Part 8

862 74 8
                                    

"So, bila kita nak mulakan perjalanan?" Laela mendekati Daris yang sedang duduk bersendirian merenung langit hitam. Entah apa yang dilihat pun dia tidak tahu. Hitam legam tanpa sebutir bintang.

Daris tersentak. Lamunan tercantas. Pantas dia berpaling pada Laela, gadis asing yang kini menjadi isterinya. Lama anak mata tertunak ke laman wajah Laela. Tidak percaya takdir telah menyatukan mereka berdua dalam sekelip mata.

Suami isteri. Dia suami, Laela isteri. Ikatan yang dianggap sangat bermakna pada sesetengah pasangan tetapi bukan pada dia dan Laela. Ikatan itu sekadar ingin menyelamatkan Laela dari cengkaman tentera Dawama.

Selamba Laela meletakkan punggung di sebelah Daris. Lelaki bergaya ringkas itu menjadi santapan mata. Tiada busur. Tiada kelubung lusuh. Hanya Daris.

"Nampaknya kau memang tak sabar nak explore Dawama." Daris kembali memusatkan pandang ke dada langit. Hati lapang semula. Damai memeluk erat setiap kali dada langit jadi santapan mata. Langit yang mengingatkan dia pada seseorang. Seseorang yang telah pergi jauh.

"Ayah aku kena tahan dalam penjara, Daris. Ayah aku nak kena bunuh. Macam mana aku boleh tinggal diam?." Perlahan saja lontaran suara Laela. Menyingkap sendu yang menguasai.

Laela dikerling sekilas. Mengerti suram gadis itu. Walang mengenangkan nasib si ayah yang entahkan selamat atau tidak.

"Aku nak kau bersedia mental dan fizikal sebelum kita bertolak. Perjalanan ke Qasrina Dawama bukan sekejap dan mudah macam kat hutan. Chupacabra tu hanya binatang picisan. Kat luar sana ada yang lagi menakutkan yang tunggu kita."

Dengar nama chupacabra saja pun sudah cukup untuk membuat bulu roma Laela tegak berdiri. Apatah lagi membayangkan binatang yang lebih dahsyat daripada itu. 

Ah, dunia seperti apalah ini? Penuh dengan bahaya!

Daris dikerling.

"Kau nak aku buat apa?"

Seketika Daris diam. Membiarkan pertanyaan Laela disambut angin lalu.

"Sekurang-kurangnya kau kena belajar memanah. Aku nak kau lindungi diri sendiri. Aku takkan selalu ada untuk tolong kau."

Arahan Daris menggerakkan saraf otak Laela agar bekerja. Mencari gerangan siapa yang boleh jadi guru memanahnya namun tiada.

"Aku tak ada kenal sesiapa yang pandai main panah kecuali...kau!"

Telunjuk menghala pada Daris. Sepasang mata Laela membulat memancar teruja. Kiranya hajat mahu menyelamatkan Ramli semakin dekat kalau Daris sudi membantunya bermain panah.

Wajah Laela dipandang. Terselit tidak percaya dalam renungannya yang tajam.

"Betul kau nak belajar memanah dengan aku?" Ada sangsi yang terburai di balik nada suara. Ragu melihat keazaman Laela yang begitu nekad. 

Ah, kalau tidak bersungguh-sungguh, masakan Laela sanggup berkahwin dengannya.

Laju Laela mengangguk mengundang senyuman kecil di tepi bibir Daris. Lambat-lambat dia mengangguk. 

"Baik, kalau tu yang kau nak. Aku boleh tunaikan." Bingkas Daris berdiri.

"Kau tunggu kat sini. Kejap lagi aku datang balik." Tanpa menghiraukan Laela yang terpinga-pinga, Daris berlalu pergi. 

Tidak lama. Lelaki itu kembali bersama busur besar berwarna kuning keemasan dan bekas silinder berisi anak panah. Kedua-duanya diletakkan di atas tanah, tidak jauh dari Laela.

"Ujian pertama. Aku nak kau angkat busur tu." Tegas suara Daris memberi arahan. Selamba dia bersandar pada batang pokok. Senyuman sinis setia di bibir.

TRISWhere stories live. Discover now