Part 3

1.1K 92 15
                                    

SETIA mengekori langkah lelaki tegap di hadapannya, habis segala batu, kayu, ranting dirempuh. Kewujudannya benar-benar tidak diumpamakan. Buktinya, lelaki itu terus melangkah walaupun Laela tertinggal di belakang tanpa menoleh walau sedikit.

Sesekali Laela berdesir, merasai kepedihan yang menjalar pada kulit. Calar-balar di sana-sini. Namun ketakutan memaksa Laela tidak mengendahkan kesakitan yang mengacah. Lebih baik dia menuruti lelaki itu daripada terus terperangkap di dalam hutan yang dipenuhi bermacam perkara yang tidak disangka-sangka.

Jantung seakan-akan berhenti berdegup apabila lelaki di hadapan berhenti tiba-tiba. Laela ikut mematikan langkah. Pandangan diliarkan ke kiri dan kanan. Bersiaga.

"Jangan bergerak."

Laela mematungkan diri. Patuh pada arahan si lelaki. Anak mata masih ditebarkan ke sekeliling. Tertunggu-tunggu kalau chupacabra muncul lagi.

"Sembunyi!"

Lelaki itu pantas mencengkam pergelangan tangan Laela lalu diheret gadis itu ke sebalik batang pokok besar. Tubuh Laela dalam pelukannya.

Nafas Laela tercungap-cungap. Ketakutan.

"Belajar kawal pernafasan kau kalau kau nak hidup lama. Bunyi nafas kau boleh tarik perhatian musuh!" Lelaki itu merapatkan bibir di telinga Laela. Berbisik perlahan. Cukup untuk pendengaran Laela seorang.

Laela yang panik segera menutup mulut. Di luar sedar, dia menekup muka di dada lelaki tegap di hadapannya yang terhendap-hendap di sebalik pokok.

"Malang betul kita ditugaskan berkawal kat sini! Mundur! Tak ada teknologi!" Sayup-sayup suara garau menampar pendengaran. Denyut jantung Laela semakin gancang.

"Apa boleh buat, dah Qaiser Humam yang nak kawasan ni disekat. Bangsa Campuran tak layak dapat kemudahan macam kita! Dia orang tu layak jadi hamba dan kuli aje!" Sahut satu suara lain.

Lelaki berkelubung mendengus. Sakit hati apabila manusia-manusia itu mempersendakan golongan bangsanya.

"Macam mana kita nak cari manusia tu? Entah ke mana dia pergi! Hisy, macam manalah dia orang buat kerja. Bukan ke semua pintu ke dimensi lain dah ditutup? Kenapa ada manusia luar yang boleh masuk ke dimensi kita lagi?!"

"Kebocoran kat kawasan ni yang susah nak kesan sebab tak ada liputan rangkaian perhubungan langsung! Sebab tu kita yang kena cari manusia tu!"

"Aku ni bimbang sebab chupacabra tu makin mengganas. Silap hari bulan kita yang kena baham dengan binatang tu!"

"Kau jangan sebut-sebut binatang. Kang muncul depan kita, tak cukup tanah lari!"

"Apa nak takut? Buat apa kita bawa pistol senapang bagai kalau tak nak guna? Kalau dia muncul, kita tembak ajelah!"

Laela masih menekup muka di dada lelaki berkelubung. Kaki terseret sama apabila kepalanya dipaut rapat ke dada lelaki itu, membawanya beralih tempat. Bersembunyi daripada manusia-manusia yang melintasi tempat mereka berdiri.

"Nyawa kau dalam bahaya. Tentera Dawama dah tahu pasal kau."

Laela memanggung muka. Reaksi yang tertayang pada raut di hadapannya cukup untuk memaklumkan bahaya telah berlalu. Perlahan-lahan dia berundur, menjauh dari lelaki itu.

"Nasib kau baik sebab kawasan ni tak ada teknologi canggih. Kalau tak, mesti kau dah mati ditembak."

"Sebenarnya ini tempat apa? Kenapa perlu buru orang macam aku? Aku bukan ada niat jahat. Aku sesat!" Bentak Laela tiba-tiba. Sudah tidak betah mengemam tanda tanya.

Lelaki berkelubung memandang Laela seketika sebelum berpusing, meneruskan langkah. Itu pun setelah pasti tentera-tentera Dawama tadi sudah menjauh.

"Malang nasib kau sebab tersesat di Dimensi Dua. Qaiser Humam, pemerintah Dimensi Dua bencikan Bangsa Luar macam kau. Dia sanggup lakukan apa saja demi buru manusia yang dianggap musuh kerajaan."

Laela merengus kuat. Masih belum memahami duduk sebenar tentang tempat yang sedang dipijak. 

"Tapi aku bukan nak bermusuh. Kenapa perlu bunuh?"

"Sekali pun kau tak dibunuh, hidup kau tetap terseksa. Kau akan dijadikan hamba abdi atau hamba seks!"

Laela terpempan. Terkejut menerima maklumat dari lelaki itu.

"Jadi kau kena pilih mana yang terbaik. Sama ada kena bunuh, atau jadi hamba." Lelaki itu langsung tidak menunjukkan sebarang emosi. Seolah-olah hal nyawa dan maruah diri bukan soal yang penting baginya.

"Aku tak nak dua-dua! Aku cuma nak balik tempat aku!" Enggan tinggal diam, Laela menempelak garang. 

"Baliklah! Aku tak halang pun. Aku dah cakap yang keselamatan kau bukan tanggungjawab aku."

"Tapi aku tak tahu nak ke mana. Aku tak kenal tempat ni. Tolonglah aku." Laela kembali mengendurkan suara. Cuba meraih simpati lelaki yang nampak tidak berperasaan itu.

"Silap aku tolong kau. Sepatutnya aku biarkan kau mati dimakan chupacabra. Tak pasal-pasal kau menambahkan beban aku!"

Tersentap namun Laela menyabarkan hati. Hendak memohon pertolongan, jadi terpaksalah dia menahan rasa.

Keberanian Laela kembali hilang tatkala siulan-siulan menyeramkan berdendang di telinga. Bulu tengkuknya berdiri tegak. Di luar pengetahuan lelaki berkelubung, Laela memendekkan jarak. Takut dibiar jauh ketinggalan.

"Aku tak rasa aku boleh tolong kalau kau berterusan takut macam ni. Ketakutan kau akan menyusahkan aku kelak."

Kaki Laela terhenti sejenak. Tetapi dia kembali mengayun langkah mengejar lelaki berkelubung. Tidak menyangka lelaki itu berjaya menghidu kegusaran yang bersarang di dadanya. Namun Laela senang hati. Makna di sebalik kata-kata lelaki itu menghantar girang. Lelaki itu menyatakan persetujuan hendak membantu.

Lebih sejam berjalan, Laela termengah-mengah kepenatan. Tanpa mengambil kira sedikit pun kondisi tubuhnya, lelaki itu terus sahaja meneruskan perjalanan tanpa berhenti.

Dia menarik nafas lega apabila mereka tiba di sebuah perkampungan. Kelibat manusia-manusia lain menenangkan jiwa Laela.

Lelaki berkelubung berhenti mengejut membantutkan langkah Laela.

"Bila ada yang tanya kau dari golongan mana, cakap aje kau adalah Tris. Kalau kau bertindak bodoh ceritakan asal-usul kau, aku takut tentera Dawama akan tahu. Kau kena ingat yang kawasan Bangsa Campuran dikawal ketat oleh kerajaan." Lelaki berkelubung memberi amaran keras.

Dalam faham tidak faham, Laela angguk juga. Kalau berbantah-bantah nanti lelaki berkelubung itu menolak mahu membantu.

"Pakaian aku berbeza dari orang lain." Laela mengungkitkan hal yang pasti akan menimbulkan syak penduduk kampung.

"Tak apa. Mereka faham kalau kau adalah Tris."

Laela mengangguk mengerti.

Tiada apa lagi yang hendak dipesan, lelaki berkelubung membawa Laela menuju masuk ke kawasan perkampungan.

Seboleh mungkin, Laela cuba menayang senyuman paling natural. Ragu-ragu dan cemas cuba ditindih sekuat hati.

"Daris!"

Hampir serentak Laela dan lelaki berkelubung berpaling, memandang seorang lelaki berpakaian seragam tentera Dawama yang memanggil.

Sekonyong-konyong dada Laela dihentak debaran.

TRISWhere stories live. Discover now