Bab 1

1K 25 2
                                    

“Aku tahu aku bukan mak yang baik. Aku sara kau dengan hasil duit haram tapi aku nak kau jadi orang. Jadi manusia yang berguna dan boleh aku banggakan. Jangan jadi macam aku. Belajar bodoh, perangai tak senonoh. Kau kena ingat pesan aku ni Kim. Kalau aku tak ada nanti, pilih hidup yang baik dan dipandang tinggi masyarakat. Aku tahu anak aku kuat sama macam aku.”

Mata yang berkaca di seka dan nafas yang seakan tersekat di kerongkong dihela. Walaupun sudah tiga belas tahun tetapi kata-kata itu seakan baru semalam dia dengar.

“Mak!” panggilnya perlahan dan pandangan dibuangkan ke dada langit.

“Mak, mungkin aku tak sehebat mana nak buat mak bangga tapi selama mak tak ada, aku tak pernah buat perkara yang kotor untuk meneruskan hidup.” Hati berbisik dan pandangan dijatuhkan ke pasir semula.

“Bos!”

Terdengar kuat suara Budin memanggilnya, Hakim angkat kepala. Mata yang masih berkaca pantas digosok. Nampak si Budin mata dia berair, mahu kena bahan dia.

“Apahal?” tanyanya sedikit keras. Saja bajet dia okey saat itu padahal dari tadi hatinya menangis.

“Beng tanya kereta dia boleh siap tak malam esok? Lusa dia ada race.”

Keluhan kecil dilepaskan dan dia bingkas bangun. “Kau suruh dia datang ambil petang esok. Ada sikit lagi aku nak adjust.” Suruhnya dan punggungnya dikibas membuang habuk-habuk kerusi kayu yang melekat ketika dia duduk tadi.

“Baik bos!” Budin terus angkat kaki beredar dari situ.

Sekali lagi nafas di hela. Bengkel kereta yang didirikan di atas tanah milik mak cik Hasmah, wanita yang banyak membantunya sejak kematian ibunya dan terletak di pinggir bandar itu dipandang puas. Itulah hasil dari kerja kerasnya. Apa sahaja kerja yang tidak dia lakukan demi untuk membina bengkel tersebut. Walaupun tidak segah bengkel-bengkel yang ada di sekitar kawasan Bukit Beruntung tersebut tetapi dia bangga. Sekurang-kurangnya dia tetap jadi manusia walaupun pendidikannya setakat tingkatan empat sahaja.

Lama berdiri memerhati hasil penat lelah selama sepuluh tahun itu, langkah dibuka. Baru beberapa langkah kaki diayun, terdengar suara seseorang memanggilnya dari belakang. Hakim berpaling.

“Yaya.” wajah yang kaku tadi terus bertukar senyuman. Gadis comel yang berusia 22 tahun di hadapannya itu dipandang penuh minat. “Ada apa tiba-tiba datang bengkel abang?”

“Mak suruh hantar makan tengahari untuk abang.” Mangkuk tingkat berwarna perak di tangannya dihulurkan untuk Hakim sambut.

“Alaaa, buat susah-susah aje. Abang boleh aje makan dekat kedai depan tu.” Desir Hakim perlahan. Malu dia sebenarnya dengan keluarga mak cik Hasmah. Sudah terlalu banyak bantuan yang dihulurkan oleh wanita separuh umur itu kepadanya selama ini. 

“Tak payahlah abang nak malu-malu pulak. Macam tak biasa.” Usik Hidayah bersama tawa kecil di bibir. “Ambil ni. Yaya nak balik.” Mangkuk tingkat di tangan dihulurkan lagi.

“Tak nak makan dengan abang sekali ke?” Hakim mengusik pula.

“Tak kuasa!” Hidayah cemikkan mulut.

Hakim tersengih. Tak kuasa konon padahal malu. Tengok muka Hidayah yang sudah berubah rona itu pun dia tahu. Anak mak cik Hasmah yang bongsu ini memang cantik orangnya. Bagi pandangan mata dia lah. Di mata orang lain dia tak tahu. Sudahlah cantik, sopan santun orangnya. Hati berkenan tetapi memikirkan latar belakang hidupnya, dipendamkan sahaja perasaan yang bercambah untuk gadis itu dalam-dalam.

“Marilah temankan abang makan sekali. Nanti boleh bawak balik mangkuk tingkat ni terus.” Pujuk Hakim pula. Sengaja hendak berlama-lama dengan gadis itu sebenarnya.

DEMI KAMU ANNA BALQISWhere stories live. Discover now