Bab 9

519 18 1
                                    


AKU menyeka air mata yang mula berhamburan di pipi saat aku duduk di sisi emak dan abah di ruang tamu itu. Ayie sedang menyapu ubat di pipi Andra di dalam bilik.

“Kakak minta maaf sebab tak terus-terang dari awal. Bukan niat kakak nak sembunyikan hal yang sebenar tapi kakak malu dengan emak dan abah. Mesti emak abah harapkan kakak ke jinjang pelamin lepas lama bercinta dengan Rizwan. Tapi...” Aku menunduk, kelu lidah hendak menyambung bicara.

            “Tak apa, kakak pun tak jangka benda nak jadi macam ni. Tapi boleh emak tahu apa sebab kamu putuskan hubungan dengan dia dan sampai buat dia merayu macam tu sekali dekat kamu?”

Soalan emak itu membuatkan aku menelan liur yang terasa pahit. Wajah gadis bernama Zarina itu kembali muncul dalam ingatan.

“Baru-baru ni, tunang Rizwan datang jumpa kakak.”

“Tunang?” abah tiba-tiba menyoal.

Aku mengangguk sebelum menatal skrin telefon bimbit dan membuka semula gambar yang kutunjuk pada Rizwan di luar tadi. Gambar Zarina tersenyum manis berbaju kurung moden di atas pelamin dan lelaki yang sangat aku kenali itu ada di sisinya. Ya, Rizwan sedang mengukir senyum bahagia.

Bukan gambar itu saja yang aku ada, tetapi ada beberapa keping gambar lagi kiriman Zarina yang membuktikan mereka bercinta sejak dari zaman universiti, lima tahun yang lalu, lebih awal dari waktu Rizwan bercinta dengan aku. Dan ini bermakna aku yang merampas Rizwan dari Zarina, bukannya Rizwan yang curang pada aku. Perkara itu langsung aku tak boleh terima!

“Tapi kakak tak ada niat pun nak rampas Rizwan tu dari orang lain kan?” emak menyoal usai aku menjelaskan segalanya.

Aku menggeleng laju.

            “Tak, kakak tak tahu pun dia dah ada perempuan lain masa kakak kawan dengan dia.”

            Emak mengangguk sebelum mengelus bahuku lembut.

            “Kalau macam tu, kakak janganlah rasa bersalah ya.”

Aku mengangguk.

“Kakak masih sayangkan dia?” Aku terkedu mendengar soalan cepu emas daripada emak, tidak tahu bagaimana hendak membalas. Setelah membina cinta ini bertahun-tahun, takkanlah semudah itu rasa sayang aku hilang kan? Tapi aku sedang cuba menyingkirkan segala rasa ini jauh-jauh. Aku tak sanggup menjadi orang ketiga yang merosakan hubungan orang lain walau aku tidak pernah tahu yang aku ini orang ketiga. Kurang asam punya jantan!

            “Kakak dah berjanji nak buang semua perasaan ni, emak. Kakak tengah cuba.” Lirih aku bersuara, saat air mataku hampir tumpah.

            “Bagus, kakak. Lupakan semua perasaan kakak dekat dia dan bina semangat baru. Kakak kena ingat, kami semua sayang kakak dan tak nak kakak derita, lagi-lagi sebab lelaki yang tak reti hargai kakak dan menipu kakak. Kakak kena kuat, okay?”

            Aku mengangguk sebelum memeluk emak dengan erat. Air mata yang kutahan sedari tadi, berderai juga di pipi. Terasa hilang sedikit beban setelah dapat meluahkan perkara sebenar yang menghimpit hatiku selama ini.

“AWAK masih nak balik KL malam ni jugak ke?” aku menyoal Andra dengan risau saat menghantar jejaka itu ke keretanya yang diparkir di luar pagar rumahku. Lebam di bibir kirinya jelas kelihatan.

            “Haah, esok pagi saya ada meeting dengan klien.” Dia bersuara membuatkan helaan nafasku terasa berat. Benar-benar rasa bersalah.

            “Maafkan saya, sebab saya awak jadi macam ni. Macam mana nak jumpa klien dengan muka lebam macam ni?”

            “Alah tak apa, nanti saya pakai concealer, tutup lebam ni. Awak janganlah risau.” Dia tersengih. Ceh, mesti dia lagi pandai mekap daripada aku kan?

            Aku mengangguk.

            “Itulah lain kali jangan tunjuk kuat, kan dah kena debik. Awak tu lemah gemalai je, entah-entah lagi lemah daripada saya.” Aku mencebik membuatkan dia ketawa.

“Walaupun saya ni nampak je macam perempuan, tapi dalaman saya lelaki tau. Fizikal saya ni kuat, setakat kena tumbuk dengan jantan lembik tu tak jadi apalah.”

            “Amboi cakap besar nampak, tak ingat ke tadi awak sampai tergolek dekat tanah tu.” Aku memerli.

            Dia ketawa lagi sambil menggaru kepalanya.

            “Apapun saya nak minta maaf dekat awak, dan terima kasih sebab tolong saya tadi.” Aku bersuara kembali setelah lama berjeda, benar-benar maksudkan kata-kataku itu.

            Andra diam sambil merenung aku lama.

            “Saya tak kisah pun, cuma awak tu. Awak okay ke?” soalnya tiba-tiba.

            “Saya? Saya okay je. Jangan risau.” Aku tersengih.

            “Awak tak nak terima dia semula ke? Saya tengok dia tu macam betul-betul sayangkan awak.” Dahi Andra berkerut memandang aku.

            Aku melepaskan keluhan berat sebelum menggeleng.

“Apapun alasan dia, saya takkan terima dia balik. Saya tak sanggup nak bina kebahagiaan saya daripada air mata perempuan lain.”

Andra mengangguk.

“Bagus kalau awak fikir macam tu. Jangan goyah pulak dengan keputusan awak ni. Awak kena jauhkan diri daripada jantan macam tu tau.”

Aku ketawa mendengar celoteh Andra.

“Ya baik! Awak janganlah risau. Saya takkan goyah. Ini Ayesha Humairalah.”

“Sebab awak Ayesha Humairalah saya risau. Awak tu nampak je kuat, tapi hati awak tu lembut. Cepat kasihan dekat orang. Macam saya tak kenal awak.” Aku tergamam mendengar kata-kata Andra. Tidak menyangka Andra masih ingat tentang perangai aku yang satu itu.

“Awak jaga diri tau. Nanti contact saya bila awak dah balik KL. Nombor saya ada emak simpan.” Andra bersuara lagi saat dia sudah membolos masuk ke dalam keretanya.

“Yelah. Saya pandailah jaga diri, saya bukan budak kecik lagi.” aku mencebik.

Andra sekadar tersenyum sambil mengangkat tangannya sebelum cermin keretanya dinaikkan dan dia memecut laju meninggalkan perkarangan rumahku. Aku menghantar keretanya pergi dengan keluhan yang masih tidak lekang daripada bibir.

Ya betul cakap Andra, hati aku ni memang lembut. Sebab tu walaupun dah banyak kali aku ajak Rizwan kahwin tapi dia mengelak, aku tetap jugak setia, tetap jugak sayang. Betapa bodohnya aku tak nampak permainan dia selama ni. Sekarang semuanya dah berakhir dan aku takkan sesekali terima semula lelaki yang sudah menipu aku selama dua tahun ini. Aku takkan berlembut lagi kali ini!

Jodohku Jejaka JelitaWhere stories live. Discover now