15 tahun kemudian, tahun 2032......
"MAYAT SEORANG WANITA DITEMUI TERTANAM DI TEPI TASIK BIRU. BADAN TANPA KEPALA ITU DITEMUI TERTANAM DI DALAM TANAH SEDALAM TIGA METER. MAYAT TANPA KEPALA ITU DITEMUI OLEH DUA ORANG PEMANCING YANG KEBETULAN BERADA DI KAWASAN BERKENAAN. MEREKA MENJUMPAI PAKAIAN WANITA ITU DARI TIMBUSAN TANAH APABILA ANJING MILIK SALAH SEORANG PEMANCING TERSEBUT TELAH MENEMUI CEBISAN KAIN SKIRT DARI MAYAT WANITA TERSEBUT YANG TELAH TERKELUAR DARI DALAM TANAH. MANAKALA KEPALA MAYAT WANITA BERKENAAN DITEMUI TERGANTUNG DI BAWAH JAMBATAN FELIX. DENGAN INI POLIS TELAH MENGESAHKAN MANGSA KEEMPAT TERSEBUT ADALAH MANGSA KEPADA PEMBUNUH BERSIRI YANG DIGELAR SEBAGAI 'THE IMMORTAL SERIAL KILLER'...."
Paul membaca petikan dari surat khabar yang baru dibelinya pagi tadi. Sempat matanya melirik kearah Wyatt. Namun lirikan mata Paul atau lebih kepada jelingan, langsung tidak menggugat jiwanya. Telinganya mendengar setiap baris-baris perkataan yang dibaca oleh Paul itu tetapi hanya dipandang sepi olehnya. Di matanya hanya tertumpu pada gambar wajah mangsa ke empat yang terletak bersebelahan fail yang terbuka luas di atas meja. Gambar seorang wanita muda yang ceria. Tersenyum sehingga menampakkan barisan giginya yang tersusun dan putih.
"Cantik." ujar Paul ringkas. Dari tadi dia memerhati gelagat Wyatt yang hanya tertumpu pada gambar mangsa ke empat itu. Sungguh! Tidak dinafikan mangsa ke empat itu memang cantik orangnya.
"Siapa? Mangsa ni?" Wyatt menyoal Paul dengan pandangan pelik.
Lalu Wyatt mencampak beberapa helai gambar wanita terbabit tetapi hanya gambar mayat wanita itu sahaja di depan Paul.
"Aku kata cantik sebelum dia mati. Kenapa kau campak gambar post mortem dia pada aku! Kau perli aku?" Paul tidak berpuas hati dengan tindakan Wyatt yang dengan sengaja mencampak gambar bedah siasat mayat wanita itu. Padanya itu satu tindakan kurang ajar! Malah langsung tidak menghormati pada mayat mendiang wanita itu.
"Sebenarnya aku tak maksudkan dia, tapi kau! Kau tahu tak? Engkau! Aku benci bekerjasama dengan kau! Semua benda nak kena ikut cakap kau! Lepas semua benda ni terjadi, semua tunding ke arah aku, termasuk engkau! Orang atasan dah pandang serong pada aku, sebab dia orang ingat aku tak buat kerja!" Jerkah Wyatt dengan panjang lebar.
Paul hanya terdiam. Berdesing telinganya apabila mendengar kata-kata liar dari rakan setugasnya Wyatt. Paul terpempan dengan kata-kata itu. Namun tidak sedikit pun kata-kata dari Wyatt itu disanggahnya. Saat ini, berdiam adalah lebih baik dari bertelagah lidah, yang boleh menambahkan masalah. Sebolehnya dia tidak mahu menambahkan minyak pada bara api. Dia tahu, Wyatt sedang tertekan. Tekanan dari pihak media, malah dari pihak atasan sendiri.
"Kau tahu tak, ejen persekutuan nak masuk campur siasatan kali ni. Kau faham tak erti masuk campur pada mereka? Itu bererti mereka nak ambil alih siasatan kita. Kita akan ditolak ke tepi. Masyarakat dan media akan fikir kita tak buat kerja! Kau dan aku! Juga seluruh jabatan ni! Kau faham tak?"
Sesekali lagi Paul hanya terdiam. Tidak mahu terus mengungkit kisah kegagalan sendiri. Kegagalannya dan Wyatt dalam menangkap pembunuh bersiri di bandar kecil Immortal City menjadi bahan ketawa di media elektonik, media cetak, bahkan di media sosial. Apa yang lebih menyakitkan, mereka dituduh "polis yang makan gaji buta" dan "polis yang tak tahu buat kerja" tersebar di media sosial.
Paul mula teringat, baru sebentar tadi mereka dipanggil ketua jabatan, Tuan Sean Gibs. Tuan Gibs hanya memberi mereka kata dua, kerja dalam pejabat atau melepaskan jawatan.
"Aku nak kerja dalam pejabat je lah. Aku dah penat. Lagipun aku dah tak mampu lagi. Sudah tak kuat macam dulu. Kesihatan aku pun tidak mengizinkan untuk aku terus aktif. Kau mesti faham, aku ada anak bini nak kena sara...." ujar Paul lemah seakan mengalah.
YOU ARE READING
Symbiosis
Mystery / ThrillerMengisahkan seorang polis yang ingin menyelesaikan masalah pembunuhan yang melibatkan pembunuh bersiri di bandar mereka yang semakin berleluasa. Tanpa diduga kawan lamanya iaitu Thomas ingin membantunya menyelesaikan masalah pembunuhan tersebut deng...