Bab 3

656 26 8
                                    

“KAU kat mana, Ayesha?” Suara Dila yang nyaring kedengaran di tepi telinga pagi itu membuatkan aku laju menjauhkan telefon bimbitku dari telinga. Boleh pekak aku jadinya kalau Dila dah naik suara sebegitu.

“Dari semalam aku cuba call kau tapi tak berangkat. Kenapa kau tak datang kerja?” Dila masih tidak jemu menyoal walau soalan tadi pun aku belum jawab.

Aku diam sambil mengerling ke arah jam di dinding bilikku. Sudah menginjak ke angka sembilan setengah pagi, saat di mana sepatutnya aku berada di pejabat waktu ini.

“Ayesha! Aku cakap dengan kau ni. Kau dengar tak?” nada yang sudah naik beroktaf-oktaf itu membuatkan aku melepaskan keluhan yang paling berat. Lama aku berjeda sebelum cuba menjawab pertanyaan Dila yang masih setia menanti di hujung talian sebelah sana.

“Aku dah berhenti kerja. Notis dua puluh empat jam. Aku dah hantar emel dekat HR semalam.”

What? Kerja gila apa kau buat ni, Ayesha? Kenapa sampai macam ni sekali?”
Aku mengetap bibir bawah dengan kuat. Memang kerja gila tapi kalau aku tak buat benda ni, barangkali aku yang bakal jadi gila.

“Nanti aku jelaskan semuanya. Sekarang bagi aku tempoh untuk bertenang dulu, Dila.”

“Kau nak bertenang dari apa? Serius aku tak faham.”
Aku mengetap bibir, menahan gelora dalam hati.

“Kau tahu, Rizwan tanya aku banyak kali, mana kau pergi, kenapa tak masuk kerja? Dia call kau katanya tak dapat. Naik stress aku nak melayan dia.” Aku mendengus sebaik mendengar Dila menyebut nama itu. Memanglah dia tak dapat call aku, sebab aku dah block nombor dia dalam telefon bimbit aku ni. Huh!

“Dah, kau tak payah layan dia. Kalau dia tanya apa-apa, kau cakap je tak tahu. Pasal kau dapat cakap dengan aku ni pun, tolong jangan bagitahu dia, Dila. Tolong ya, aku percayakan kau.” Aku bersuara separa merayu.

Dila mendiamkan diri. Mesti dia tak faham, sebab aku pun tak terangkan apa-apa langsung dekat dia pasal hal ni.

“Kau kenapa ni beb? Rizwan ada buat apa-apa ke?” Dila menyoal aku dengan suara yang jelas kerisauan, membuatkan mataku mula terasa panas dan berkaca.

“Aku... aku dah putus dengan dia.” Aku meluahkan dengan susah payah.

What? Serius? Takkanlah? Perkara teruk apa yang Rizwan dah buat sampai kau sanggup putuskan hubungan kau orang yang dah dua tahun ni?”
Aku menghela nafas yang terasa semakin berat saat wajah Rizwan kembali menerjah dalam fikiran.

“Balik nanti aku cerita semuanya dekat kau. Sekarang bagi aku masa ya, Dila.”

Aku terdengar helaan nafas Dila di hujung sebelah sana.

“Okay fine, pastikan kau cerita nanti. Ni kau ada mana? Kau okay tak ni?”

“Aku okay. Kau jangan risau. Aku tak ke mana pun, cuma aku perlukan masa untuk bertenang, Dila.”

“Okay, beb. Kau jaga diri tau. Jangan sedih-sedih. Perlu apa-apa, nak luah perasaan ke, cepat-cepat call aku tau.”

“Terima kasih, Dila. Aku sayang kau.”

“Aku pun sayang kau.”
Aku menekan butang merah sebaik selesai bercakap dengan Dila. Nafas yang terasa berat mencengkam dada, aku hela perlahan-lahan dan air mata yang sudah bertakung, aku seka pantas.

Kau kuat, Ayesha! Kuat!
Aku membisikkan kata semangat kepada diri sendiri sebelum bingkas bangun dan keluar dari bilikku. Tidak mahu terus hanyut dalam emosi dan kesedihan yang berpanjangan. Lagi aku fikirkan pasal ni, lagi susah aku nak teruskan hidup.

Jodohku Jejaka JelitaWhere stories live. Discover now