Sahak tersengih membaca pesanan yang dihantar oleh Emilia melalui aplikasi Whatsapp. Emilia meminta Sahak untuk datang lebih awal ke pejabat, kerana papa Emilia mahu bertemu dengan Sahak untuk berbincang mengenai tawaran perkerjaan dan gaji kepada Sahak.
You datang awal besok, papa nak discuss dengan you.
Sahak tersengih sedikit lebar bila membaca perkataan discuss. Bukan orang biasa biasa yang boleh guna perkataan itu. Dan Sahak yakin dia adalah orang pertama di kampungnya yang menerima pesanan bertulis perkataan discuss ini. Sahak tepuk dada dua kali sebagai tanda dia sudah berada di kelas atas atas.
Sahak lekas lekas membalas pesanan dari Emilia, mengatakan dia akan tiba awal di pejabat. Sengaja Sahak tidak membalas emoji senyum kenyit mata yang dihantar oleh Emilia, walaupun hati Sahak meronta ronta mahu membalasnya.
Sahak baring di atas katilnya sambil melihat ke Kamil yang sudah lena diulit mimpi. Sesekali mulut Kamil terbuka sedikit menampakkan taringnya. Misai Kamil juga bergerak gerak, entah apa yang dimimpikan oleh Kamil ketika itu.
Sahak mengubah posisi dari baring terlentang ke posisi mengiring menghadap ke Kamil. "Untung juga aku jumpa kucing gila ni, kalau tidak mampos aku sorang sorang dekat Kolumpo ni." Kata Sahak dalam hati.
Sahak bangkit dari katilnya dan duduk mencangkung di depan kepala Kamil. Naluri Sahak kuat mahu mengucup kepala Kamil sebagai tanda terima kasih. Namun setelah memikirkannya dengan masak masak, Sahak berubah fikiran. Sahak bangun meninggalkan Kamil dan menuju ke bilik air.
Setelah selesai, Sahak kembali baring ke katilnya dan tersenyum melihat Kamil yang sudah tak bermisai.
"Biar dia tak boleh balik terus ke kayangan, tinggal je dengan aku dekat sini."
Sahak tersengih, tarik selimut dan terus tidur.
![](https://img.wattpad.com/cover/133556577-288-k383092.jpg)