Krukkk! Krukkk! Sahak tekan perut. Dia menjeling jam tangannya, pukul lapan pagi. Ini bermakna sudah dua jam dia lari dari rumah, jika mengikut undang-undang yang ditetapkan, keluarga Sahak belum boleh risau dan pergi ke balai polis untuk buat laporan tentang orang hilang.
Sahak pejam mata rapat-rapat. Rasa menyesal membuat keputusan lari dari rumah mula terbit dalam hati, lagi satu dia juga menyesal kerana terlalu mengikut hawa nafsu meninggalkan rumah tanpa menjamah atau membawa sedikit makanan.
Satu ketika dahulu, Sahak pernah juga lari dari rumah, ketika itu waktu makan tengahari, Pak Mail, abahnya menjeling kerana Sahak lekas-lekas mengambil paha ayam masak kari, sedangkan paha ayam adalah bahagian yang paling Pak Mail gemar. Oleh kerana jelingan Pak Mail telah mengguriskan hati nuraninya, Sahak bertindak lari dari rumah. Waktu itu dia juga nekad tak mahu kembali ke rumah lagi, namun rasa lapar yang menguasai buatkan dia mengalah dan kembali semula ke rumah. Pak Mail dan Mak Siti, emak Sahak ketawa selama seminggu.
Itu dulu, hari ini Sahak betul-betul nekad, jika lapar ini adalah satu pengorbanan untuk sebuah kejayaan, dia sanggup menempuhinya. Orang berjaya akan diuji dengan pelbagai kesusahan, supaya bila sudah berjaya dan kaya-raya tidaklah mengambil gambar sepasang selipar mahal harganya dan mengatakan selipar itu hanya dipakai untuk ke pasar.
Krukkk! Ptooofff! Satu per satu tali perut Sahak mula putus. Cacing dalam perutnya juga mula mengamuk.
Marsya! Jerit Sahak dalam hati. Sahak bukanlah seorang yang boleh diduga, jika kebanyakkan orang akan memikirkan tentang makanan dikala kelaparan, dia pula memikirkan tentang seorang perempuan. Ada ketikanya dia akan memikirkan bagaimana kaedah cara penanaman pokok koko oleh orang Brazil ketika dalam ketakutan. Pernah sekali dia memikirkan tentang gunung berapi ketika bersalaman dengan emak dan abahnya di pagi hari raya. Benar-benar susah diduga apa yang ada dalam kepala Sahak ini.
Marsya adalah satu nama milik seorang perempuan yang dia cintai dalam diam. Entah mengapa setiap kali dia bertemu dan mahu meluahkan isi hatinya kepada Marsya, dia jadi gugup tatkala terbau haruman minyak wangi yang dipakai oleh Marsya. Dan kebiasaannya dia akan meminta izin untuk pulang ke rumah dan menunaikan mandi wajib.
Sahak mengimbau kembali pertemuan pertamanya dengan Marsya. Saat itu dia berkunjung ke gerai jus jambu milik Marsya di simpang tiga berhampiran rumahnya. Oleh kerana tertarik dengan rupa paras Marsya yang sedap mata memandang sedap lagi bahu memikul, Sahak membeli lima bungkus jus jambu asam boi yang dijual oleh Marsya dengan harga setiap satunya RM19.90.
Dengan riang Sahak terus pulang ke rumah dan malam itu dia, abah dan emaknya makan malam dan minum jus jambu.
"Apakah gerangan airnya ini, anakanda? Apakah ini yang dikhabar orang air neraka?" kata Pak Mail seraya meludah. Hati Sahak terguris lagi, tanpa menyudahkan makan malam, Sahak berlari ke bilik dan menangis.
Marsya! Abang akan pulang dengan kejayaan. Tunggu! Sekali lagi Sahak tumbuk cermin tingkap bas.
