Bab 4 - Lepaskan diri

613 15 4
                                    

“Woiiii! Cepatlah! Dah berjanggut aku tunggu kau bersiap.” Jerit Karim sambil mengetuk dan pintu sekuat hati. Ikut hilang sabar dia, pecah pintu itu dia kerjakan. Dia pula memang sejak semalam lagi sudah panas hati sahaja dengan gadis itu.

“Eloklah berjanggut nampak beriman sikit. Tak adalah nampak macam samseng kaki lima!” jerit Balqis dari dalam biliknya.

Malek dan Karim berpandangan dengan muka berkerut-kerut geram. Dalam keadaan begitu pun masih berani lagi gadis itu membalas.

“Mulut kau ni memang celupar kan? Nasib baik Hendry suruh jaga kau, kalau tidak memang dah aku siku-siku muka kau!” bentak Karim dan daun pintu ditumbuk kuat.

Balqis hanya mencemik sahaja dijerkah begitu.

“Cepatlah!” jerit Malek pula.

“Kau reti sabar tak? Aku tengah bersiaplah ni.” Balqis ikut menjerit. Sambil membetulkan rambutnya yang siap didandan Mary tadi, daun pintu dijeling.

“Cepat sikit! Dah pukul enam petang dah ni. Kalau lambat mengamuk Hendry nanti.”

Balqis jelirkan lidah mengejek. Kau ingat aku hairan kalau Hendry mengamuk? Lantak dialah situ. Paling tidak pun korang berdua yang kena hamun. Malas  hendak melayan amarah Karim, pandangan dibuangkan ke cermin semula. Melihat dirinya saat itu, kepala digeleng.

Nampak cantik tapi berpakaian tak cukup kain begini bukan kau! Ejeknya kepada diri sendiri.

“Hei! Perempuan! Kau tak keluar sekarang aku pecahkan pintu ni.” Suara garau Malek berbunyi lagi. Berasa jengkel, dengusan keras dilepaskan. Rela dalam terpaksa akhirnya dia akur. Sejak malam tadi puas dia mencari peluang untuk lari tapi tiada satu laluan pun di dalam bilik itu yang dapat membantu rancangannya.

“Aku nak keluarlah ni!” bentaknya dan mula atur langkah. “Baju ke sarung nangka ni? Bukan main ketat lagi.” Bebelnya apabila langkahnya terasa janggal. Gaun malam pendek atas lutut yang dipakainya ditarik ke bawah sedikit kemudian dia mendengus. Ditarik ke bawah, dadanya pula yang terdedah. Arghhhh! Tak guna betul!

“Siapalah yang bongok sangat agaknya reka baju bodoh macam ni!” marahnya dan terus melangkah. “Hesy…kasut tinggi yang dia pakai ini pun satu hal juga. Menyusahkan!” mulut terus membebel. Sebaik sampai di muka pintu, daun pintu dikuak.

“Aku dah siap.” Ucapnya selamba walau ada getar disebalik suaranya. Gila tak takut berdepan situasi begitu tetapi dia kena berlagak tenang. Itulah yang selalu Daniel pesan dan dalam masa yang sama, cari peluang untuk menyelamatkan diri.

Malek dan Karim terpaku. Balqis dipandang dari atas ke bawah.

“Apa pandang-pandang? Tak pernah tengok perempuan?” Bedil Balqis cuba beriak bersahaja sedang hakikat yang sebenarnya, hati tidak berhenti berdegup. Mahu tidak takut berdepan dengan penyangak macam Malek dan Karim. Lebih-lebih lagi di dalam keadaannya berpakaian agak menjolok mata begitu.

“Tak sangka kau ni cantik juga bila dah bersolek dan pakai macam ni. Kalau tidak, nampak macam pengkid aje.” Ejek Karim diselangi tawa besar.

“Kalau macam ni tak payah kita hantar ke orang lain, baik kita yang kendurikan.” Celah Malek sedang mata masih liar memandang batang tubuh Balqis yang hanya disarungi dengan gaun malam pendek begitu. Hati lelaki mana yang tidak tercabar melihat perempuan seseksi itu.

Balqis semakin gerun. Melihat renungan tajam Malek sahaja dia tahu apa yang lelaki itu sedang fikirkan.

“Buatlah kalau berani dan lepas tu jangan harap kau akan dapat jumpa Tiger.” Ugutnya. “Silap-silap lepas tu nyawa kau pun akan melayang.” Ucapnya berani.

DEMI KAMU ANNA BALQISWhere stories live. Discover now