! Dinda tak pernah rasa sebahagia sekarang. Kehadiran kanda dan Amir (Putera)  begitu bermakna dan melengkapkan hidup dinda."

Senyuman Zahsy melebar. Hati berbunga-bunga disogok kata-kata cinta sang suami. 

Bersahaja sisi wajahnya mendarat di dada bidang milik Iskandar, Raja Pemerintah Daulah Dawama (Pemerintah Kerajaan Dawama).

"Berjanjilah dengan kanda yang dinda takkan tinggalkan kanda?" Tanpa amaran, Iskandar mengetatkan rangkulan di tubuh Zahsy hingga menyebabkan si isteri tercungap-cungap mencari oksigen.

"Kanda minta maaf.

Iskandar ditimpa rasa bersalah menyedari natijah tingkah di luar kawalnya hampir mengakibatkan Zahsy gagal bernafas. Sudahlah wanita itu baru sahaja melahirkan zuriat tercinta. Mujurlah cepat Zahsy meleraikan dakapan.

"Kanda Iskandar." 

Zahsy meletakkan jemari di belakang tangan Iskandar. Buat kesekian kalinya, senyuman manis terlorek di bibir nipis Zahsy.

"Dinda janji, dinda takkan tinggalkan kanda. Hati Zahsy hanya untuk Iskandar."

Iskandar pegun seketika memamah patah kata isterinya. Ingin sahaja tubuh kecil Zahsy dibawa ke dalam dakapan tetapi keinginan itu tergendala kala daun pintu kamar diketuk dari luar.

Zahsy segera berenggang dari si suami lalu membetulkan duduk. Bersandar lesu pada geta peraduan yang berhias indah. Dia hanya menayang riak tidak berperasaan menyedari senyuman sinis di hujung bibir Iskandar.

"Dinda malu ya orang tengok kita?" Sempat Iskandar mencuit hujung hidung Zahsy yang berubah rona kemerahan.

Seorang pengiring abdi perempuan melangkah masuk menghampiri peraduan megah setelah mendapat keizinan Iskandar. Tidak bertangguh, dia menyuakan putera kecil dalam gendongan yang dibaluti fabrik bermaterial mewah kepada Iskandar.

"Hamba bawakan Qaiser Amir, tuanku."

Lambat-lambat Iskandar menapak ke arah pengiring abdi yang mendukung zuriat sulungnya. Menggeletar sedikit jemari ketika menyambut tubuh kecil itu ke dalam dakapan. Lama anak mata tertunak ke raut polos Qaiser Amir yang membawa maksud 'putera raja' itu sebelum kucupan pertamanya singgah di dahi si anak.

"Qaiser Amir." Bertalu-talu kucupan menyerbu ke wajah Qaiser Amir memantulkan cinta dan kasih yang tertumpah di hati seorang bapa.

Pemandangan indah itu disaksikan Zahsy dengan perasaan berbaur. Antara sayu, sendu, bangga dan gembira bergaul padu.

"Dinda, tengoklah Qaiser Amir kita." 

Iskandar beralih langkah merapati Zahsy yang masih tersandar lemah di kepala geta peraduan. Bertenggek di birai ranjang, dia memangku Qaiser Amir menghadap si isteri.

Zahsy mengukir senyuman ketika wajah suci Qaiser Amir menyapa mata. Naluri keibuan begitu meronta-ronta dalam diri. Mendesaknya mengambil Qaiser Amir dari dukungan Iskandar. Namun keinginan itu dipendam dalam-dalam tatkala benak dijengah ingatan silam. Tak semena-mena jiwa dihambat takut dan bimbang. Dalam keengganan perasaan, Qaiser Amir disentuh dengan berlapikkan fabrik yang membaluti tubuh anak.

"Shakeel."

Zahsy terdongak melempar pandangan menagih penjelasan. Gagal memahami maksud bicara yang terlepas dari ulas bibir Iskandar.

"Kanda nak namakan Qaiser Amir kita, Shakeel. Apa pendapat dinda?"

Sesaat dua berlalu, Zahsy dan Iskandar saling bertatapan sebelum bertukar senyuman penuh makna.

"Apa yang baik bagi kanda, baiklah pada dinda. Dinda cuma harap yang Qaiser Amir kita membesar dengan sihat dan dilimpahi kasih sayang dari kita berdua."

Senyuman bangga terlakar di tampang Iskandar. Raut polos Qaiser Amir dipandang sayang.

"Shakeel." Lembut suara Zahsy memanggil si kecil.

"Qaiser Amir Tris Shakeel."

Semerta lembah rasa Zahsy bertukar suram tatkala nama penuh si anak didendangkan ke telinga. Tanpa undangan, kenangan silam bertalu-talu mengetuk kotak ingatan menghambat perasaan bahagia yang baru bertandang.

****

Iskandar tersentak. Sistem penggera keselamatan yang tiba-tiba bergema kuat menyergah semangat diri, mengejutkan sesiapa pun jua yang berada di dalam Qasrina Dawama (Istana Dawama) termasuk Qaiser Amir dalam dakapan. Sejenak dia dibelenggu kebingungan sebelum tubuh Qaiser Amir diserahkan kepada pengiring abdi yang setia tercegat di sisi geta peraduan.

Sama seperti Iskandar, Zahsy turut dilanda cemas.

Alat komunikasi tanpa wayar milik Iskandar bergetar rancak meminta talian segera disambungkan. Tidak bertangguh, Iskandar pantas menjawab. Ingin mengetahui punca penggera keselamatan bangunan utama qasrina tiba-tiba sahaja berbunyi.

"Kenapa General Mudrik? Apa yang dah jadi?" 

"Tuanku, Dawama diserang!" Suara garau Mudrik bergema di ruang udara kamar. 

"Apa?!" Iskandar sedikit terjerit melantun rasa kaget.

"Bangsa Luar tiba-tiba memberontak dan menyerang kami, tuanku. Hamba dan tentera gagal menghalang Bangsa Luar daripada menceroboh qasrina. Tolong tuanku, selamatkan Qaisarah dan Qaiser Amir. Hamba akan cuba melengah-lengahkan pergerakan masuk Bangsa Luar ke dalam qasrina selama yang mampu."

"Macam mana boleh jadi macam ni, Mudrik? Sistem keselamatan kita adalah yang terbaik. Macam mana Bangsa Luar boleh menceroboh masuk ke dalam qasrina?!"

"Hamba pun tak pasti tuanku, tapi hamba syak ni adalah angkara orang dalam. Bangsa Luar nampaknya memang dah tahu betul kedudukan kita."

Iskandar mendengus kuat. Menjulang api kemarahan di dada. Kalaulah pengkhianat itu berjaya ditangkap, sungguh dia tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman paling berat atas kesalahan berpaling tadah dari kerajaan terbesar dalam Dimensi Dua, Daulah Dawama.

Dia hendak menyambung kata apabila talian terputus tiba-tiba. Keluhan berat terhempas dari bibir. Kesal bergumpal di sanubari. Kenapalah hal itu terjadi pada saat dia dan Zahsy baru sahaja menimang cahaya mata.

"Kanda Iskandar."

Panggilan Zahsy meleraikan segala macam hal yang berselirat di fikiran Iskandar. Laju dia berpaling, memandang isteri tercinta.

"Dinda, maafkan kanda. Tapi kanda kena bawa dinda dan Qaiser Amir pergi dari sini."

Makluman berupa arahan Iskandar membuncah resah di hati Zahsy. Sempat dia mengerling Qaiser Amir dalam dakapan pengiring abdi.

"Dinda akan ikut kanda walau ke mana kanda pergi. Dinda sayangkan kanda!" Dalam resah, Zahsy tekad. Biar jasad hancur dimamah binasa, dia tidak akan sesekali berpaling lagi. 

TRISWhere stories live. Discover now